Bront Palare

Barangkali untuk orang lain, tiada salahnya untuk berkongsi cerita mengenai perkara itu namun bagi Bront, dia yang sentiasa berpegang kepada prinsip - simpan sedikit untuk diri sendiri meski sedar masyarakat sentiasa kaya dengan sifat ingin tahu.

Mengaku sering menerima pertanyaan sama ada benar dia sudah berkahwin atau belum, Bront juga disoal mengenai anak.

Ketika mengasak pandangannya, ternyata dia memberi kerjasama dan tenang menyuarakan jawapan.

“Orang nak tahu saya ini sudah kahwin atau belum. Ada yang fikir belum sedangkan saya sebenarnya sudah pun beristeri. Namun ada sebab mengapa orang panggil itu sebagai hal peribadi. Untuk disimpan sendiri.

“Kalau saya tayang kepada umum, tak jadi hal peribadilah lagi,” katanya.

Kata Bront, setiap kali menerima pertanyaan peminat di ruangan komen laman sosial, dia akui adakalanya memberi maklum balas dan adakalanya lebih selesa untuk membiarkan sahaja mereka berteka-teki.

“Tak adalah setiap kali bila ditanya, saya nak jawab terutama di laman sosial. Tetapi secara umumnya saya ada sesekali akan menjawab persoalan mereka dengan cara saya sendiri.

“Ada benda yang saya tunjuk tetapi ikut kesesuaian keadaan. Tak adalah saya nak jawab kesemuanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi Bront, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri yang memahami kerana dia sedar tidak ramai yang memahami tugas dan kerjaya seorang aktor seperti dirinya.

“Alhamdulillah saya dikurniakan isteri yang faham saya berada dalam ruang ini. Setuju atau tidak, suka atau tidak, dia akan faham.

“Dalam kerjaya saya, walaupun kita cuba mengelak, ada ketika berlaku juga sentuhan antara bukan muhrim sebagai contoh, dan itu adalah sebahagian daripada kerja saya.

“Itu terpulang bagaimana pasangan kita nak kendalikan dan terima hal itu namun bagi saya berbalik kepada tahap kematangan seseorang.

“Kami sudah lama kenal antara satu sama lain, sudah bercinta sejak 2003 lagi. Jadi seharusnya dia sudah kenal saya bagaimana dan saya kenal dia bagaimana,” katanya.

Mengaku bukanlah mahu terus-menerus bersembunyi dan kekal berahsia, kata Bront, ada ketika dia juga bersikap spontan apabila berada di khalayak ramai bersama-sama isteri dan keluarganya.

“Kami pun tak mahulah terlampau sangat nak berjaga-jaga atau berhati-hati sekarang. Kadangkala ada saja kami buat selamba depan orang. Tak macam mula-mula dulu, berjalan pun dalam jarak yang jauh.

“Tapi saya hairan juga, ada kalangan peminat yang tahu saya kahwin, masih juga saya terima komen-komen yang agak mengundang sensitiviti. Ada antaranya datang daripada wanita bertudung.

“Bagaimanapun saya anggap itu sebagai sifat dan kerenah peminat. Tapi saya akui segan juga terima komen yang bukan-bukan. Mujurlah isteri saya ini memahami,” katanya yang memberitahu bahawa pengurusnya merupakan sahabat baik isterinya sejak dari kecil.

Anak

Dalam pada itu, Bront juga berkongsi rasa bahagianya apabila kini sudah bergelar bapa kepada cahayamata pertamanya yang kini berusia dua bulan.

Ketika ditanya mengenai status baharunya itu, ada senyuman di wajah lelaki berusia 38 tahun ini sekali gus memaparkan kebahagiaan seakan-akan anak kecil itu sudah menjadi pelengkap kepada kehidupannya kini.

“Saya rasa pengalaman sebagai bapa adalah menyeronokkan. Namun pada masa yang sama, saya masih lagi tak percaya yang saya kini sudah ada anak.

“Setiap hari terfikir, oh aku sudah ada anak. Juga menjadikan paksi kehidupan saya kini sedikit berubah. Sebelum ini cuma ada isteri, kini segala keputusan yang saya buat kenalah melibatkan si kecil itu.

“Memang tak dinafikan, apabila sudah ada anak, memang anak sajalah yang saya fikir. Itu belum nanti dia sudah besar, pergi sekolah dan sebagainya. Pendek kata, memang banyak yang saya perlu kendalikan dan setiap hari adalah proses belajar untuk saya menjadi bapa yang baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bront bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah selain meraih kepercayaan daripada pengarah dari seberang yang memperlihatkan dia kini banyak bekerjasama dengan projek filem dari luar.