Kata-kata penuh maksud tersirat ini diungkapkan oleh pelakon Wan Hanafi Su di pentas acara industri seni paling gah, Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM27), Sabtu lalu. Lupakan bagaimana Wan Hanafi yang tewas di tangan Lee Sai Peng dalam merebut Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, sebaliknya lebih elok kita ambil iktibar daripada kata-kata pelakon berkenaan.

Di hadapan ribuan insan seni, yang turut disaksikan oleh mereka pembuat dasar perfileman negara, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Hanafi mengungkapkan patah kata yang begitu mendalam maksudnya.

Dalam usianya yang sudah menjengah 65, Hanafi penuh percaya, walau sekalipun hanya bertongkatkan paruh, industri ini perlu terus hidup. Ya, kita perlu terus hidup supaya industri ini kekal pada tampuk kuasanya.

Ketika Malaysia berada dalam dugaan dan cabaran ekonomi yang kurang stabil, industri seni dan hiburannya juga turut terkesan. Industri filem juga tidak mampu menjauh daripada mengalami situasi keperitan dek pelbagai masalah yang berbangkit, tahun demi tahun, dulu sehingga kini.

Kata Hanafi: “Dalam berkarya ada yang membawa rebah. Lelaki Harapan Dunia sesuatu yang memberi kesedaran baru, sampai bila kita mahu bikin filem yang...”

Kata-kata yang tidak habis terungkap itu sebenarnya agak sinikal. Ini sekali gus memberi ruang untuk kita berfikir, bagaimana wajah filem Malaysia 10 atau 20 tahun akan datang? Kita juga secara tidak langsung terfikir, apa yang dimaksudkan oleh Hanafi sebenarnya?

Lelaki Harapan Dunia walaupun pernah dikritik hebat pada awalnya, pada Sabtu lalu telah diangkat sebagai Filem Terbaik dalam FFM27 yang berlangsung dalam suasana penuh segar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Nah, kata-kata Hanafi barangkali juga boleh ditafsir sebagai memulangkan ‘paku buah keras’ kepada sesetengah pihak yang melihat Lelaki Harapan Dunia dari sudut pandang yang menjengkelkan. Di awal tayangannya di pawagam, filem berkenaan muncul dengan kontroversi apabila menerima kritikan hebat, termasuk tanggapan mengatakan ia berkaitan dengan sentimen kaum Melayu dan agama Islam sendiri.

Bagaimanapun, Lembaga Penapisan Filem (LPF), kekal dengan keputusan untuk tidak menjadikan kontroversi terhadap filem tersebut berpanjangan apabila kekal dengan keputusan meluluskan filem tersebut untuk tayangan pada November 2014. Panel LPF berpendapat, tiada kontroversi sebagaimana yang dikecohkan umum.

Kemenangan ini juga sejajar dengan anugerah yang telah diterima di luar negara oleh filem berkenaan termasuklah, Anugerah Khas Juri di Festival Filem Antarabangsa Fajr yang berlangsung di Tehran, dalam kategori Eastern Panorama yang menampilkan filem-filem Islam dari negara Asia. Pada ketika itu, ada yang berkata, diiktiraf oleh sebuah festival filem yang dianjurkan sebuah negara Islam, memberi tamparan yang hebat untuk khalayak filem tempatan yang seakan-akan meminggirkan filem tersebut.

Filem lakonan Azhan Rani, Wan Hanafi Su, Soffi Jikan dan Allahyarham Harun Salim Bachik itu juga pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Singapura, Toronto, Busan, Rotterdam, Gothenburg dan Hong Kong. Lebih menarik, Lelaki Harapan Dunia juga merupakan kerjasama antara empat negara iaitu Malaysia, Belanda, Jerman dan Perancis dan diberikan dana oleh beberapa organisasi berbeza.

Kemenangan di FFM27 membuktikan ini adalah sebuah filem yang diterima dalam negaranya sendiri. Industri kita tidak pernah prejudis tentang kaum dan warna kulit, selagi ia masih berbicara dalam soal kewarasan. Orang seni kita begitu besar jiwanya, tidak mudah rapuh dengan sebarang provokasi atau cubaan untuk sebarang sindiran halus.

Diangkat kepada darjat yang tinggi, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Terbaik Dari Langit dan tiga lagi yang berada dalam kategori yang sama Dollah Superstar, Amir Dan Loqman Pergi Ke Laut dan Manisnya Cinta Di Cappadocia, Lelaki Harapan Dunia memperlihatkan jiwa besar orang seni kita menerima sebuah karya seni yang seringkali disifatkan sangat universal terjemahannya.

FFM27 yang indah

Dianjurkan sendiri oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, FFM27 berlangsung dalam rencah dan rumbu yang secukup rasa, sedap di mata, enak di telinga. Tidak terlalu gah, tidak juga jelik, jauh sekali menerima kritikan panjang.

Bermula dengan nyanyian lagu Negaraku, seluruh dewan berdiri dengan penuh semangat menyanyikan lagu kebangsaan. Seia sekata, majlis berjalan dalam keadaan hampir sempurna, mengikut perancangan yang diatur. Dalam kelangsungan mengangkat, mengiktiraf dan membawa karya anak-anak seni tanah air ke persada lebih ke hadapan, acara ini memilih untuk menyelitkan mesej akan betapa pentingnya untuk sebuah filem agar mampu menjadi sebuah maha karya.

Bermula dengan mengenang kembali filem-filem dibarisi pemuda 1975 oleh dua penyanyi muda, Hazama Azmi dan Indah Ruhaila serta diakhiri dengan persembahan Amy Search membawa kenangan kepada wanita-wanita yang namanya diangkat menjadi judul dalam filem, FFM27 menepati objektif penganjurannya.

Gugusan lagu-lagu popular daripada filem hebat 70-an, 80-an dan 90-an membuka aura yang bukan sedikit, lalu membangkitkan rasa nostalgia tersendiri.

“Oh sayang, damailah di sana, di sisi Tuhan Yang Esa.” Ini simbolik dalam mengenang insan seni yang telah pergi, dalam sebahagian lirik lagu dinyanyikan Hazama. Artis lain yang turut muncul menyerikan persembahan ialah Misha Omar, Najwa Mahyiddin, Joe Flizzow, Sona One dan Amy Search.

Lalu lengkaplah sudah perjalanan sebuah acara yang bukan sahaja dengan tujuan memberi iktiraf, tetapi juga mengenang sumbangan setiap seorang daripada insan seni, baik yang masih hidup atau yang sudah pergi.

Malam untuk memberi kepada industri filem di Malaysia dengan mengangkat tema Sehati Sejiwa, tema yang sama untuk meraikan Hari Kemerdekaan negara ke 58 yang baru saja berlalu pada 31 Ogos lalu.

Memetik kata-kata pengacara FFM, Nabil Ahmad yang cukup stabil di sisi Sherry Alhadad di malam berkenaan, “Kita angkat pemenang pada malam ini. Kepada yang tak menang, janganlah pula tidak berpuas hati. Kita perlu berjanji untuk terus buat kerja kita,” satu sinikal yang mengesankan.

Sampai bila mahu buat filem hantu?

Usai acara di pentas utama FFM27, ketika sesi sembang-sembang, seorang pengarah filem handalan, secara berbisik bertanya kepada saya.

“Apa yang awak rasa malam ini? Mana pergi pengarah Melayu kita? Mana filem orang Melayu? Perasankah awak, beberapa filem yang diangkat dalam kelompok terbaik pada malam ini adalah filem bikinan bukan Melayu?”

Sang sutradara merujuk kepada beberapa anugerah utama yang berada di tangan pembikin filem bukan Melayu, termasuklah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Saya hanya mampu tersenyum dan menjawab: “Sebagai wartawan, saya yang sepatutnya tanya soalan itu. Mana filem orang Melayu? Apa filem orang kita tidak lagi berkualiti?”

Dan saya ketawa besar apabila sang sutradara menjawab dalam sindiran, nakal sekali.

“Selagi orang kita asyik dengan filem hantu, filem cinta.... Kita akan terus begini. Kaum lain akan maju dan ke depan, membawa nama sinema Malaysia mengikut cita rasa mereka, kayu ukur mereka. Kita akan mati dalam kecewa,” kata sang sutradara dalam cebikan kesalnya.

Melihat senarai pemenang, tidak keterlaluan untuk dikatakan, kali ini mengangkat karya pembikin filem bukan Melayu ke puncaknya. Beberapa anugerah besar dan utama menjadi milik bukan Melayu termasuk Filem Terbaik, sekali 
gus menimbulkan persoalan, apa sudah jadi?

Seperti dikatakan sutradara muda tadi, apakah pembikin filem Melayu mahu terus selesa dengan filem hantu dan puntianak, lalu memberi ruang kepada pembikin filem bukan Melayu muncul dengan hal-hal dianggap kecil, tetapi besar sifat seninya?

Buktinya nyata. Selain Lelaki Harapan Dunia, sebuah lagi filem yang bukan ditangani anak Melayu, The Journey juga mencatat sejarah indah dalam FFM27.

Filem The Journey bikinan Astro Shaw arahan Chiu Keng Guan berjaya merangkul empat anugerah iaitu Filem Bukan Dalam Bahasa Melayu Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Lee Sai Peng), Sinematografi Terbaik (Eric Yong) dan Filem Box Office kerana mencatat jumlah tontonan lebih RM18 juta.

FFM27 seharusnya menjadi kayu ukur terbaik, di mana orang kita dalam industri ini, hari ini. Ketika penggiat filem lain sudah semakin kukuh melebarkan sayap sehingga ke luar, lalu masuk semula ke dalam negara sebagai pemenang, apakah kita mahu melihat sahaja, seadanya?

Apakah kita hanya mampu berbicara, berdegar-degar di laman sosial semata-mata, memberi komen itu tidak betul, orang ini tidak teratur kerja seninya? Opss....tepuklah dada tanyalah selera.

Liew Seng Tat 
(Pengarah Lelaki Harapan Dunia)

Dalam pelat bercakap bahasa Malaysia, Seng Tat memberi harapan bahawa akan ada lagi filem terbaik daripadanya pada masa-masa akan datang. Tidak menjangkakan sama sekali kemenangannya, dia datang ke majlis tanpa sebarang persediaan untuk naik ke pentas. 

“Dengan keputusan yang tidak dijangkakan ini, saya rasa ia cukup berbaloi. Bukan mudah untuk menghasilkan filem ini kerana ia mengambil masa selama empat tahun sebelum ia ditayangkan. Keseluruhannya filem ini agak mencabar dari mula membuat skrip hingga proses yang terakhir,” ujarnya.

Biarpun sebelum ini timbul pelbagai isu dan kontroversi mengenai naskhah tersebut, Seng Tat bagaimanapun tidak pernah serik untuk menghasilkan karya terbaik seperti Lelaki Harapan Dunia.

“Saya suka cabar diri untuk hasilkan filem terbaik. Sebagai seorang pengarah dan penulis skrip, saya mahukan suatu garapan filem itu bernilai selain dapat meninggalkan kesan kepada penonton. Selepas Lelaki Harapan Dunia, saya mengharapkan filem seterusnya akan memberikan sesuatu yang luar biasa dalam mengulangi kejayaan ini.

“Karya sebelum ini iaitu Flower In The Pocket juga sangat berlainan. Mungkin filem akan datang akan menampilkan naskhah  berbeza,” ujarnya yang sedang merangka filem ketiga berjudul The Girl With No Head.

Lee Sai Peng 
(Pelakon Lelaki Terbaik)

Kegembiraan jelas terungkap melalui kata-kata jujurnya. Muncul di pentas dalam bicara menggunakan bahasa Inggeris, lelaki pada usia emas ini tidak menyangkan sebegini besar penghargaan yang diterimanya. 

“Saya sangat gembira dalam usia emas ini masih ada lagi yang menawarkan kerja untuk saya. Saya ingin berterima kasih kepada keluarga kerana merekalah orang yang sentiasa memberi sokongan untuk saya terima tawaran tersebut.

“Di awalnya, saya tidak mahu berlakon tetapi keluarga bersungguh-sungguh mahu saya berlakon dalam filem The Journey kerana menganggap ia peluang yang datang  bergolek. Keluarga mengatakan peluang yang ada ini tidak seeloknya ditolak kerana pada ketika itu umur saya 73 tahun, tapi masih ada lagi pihak yang menawarkan watak berkenaan,”ulasnya.

Sai Peng tidak pernah menduga akan membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik dalam anugerah berprestij kerana menganggap dirinya itu masih kosong dalam industri.

“Saya tak pernah berlakon. The Journey adalah lakonan pertama saya dan tidak sama sekali terfikir akan membawa watak utama. Filem ini banyak pengajaran membuatkan saya tiada rasa ragu untuk terima. Pesaing saya dalam kategori ini cukup handal dan punya pengalaman luas dalam seni kreatif berbanding saya. Pada masa akan datang, jika ada produksi yang mahukan khidmat saya dalam lakonan, saya dengan tangan terbuka tidak akan pernah menolak mana-mana rezeki yang hadir,”katanya. 
 

Sharon Gan
(Penerbit filem Lelaki Harapan Dunia)

Selaku penerbit filem, Sharon Gan menganggap kekuatan filem Lelaki Harapan Dunia terletak pada garapan yang kuat berjaya mencuri hati pihak juri dalam menjulang trofi Filem Terbaik di FFM 27.

“Intipati penceritaan filem ini sangat menarik di mana kita dapat menaikkan kembali tradisi ‘usung rumah’ yang semakin dilupakan. Naskhah ini merupakan cerminan masyarakat Malaysia.  Bagi saya, karya ini sangat interaktif selain dibantu oleh barisan pelakon yang mantap. Dari segi sinematografi serta muzik semuanya sempurna dengan adanya krew produksi yang terbaik,”ulasnya.

Sharon turut berpendapat, biarpun filem ini telah mengembara banyak negara dalam menyertai festival filem, Lelaki Harapan Dunia masih lagi berpaksikan filem Malaysia yang sebenarnya.

“Sebelum ini, Lelaki Harapan Dunia telah terima banyak pengiktirafan dari luar negara, tetapi pada kami sendiri filem ini masih lagi ada ciri ke-Melayuan.  Filem-filem karya Seng Tat tidak pernah lari daripada unsur sinikal, namun masih lagi menerapkan humor sebagai teras. Karya seterusnya, saya masih menanti Seng Tat menjalani  proses pra produksi sebelum diteruskan dengan penggambaran untuk filem terbaharunya. Apa yang jelas, genre komedi romantik akan diangkat menjadi tema.”