Namun baru-baru ini, kelibat pelakon Setia Hujung Nyawa dalam majlis rasmi yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, adik kepada pelakon cantik Emma Maembong tampil dengan susuk tubuh yang jauh lebih langsing.

Timbul pelbagai spekulasi susuk tubuhnya yang kurus itu mungkin disebabkan terlalu kecewa dengan keadaan diri, ini termasuk masalah keluarga (pergaduhan dengan bapa sendiri) hingga mempengaruhi berat badannya. Sebegitu sekali?

Bagi mendapatkan kepastian secara terperinci, Hits menemu ramah sendiri pelakon berusia 18 tahun ini usai majlis berakhir.

HITS: Fizikal anda yang semakin kurus dan langsing, adakah Chacha sedar dengan perubahan diri?

CHACHA: Jujurnya, saya sendiri tak perasaan berat badan saya susut sebab sebelum ini saya akan makan apa sahaja tanpa berdiet. Tetapi memang saya mengakui, memang ada yang tegur juga. Ada yang cakap, saya memang nampak agak kurus sekarang, tak macam dulu lagi.

Ada mengamalkan rejim pemakanan tertentu?

Sebenarnya berat badan saya jenis yang senang naik dan senang turun. Kalau terasa nak makan apa sahaja. Percaya tak, saya akan makan apa sahaja tanpa menyekat kemahuan tersebut. Tanpa perlu risau. Sebab itu sekejap naik, sekejap turun.

Ada pendapat kata, perubahan berat badan anda dipengaruhi faktor sekeliling. Kecewa dan merajuk dengan pelbagai insiden dalam keluarga, Chacha jadi kurus tiba-tiba, betul ke?

(Tersenyum). Tidaklah! Bukan macam tu. Berat saya turun bukan disebabkan kecewa atau merajuk dengan sesiapa pun, sungguh. Saya sebenarnya, semakin sibuk di set penggambaran. Apabila sibuk bekerja, kita jadi kurang selera makan. Itu juga membuatkan penurunan berat badan saya makin cepat berlaku. Hal-hal peribadi lain tu, tiada kaitan langsung.

Kerjaya seni anda sekarang, apa cerita baharu?

Oho....Saya kini sudah bernaung di bawah syarikat pengurusan artis iaitu Paranormal Talent. Saya memang seronok hendak bercerita tentang hal ini.

Wow, dulu sendirian, kenapa sekarang perlukan syarikat pengurusan pula? Tak rasa dikongkong ke nanti?

Taklah macam tu. Sebaliknya saya rasa bersyukur sangat sebab pengurusan baharu ini sentiasa ambil berat mengenai kebajikan semua artis mereka termasuklah saya. Kakak saya, Emma pun ada bersama dalam syarikat ini, mudah. Kalau ada masalah tentang pengangkutan, mereka akan datang ambil untuk bawa ke lokasi penggambaran. Lega sangat bila ada pengurusan yang aturkan jadual saya dengan teratur. Alhamdulillah sejak awal tahun, tawaran semakin murah. Saya pun lebih fokus kepada kerjaya. Itu yang saya mahukan.

Jadi, kita boleh anggap, tahun ini merupakan tahun kebangkitan anda untuk membina semula kerjaya lakonan? Asyik cerita Emma jer, tahun ini cerita Chacha pula, betul tak?

Hahahaha! Ini merupakan tahun ke empat saya menceburi bidang lakonan dan saya sendiri belajar banyak dari kesilapan lalu. Saya letakkan tahun 2015 ini satu permulaan yang baik untuk tambahkan pengetahuan, kukuhkan nama dalam industri seni. Susah juga kalau dalam tempoh itu kita tak belajar apa-apa kan, justeru itu kemahiran komunikasi dan lakonan adalah perkara pertama yang mahu saya titik beratkan. Ini soal periuk nasi, tak boleh buat main-main. Kalau boleh saya mahu orang pandang kepada bakat berlakon saya pula. Asyik isu peribadi, macamana kerjaya hendak berkembang.

Apakah projek terbaharu anda sekarang ini?

Saya baharu sahaja habis penggambaran untuk drama bersiri Emy Emyliana musim ketiga. Lepas ini saya akan memasuki set penggambaran musim terbaharu untuk Oh My English! (OME!) musim terbaharu tidak lama lagi. Ini merupakan kemunculan pertama saya menerusi OME!, pastinya rasa berdebar dan gementar itu ada sebab program berbentuk ilmiah ini sangat terkenal dan banyak menarik penonton cilik. Sebelum memulakan penggambaran, saya ada menonton beberapa episod OME! lalu sebagai bahan rujukan agar nanti memulakan penggambaran tidak berasa kekok dan takut-takut.