Fasha Sandha

Bukan apa, bagi sesetengah wanita, setelah mengharungi perceraian dan kegagalan dalam perkahwinan pertama, 'serik' adalah perkataan yang akan terpacul dari mulut mereka lantaran tidak mahu lagi merasa tersakiti.

Pun begitu, bagi Fasha, perceraian bukanlah alasan untuk dia menutup terus pintu hatinya buat mana-mana lelaki. Kebelakangan ini dia tiba-tiba dikaitkan sedang rapat dengan seorang jejaka bernama Mukhlis Rosdi yang berusia 30-an.

Dikenali sebagai ustaz rock, jejaka berkenaan bagaimanapun masih belum didedahkan secara terperinci oleh Fasha apalagi mengenai sejauh mana hubungannya dengan Mukhlis.

Namun, ramai sudah meneka bahawa ada sesuatu yang istimewa antara mereka, cuma Fasha sahaja yang selesa membiarkan keadaan itu dalam teka-teki.

Ditanya sama ada dia mengaku sedang mengenali seseorang dengan lebih intim, Fasha yang ditemui di majlis sidang media Anugerah Skrin 2017 mengaku sedang dalam fasa mengenali.

“Saya sedang mengenali ramai orang. Sebenarnya begini, saya masih sibuk dengan kerja di set penggambaran, jadi masa yang saya ada adalah sangat terhad dan perlu dibahagikan dengan baik.

“Ada masa saya akan keluar dengan anak-anak, ada masa keluar dengan beberapa orang kawan. Susah untuk letak status apa-apa kerana semuanya saya anggap masih dalam status berkawan, tidak ada fasa lain lagi buat masa sekarang,” katanya.

Barangkali seiring dengan kematangan usianya sekarang yang sudah mencecah angka 33 tahun, Fasha menganggap persahabatan atau berkawan itu lebih bersifat kekal dan selesa dengan cara begitu.

“Buat masa ini, itu adalah apa yang saya rasakan selesa, berkawan. Macam dengan bekas suami saya, Jejai, lebih baik kami berkawan daripada menjalinkan hubungan yang lebih,”katanya.

Di pihak benar

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu perdamaiannya dengan bekas suami, Fasha dalam tersenyum memberitahu tiada apa yang perlu diperincikan mengenai urusan perdamaian itu.

Pun begitu, memahami masih ramai di luar sana yang menyangkakan dia bertaut kembali dengan Jejai sebagai suami dan isteri, Fasha menepis perkara itu dengan nada baik.

“Saya harap masyarakat faham bahawa perdamaian yang dimaksudkan itu tidak merujuk mengenai saya akan berkahwin semula dengan Jejai.

“Semua urusan mengenai hak penjagaan anak dan sebagainya sudah kami selesaikan dengan cara baik. Tentu sekali hal ini adalah satu berita gembira kerana kami lakukannya demi anak-anak,”katanya.

Selain itu, Fasha memahami situasi salah faham mungkin timbul gara-gara perkongsian gambar yang sama di akaun Instagram masing-masing.

“Telah saya jelaskan sebelum ini, ia adalah gambar dan ayat yang disediakan oleh Jejai dan saya bersetuju untuk memuat naik di Instagram.

“Bagi saya, kita kena selalu memikirkan perkara yang baik mengenai seseorang berbanding sebaliknya. Sekiranya dia ingin berdamai, saya terima dengan hati terbuka.

“Kalau dia nak teruskan dengan cara lama pun saya terima kerana saya berada di pihak yang benar. Jadi apa pun keputusan, saya terima dengan baik,”katanya.