Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bukan lari daripada publisiti – Kilafairy

KILAFAIRY tidak mahu lagi membawakan watak yang terlalu seksi.
KILAFAIRY tidak mahu lagi membawakan watak yang terlalu seksi.

SEJUJURNYA ini kali pertama penulis bersua bicara dengan pelakon cantik, Kilafairy. Sedikit rasa gementar kerana dia jarang-jarang turun padang bertemu media.

Sehingga ada cerita-cerita yang bertebaran mengatakan dia sengaja melarikan diri daripada pihak media. Seakan-akan ada rahsia yang perlu disimpan rapi supaya tidak tersebar.

Enggan menunggu lama, soalan pertama terpacul keluar. Benarkah dakwaan-dakwaan tersebut? Mengapa pelakon cantik berusia 25 tahun ini memilih untuk ‘melarikan diri’ daripada media?

Seraya tersenyum manis, Kilafairy lantas menggelengkan kepala. Bukan dia mahu melarikan diri cuma dia sebenarnya tidak selesa untuk berkongsi kisah-kisah peribadi.

Tiada yang mahu disorok cuma sifat semula jadinya tidak suka untuk bercerita hal ‘dalam kain’ dengan orang lain. Baginya biar kisah-kisah peribadi disimpan rapi sendiri.

“Saya sebenarnya jarang ke majlis-majlis hiburan sekarang ini. Jadi memang susah untuk pihak media datang menemu ramah saya. Bukan mahu menyorok atau melarikan diri.

“Jangan salah anggap, kalau boleh saya memang hendak bercerita soal kerjaya sahaja. Kalau peribadi, saya tak selesa. Bukan belajar daripada sesiapa cuma itu memang perangai saya.

“Sebab itu saya jarang memberi kenyataan. Kadang-kadang sahaja bila ada promosi drama atau filem, baru saya datang.

“Lagipun saya jenis yang suka duduk di rumah, jarang keluar ke majlis hiburan,” katanya yang kini sedang ligat di set penggambaran Mr. Delicious.

Alang-alang berpeluang bersua dengan pelakon yang juga anak kepada penyanyi, Rohana Jalil ini, soalan cepumas perlu ditanya. Rahsia soal hati dan cinta perlu dikorek dalam-dalam.

Diaju soalan, hatinya kini milik siapa, sekali lagi Kilafairy menjawab dengan gelak tawa. Dia masih solo. Itu penegasan yang terpacul keluar dari mulut rakan baik Izara Aishah ini.

Malah dia juga menepis dakwaan hangat bercinta dengan pelakon Indonesia, Hardy Hartono. Biarpun dakwaan itu sudah lama bertebaran, dia tidak pernah membuka mulut menjawab persoalan.

“Saya dan dia hanya berkawan. Bukan bercinta pun. Kami memang rapat sejak dari dulu. Kami pun sama-sama rakan pelakon dan dia juga pernah menjadi model untuk video muzik saya.

“Kalau tanya cinta, saya masih solo. Ya, pernah beberapa kali gosip kononnya saya sedang bercinta dengan lelaki Arab bertebaran tetapi itu semua tidak benar sama sekali.

“Saya lebih selesa begini. Komitmen saya terlalu banyak. Kerjaya seni, perniagaan dan keluarga sangat membataskan saya untuk bercinta. Diri sendiri pun banyak komitmen, takkan nak tambah satu lagi. Nantilah,” jawabnya dengan nada tenang.
......................................
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Pemilik nama Syakila Nisa Jahangir Khan ini juga mahu melebarkan sayap sebagai seorang penyanyi.

Bakal tampil dengan single kedua selewat-lewatnya hujung tahun ini, Kilafairy bakal berkolabrasi dengan penyanyi dari negara Uncle Sam, Sean Kingston yang cukup popular dengan lagu Beautiful Girls.

Lagu duet yang bakal dilancarkan dalam dua bahasa itu juga menjadikan pelakon drama Saiful Nita itu sebagai artis Malaysia kedua yang berduet dengan Sean selepas Datuk Siti Nurhaliza.

“Kerjasama ini sebenarnya satu batu loncatan untuk saya lebih melebarkan sayap sebagai seorang penyanyi malah bukti yang saya tidak main-main dalam bidang nyanyian.

“Lagu sudah dirakam cuma tunggu masa untuk dilancarkan. Sekarang saya agak sibuk di set penggambaran Mr. Delicious, kena tangguh dululah soal single baharu. Saya tak suka campur aduk kerja,” katanya.

Bertukar ke soal kerjaya sebagai pelakon, Kilafairy mengakui, dia kini mula memilih karya. Bukan mahu berlagak hebat cuma dia merasakan pelakon perlu memilih watak yang mampu menonjolkan bakat seseorang.

Dia seboleh-bolehnya tidak mahu terperuk dalam satu putaran watak yang sama, jadi dia bersikap selektif dalam memilih karya yang sesuai. Malah dia juga tidak mahu lagi tampil seksi.

“Kalau boleh saya tak nak watak yang terlalu seksi. Lagipun, keluarga juga sudah menasihatkan saya untuk kurangkan watak dengan imej sebegitu.

“Sebab itu saya mula memilih karya,” katanya yang memegang watak sebagai Zara, seorang gadis yang agak gila-gila namun penuh dengan emosi.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan