Pun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa wanita ini sebenarnya melakukan pengorbanan yang cukup besar saat ini. Terpaksa berjauhan dengan suami dan membawa anak bersama-sama, dia berkorban masa kerana mahu mengejar cita-cita yang satu itu.

“Memang itu rutin yang berlaku saat ini apabila saya menyertai Manis FM. Suami masih bekerja di Kuala Lumpur dan saya pula di sini. Ada kala memang anak-anak dengan saya dan ada ketika suami akan bercuti dan datang ke sini menemani saya.

“Untungnya masa bertugas hanya empat hari seminggu dan waktu terluang saya boleh melakukan aktiviti lain atau pulang ke Kuala Lumpur,” kata Bienda memulakan cerita.

Menggalas tanggungjawab mengendalikan segmen Manis-Manis Pagi setiap Selasa, Rabu dan Khamis bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi bersama-sama Rafly, Bienda juga diberi mandat mengendalikan Carta Manis 17 yang boleh didengar setiap Sabtu.

Mengakui dia semakin seronok mengendalikan program dengan barisan penyampai radio yang lain, perkara tersebut direstui oleh suami, Kamarul Zariman, 32 yang banyak menyokongnya.

“Apabila diberi tawaran untuk mengendalikan radio popular pantai timur ini, saya bertanyakan hal ini kepada suami memandangkan kami akan berjauhan dan hanya berjumpa bila cuti sahaja.

“Dia tak merungut malah memberikan galakan dan semangat untuk saya mencuba. Itu yang membuatkan saya berani menerima tawaran mereka. Lagi satu jadual kerja yang dipersetujui tidak terlalu padat membuatkan saya senang hati.

“Saya sendiri tak mahu terlalu mengejar cita-cita sebagai penyampai tetapi mengabaikan keluarga. Setakat ini semua perkara dilalui dengan tenang,” katanya.

Selain Bienda, Manis FM turut mempertaruhkan penyampai lain seperti Rafly, Eha, Nura, Hal, Lisa dan Memey.

Bila berada di tempat baharu pastinya saya mahu diterima dan pada masa yang sama memberikan input baharu buat pendengar.