Sebenarnya situasi yang sama itu juga berlaku ketika zaman kanak-kanak Mustapha. Ketika dia dibesarkan di Kampung Chempaka Panji, Kota Bharu, Kelantan kira-kira 54 tahun yang lalu.

Setiap kali Mustapha keluar rumah, pasti dia menjadi perhatian. Masakan tidak, Mustapha adalah satu-satunya kanak-kanak lelaki yang berkulit putih di kampungnya itu.

Tidak cukup dengan berkulit putih, Mustapha juga mempunyai rambut keperang-perangan yang menarik perhatian sesiapa saja setiap kali berada di sisi arwah bapa, Mohd. Daud Awang.

“Sebenarnya saya tidak berdarah campuran. Arwah bapa dan ibu, Khadijah Hammat berketurunan Melayu. Dan saya bertuah kerana menjadi satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Jadi tidak hairanlah jika saya ditatang bagai minyak yang penuh.

“Setiap pergerakan pasti diperhatikan. Paling saya tidak dibenarkan bermain di bawah terik matahari. Arwah ibu pasti bising sebab dia tidak mahu kulit saya bertukar menjadi kemerah-merahan seperti udang.

“Ketika saya kecil, saya digelar budak lelaki paling putih. Orang mudah nak cam saya kerana saya ‘orang kanan’ arwah bapa. Dia bekas ketua Kampung Chempaka Panji.

“Sudah pastilah yang mengikut arwah bapa ke mana-mana saja dia pergi,” kata anak kelima dari tujuh beradik ini mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya.

Biarpun Mustapha dikategorikan sebagai anak manja dalam keluarga namun dia tidak pernah melepaskan aktiviti lasak bersama-sama rakan sebayanya. Pendek kata, pasti Mustapha tidak mahu ketinggalan.

Namakan saja permainan pasti Mustapha akan sertai bersama. Antaranya bermain lastik, melaga ayam, lumba lari keliling kampung, bersembunyi di semak dan macam-macam lagi dilakukan tanpa rasa jemu saban hari.

Keaktifan Mustapha berlarutan sehingga dia memasuki darjah satu di Sultan Ismail Primary School 1, yang terletak di Batu Dua, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan.

Sekolah tersebut adalah satu-satunya sekolah aliran Inggeris di bandar tersebut yang mementingkan keseimbangan akademik dan kokurikulum.

Sepanjang bersekolah di situ, Mustapha menunjukkan kecenderungan dalam bidang sukan. Paling diminati adalah bola sepak dan olahraga.

Keadaan yang sama juga berlaku sewaktu melangkah masuk ke Sekolah Menengah Sultan Ismail (SMSI), kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Kota Bharu.

Selepas tamat tingkatan tiga, Mustapha ke Maktab Sultan Ismail (sebelum ini dikenali sebagai Sultan Ismail College - SIC). Pada waktu itu, Mustapha berjinak-jinak dalam sukan kriket sebelum mewakili sekolah untuk pertandingan yang sama.

“SIC adalah sekolah menengah yang terdiri daripada pelajar lelaki sahaja. Keselesaan itu menjadikan saya semakin ‘menggila’ dalam sukan kriket.

“Memang seronok bermain kriket, sukan popular selepas bola sepak dan bola keranjang. Peraturan dalam sukan itu membuatkan saya dapat mendalami permainan itu dengan mudah,” ujarnya.

Minat meniaga

KETIKA berusia 16 tahun, entah macam mana Mustapha meminati bidang perniagaan. Pada waktu itu dia kerap membantu saudara, Che Jah menjual barangan batik di Pasar Besar Kota Bharu.

Mustapha berasa seronok setiap kali jualan batiknya itu laku dibeli pelanggan. Pengalaman yang ditimba sepanjang meniaga itu juga mencetuskan keinginan Mustapha untuk terus lebih serius dalam bidang perniagaan.

Tambahan lagi memikirkan keuntungan yang lumayan diperoleh setiap kali membuat jualan, secara tidak langsung membuatkan Mustapha sudah berkira-kira untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

“Mula-mula saya belajar cara meniaga pada hujung minggu dan cuti sekolah. Kalau ada masa lapang, ada juga saya bantu selepas habis sekolah.

“Keinginan saya memuncak selepas tiga tahun kemudian. Dengan duit simpanan, saya dan seorang rakan kongsi dapat membeli sebuah kilang batik di Pantai Cahaya Bulan. Ketika itu saya berusia 18 tahun.

“Bermodalkan wang sebanyak RM50,000, kami dapat mengupah sembilan pekerja dan kelengkapan-kelengkapan lain untuk menghasilkan batik sarung dan komersial.

“Perniagaan kami juga berjalan lancar. Batik yang saya hasilkan itu dapat dipasarkan hingga ke Singapura, Johor dan sekitar ibu kota,” katanya yang menggunakan jenama DZ Batik pada waktu itu.

Bagaimanapun Mustapha tidak bernasib baik dalam bidang perniagaan batik. Persaingan sengit daripada pembekal-pembekal batik dari luar negara yang menjual dengan harga lebih murah menyebabkan kilangnya terpaksa ditutup lima tahun kemudian.

Jadi Pelakon

KECEWA dengan perniagaan batik, Mustapha berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membantu abang iparnya yang bekerja sebagai pengedar ikan di Pasar Borong Selayang selama tiga tahun.

Nasib Mustapha berubah apabila secara tiba-tiba dia diminta untuk ke sesi uji bakat yang dijalankan di Studio Freelance Services yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Saya datang ke studio berkenaan untuk menjalani uji bakat. Masa itu pengarah filem Marah-Marah Sayang, Johari Ibrahim ada di situ. Tapi disebabkan terlalu lama menunggu giliran tiba, saya tiba-tiba tiada mood dan mahu pulang.

“Masa nak keluar dari studio, saya terserempak dengan Tan Sri Jins Shamsudin (Seniman Negara). Dia halang saya pulang dan meminta saya terus berjumpa Johari.

“Paling mengejutkan saya tidak perlu menjalani sesi uji bakat sebaliknya diminta terus datang ke set penggambaran untuk berlakon keesokan harinya.

“Saya jadi panik sebab itu adalah kali pertama saya bekerja di bidang lakonan. Banyak perkara yang perlu saya pelajari dengan cepat,” kata pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-12 (FFM12) menerusi filem Sembilu ini.

Dendang Remaja sebagai filem pertama Mustapha pada 1988 diikuti Adik, Mira Edora, Pening-Pening Lalat, Sahabat, Cikgu Romantik, Rimba Malam, Sembilu, Sembilu 2, Syukur 21, Senario Lagi, Syurga Cinta dan Kami The Movie.

Selain filem, Mustapha juga menjayakan drama tempatan. Terkini, Mustapha berlakon dalam drama Body Guard dan Isteri VS Tunang yang sedang ditayangkan di televisyen.

Jadi Pelakon

BERKONGSI tentang rahsia bertahan dalam industri filem, Mustapha yang menceburi bidang lakonan sejak 28 tahun lalu memegang prinsip hidup berdisiplin dalam apa juga perkara.

“Kebanyakan pelakon lama memberi 100 peratus komitmen dalam kerjaya mereka. Kami bekerja dengan penuh jiwa dan raga. Keutamaan kami lebih kepada persahabatan sepanjang zaman.

“Selepas melalui beberapa tempoh, saya mendapati terlalu banyak perbezaan budaya kerja pelakon lama dengan pelakon hari ini. Ada jurang perbezaan yang perlu disatukan dengan segera.

“Caranya dengan membuang sikap bangga diri dan menghormati antara satu sama lain. Kalau buang semua sikap negatif ini, saya percaya industri lakonan dapat berkembang dengan jayanya,” ujar Mustapha yang turut mengusahakan perniagaan songkok menggunakan jenama Abe Mus ini.

Mustapha turut berkongsi rahsia kerukunan rumah tangga dengan Susan Manen, dia memberitahu apa yang penting adalah persefahaman antara dua pihak.

Paling penting masing-masing perlu memainkan peranan untuk membahagiakan rumah tangga yang dibina sejak 1998 itu. Bersama-sama Susan, Mustapha mempunyai empat orang anak iaitu Sabella, 17, Aulia (15), Qur’ani (13), dan Naqli (10).

Mustapha juga mempunyai empat anak menerusi perkahwinan pertama tahun 1981, seorang anak menerusi perkahwinan keduanya (1996).