Namun sebelum menempa pelbagai kejayaan peribadi dan kerjaya, Datuk Rosyam Nor atau Mohamed Noor Shamsuddin pernah menempuh pelbagai kesusahan dan kegagalan yang akhirnya membuatkan dia mampu berdiri gagah kini.

Lantas tidak hairanlah jika air mata lelakinya mengalir apabila mengenangkan kenangan silam terutama zaman kanak-kanak.

Baginya keperitan hidup yang dilalui sepanjang tempoh membesar tidak pernah menjadi penyebab untuknya patah semangat, jauh sekali berduka nestapa dengan kesusahan yang dihadapi.

Malah dia tidak pernah mempersoalkan kehidupan yang sukar ketika itu kerana meski terpaksa hidup di atas ‘tanah haram’ berstatus setinggan, kehidupan mereka sekeluarga bahagia biarpun ramai yang beranggapan orang setinggan seperti mereka membawa banyak masalah.

“Semua kesusahan dan kedaifan yang telah dilalui sentiasa segar dalam ingatan. Pada saya segala kepayahan masa lalu itu yang membuatkan saya berjaya pada hari ini.

UBAH KEHIDUPAN

“Mungkin saya masih belum terbang tinggi seperti tokoh Melayu yang lain tetapi perubahan yang saya lalui daripada digelar budak setinggan akhirnya merubah kehidupan saya sekeluarga. Saya bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah,” kata Rosyam membuka cerita.

Tidak terhenti setakat itu, sebak di dada bapa kepada lima orang anak ini lebih mencengkam tatkala mengenangkan pengorbanan ibu bapanya untuk membesarkan mereka adik-beradik.

Membesar di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur (kini dikenali dengan nama Bangsar South) pastinya membuatkan dia matang dalam segala hal.

Rumah yang mereka diami sekeluarga hanyalah sekadar tempat berteduh dan jika hujan turun membasah bumi, dia dan adik beradik lain pasti terpaksa menadah titisan air kerana atap rumah yang bocor.

“Walaupun hidup serba kekurangan tapi saya tak pernah susah hati. Setiap hari ada sahaja perkara baharu yang saya lakukan dengan rakan-rakan dan hubungan kami rapat memandangkan masing-masing anak setinggan.

“Rumah saya pula berhampiran dengan Kompleks Angkasapuri (RTM) dan tentu sekali saya dapat menyaksikan banyak perkara ketika itu. Pernah juga saya bermain dan mengutip kotak di situ untuk dijual.

TARIAN HIDUP

“Semua orang berlumba-lumba mahu hidup sebagai artis dan saya sudah menyaksikan mereka sejak kecil. Tapi ketika itu saya sedar yang kehidupan serba kekurangan kami sekeluarga perlu berubah jika mahu berjaya seperti orang lain.

“Saya pula tak pandai dalam hal akademik dan yang boleh dilakukan hanyalah bekerja sebaik sahaja tamat persekolahan ketika itu,” ceritanya.

Paling mengesankan tatkala teringatkan pengorbanan yang dilakukan oleh ibu yang mengambil upah membasuh baju di rumah orang ketika itu. Wang yang tak seberapa itulah yang menambah pendapatan ayah untuk membesarkan mereka.

Malah jika kebanyakan anak orang tidur nyenyak di atas tilam empuk, mereka adik beradik pula hanya tidur beralaskan tikar dan berselimutkan guni tepung sahaja.

Tidak pernah merungut, guni tepung yang dibasuh dan dicuci berulang kali itulah yang menghangatkan mereka saban malam dek tidak mampu membeli kain untuk dibuat selimut.

Rosyam mengakui, perkara itu juga yang membuatkan dia mahu keluar dari kepompong kesusahan yang dilaluinya itu.

DUGAAN

KETIKA berusia 13 tahun, Rosyam sudah mula bekerja sebagai pembantu kedai runcit. Tegasnya dia perlu mencari wang tambahan untuk menyara kehidupan seperti yang dilalui oleh anak-anak setinggan yang lain.

“Gaji ayah tidak besar maka saya perlu mencari jalan keluar untuk membantu beban tersebut. Semua kerja yang boleh menghasilkan wang saya buat ketika tinggal di Kampung Kerinchi.

“Sewaktu usia 18 tahun, saya bertemu dengan penerbit filem, Pansha dan bekerja sebagai pekerja am di Berjaya Filem Production. Segala pekerjaan kru belakang tabir saya lakukan termasuklah mencuci tandas dan sebagainya.

“Saya tak pernah merungut walaupun diberikan tugas mencuci tandas. Dengan kelayakan akademik yang tak seberapa, saya tak boleh merungut malah melakukan semua kerja itu dengan sepenuh hati.

“Pansha banyak mengajar dan membantu saya untuk menjadi orang yang kuat. Budi Pansha tidak akan pernah saya lupakan dan tidak akan terbalas sampai bila-bila,” kata Rosyam sebak.

Memilih untuk mendirikan rumah tangga pada usia 22 tahun, dengan wanita pilihan hati, Runika Mohd Yusuf yang telah dikenalinya sejak usia 15 tahun. Runika setahun muda daripada dirinya.

Oleh kerana gaji kru belakang tabir kecil, Rosyam bermain kutu bersama-sama rakan sekampung untuk merealisasikan impiannya mengahwini gadis yang dicintainya.

Berjaya mengumpul sebanyak RM8500, jumlah tersebut adalah hasil daripada duit bermain kutu sebanyak RM3500 selain dibantu Pansha yang memberikannya RM3000 serta selebihnya merupakan wang ibunya.

Sudah 28 tahun hidup sebagai suami isteri, Rosyam tidak melupakan pergolakan yang berlaku di awal perkahwinan. Kehidupan susah yang dilalui membuatkan mereka bukan sahaja ‘berperang besar’ malah hampir mengambil keputusan sukar.

Namun berkat kesabaran dan usaha keras untuk terus memberikan yang terbaik untuk keluarga, pasangan itu kekal bahagia hingga kini selain dikurniakan lima orang anak perempuan serta seorang cucu.

Berlakon sejak 1984, namun begitu nasibnya kurang baik memandangkan dia tidak popular dan dikenali ramai biarpun hampir 13 tahun berkecimpung dalam lakonan.

Nasib Rosyam mula berubah apabila ditawarkan watak hero dalam filem Suami, Isteri dan ... oleh Pansha. Semuanya berlaku secara kebetulan disebabkan pelakon asal tidak dapat berlakon pada saat-saat akhir.

Sebaik sahaja namanya mula dikenali ramai, Rosyam pernah berjumpa dengan Yusof Haslam (kini Datuk) untuk meminta peluang berlakon sama. Walaupun menerima jawapan yang tidak memberangsangkan akhirnya dia diberikan peranan dalam filem Bara dan beberapa filem lain.

“Saya hanya menumpang populariti pelakon yang sudah popular sahaja. Pada masa yang sama saya mencari peluang untuk memperkenalkan nama Rosyam Nor.

“Kalau kita tak pernah putus asa, insya-Allah Tuhan akan kabulkan. Kini saya mampu tersenyum puas saat melihat kesusahan berganti kejayaan. Paling penting jangan lupa diri,” katanya yang menerima syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. daripada Pansha pada 1997.

ISTIMEWA

MENGENANGKAN kembali perjalanan yang dilalui, Rosyam mampu tersenyum dengan terhasilnya buku biografi Impian Jutawan Budak Setinggan yang dilancarkan baru-baru ini. Buku setebal 200 halaman itu menceritakan yang telah dilalui olehnya selama ini.

Mengambil masa hampir setahun setengah untuk menyiapkan buku tersebut, Rosyam menganggap yang ditulis bukan sekadar kisah tentang hidupnya tetapi juga bakal menyuntik semangat untuk berjaya sepertinya.

“Selalunya orang menulis biografi setelah mereka meninggal dunia tetapi saya pula merasakan ini masa yang tepat untuk melakukannya. Banyak pengajaran, inspirasi boleh dikutip oleh pembaca pada dasarnya.

“Segala kisah yang berlaku saya garap dengan tulisan yang cukup santai sahaja. Dahulu saya ada beri kepercayaan kepada beberapa penulis untuk mengarang tetapi kurang kena dengan yang saya mahu. Jadi saya ambil tanggungjawab untuk menulis sendiri kisah yang berlaku,” katanya lagi.

Akui lelaki yang berusia 49 tahun ini lagi, nasib seseorang boleh berubah andainya mereka berdoa dan berusaha untuk berjaya.

Dalam naskhah yang berharga RM24.90 itu juga, Rosyam turut mendedahkan rahsia besar kepada mereka yang mahu berjaya. Baginya apa yang didedahkan itu adalah amalan yang telah dilakukan olehnya selama ini sehingga mampu mengubah nasib dirinya.

“Saya sendiri tidak menyangka dari tinggal di atas tanah secara haram, akhirnya mampu memiliki kediaman sendiri. Saya juga mampu memiliki dan membuka ladang sebesar 175 ekar di Lanchang (Pahang) untuk tanaman nangka dan durian belanda.

“Kalau difikirkan tiada yang mustahil berlaku dalam dunia ini. Asalkan ada kemahuan pasti ada jalan,” tambahnya lagi.-Gambar : Hafiz Johari