Tidak pernah mencemburukan populariti pelakon baharu yang datang silih berganti, sebaliknya bakat yang lahir daripada program realiti Pilih Kasih musim pertama itu sangat selesa dengan keadaan yang dilaluinya sekarang.

Bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini, Emelie yang saya kenal sekian lama masih tidak banyak berubah. Terutama sifat selamba dan gila-gilanya, sekali gus membuka pintu kemesraan terhadap barisan krew yang menjayakan sesi fotografi pada petang itu.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini ketika ditemubual memberitahu, sungguhpun lapan tahun itu satu tempoh masa yang lama untuk membina nama sebagai pelakon dan dikenali ramai, dia sedikit pun tidak pernah putus asa.

Ujar Emelie, pencapaian yang diperolehnya pada hari ini sudah cukup membanggakan meskipun jenama yang dibina sejak menyertai Pilih Kasih pada 2008 tidak sehangat aktres yang ada antaranya hanya mencipta kemasyhuran menerusi satu drama sahaja.

“Entahlah nak cakap macam mana. Popular atau tidak itu bukan kerja saya untuk menentukannya. Ia adalah pemberian para peminat kepada seseorang artis atau selebriti yang disanjungi atau dipuja mereka.

“Saya tidak boleh memaksa penonton meminati lakonan saya. Sebaliknya, yang perlu saya lakukan adalah sentiasa memberikan mutu lakonan yang terbaik setiap kali diberi kepercayaan oleh pengarah atau produser.

“Jika saya kurang peminat disebabkan gaya lakonan yang tidak bagus, pelik juga kerana sehingga ke hari ini, ada sahaja tawaran diberikan kepada saya untuk membintangi pelbagai drama mahupun produksi,” katanya kepada Hits.

Menafikan persembahannya di kaca televisyen gagal memberikan impak, Emelie mengatakan, jika ia benar sudah pasti dia sukar mendapat kepercayaan penggiat seni untuk melakonkan watak yang diberikan.

Katanya, sepanjang tahun dalam tempoh lapan tahun tersebut, dia hanya bergelut untuk mendapat tawaran pada dua tahun pertama sahaja. Selepas itu, Emelie sering ditawarkan peluang berlakon walaupun watak pembantu.

“Saya tidak kisah diberikan watak pembantu kerana itu juga satu amanah yang perlu saya laksanakan dengan baik. Walau watak pelakon tambahan sekalipun, setiap individu ada tanggungjawab untuk memastikan ia berjaya.

“Sebab berlakon drama adalah kerja berpasukan, bukannya secara berseorangan. Kesilapan seorang sahaja barangkali mampu menjejaskan keseluruhan produksi. Lainlah kalau bermonolog di atas pentas, itu kerja seorang diri. Jadi, beban peranan itu sama sahaja tidak kiralah memegang watak utama, pembantu, tambahan, bahkan pak pacak,” jelasnya menjawab soalan tentang dirinya yang sering membawa watak sokongan.

Rezeki masing-masing

DITANYA tentang peluangnya untuk meneraju sesebuah drama sebagai pelakon utama yang belum pernah dirasainya, Emelie sangatlah positif dan optimis dalam memberi jawapan terhadap soalan tersebut.

Menjadikan primadona filem Melayu klasik iaitu Allahyarhamah Siput Sarawak sebagai contoh, aktres yang mempunyai iras wanita Pakistan atau Arab itu berpendapat, setiap pelakon ada kekuatan dan kelemahan tersendiri.

“Saya pernah dengar satu cerita mengenai pelakon legenda Siput Sarawak yang sepanjang hayatnya sebagai anak seni, memang terkenal dan gemar membawakan watak pembantu kerana beranggapan ia lebih sukar serta mencabar berbanding watak utama.

“Jadi, apabila dapat tawaran seperti itu, saya rasa dihargai kerana diberi penghormatan dan peluang untuk membantu pelakon utama menjayakan sesebuah jalan cerita. Percaya atau tidak, ketiadaan pelakon pembantu mampu membuatkan sesebuah jalan cerita yang dipersembahkan mendatar, atau lebih teruk lagi mesej yang disampaikan gagal,” kata Emelie.

Bagaimanapun pada tahun ini, draf lakonan Emelie sedikit berkembang ke paras lebih tinggi apabila buat pertama kalinya ditawarkan watak peneraju dalam siri Memori Cinta #3 untuk siaran HyppTV bergandingan bersama Dayana Roza, Shima Anuar dan Riz Amin yang menjalani penggambaran di sekitar Sydney, Australia.

Terbaharu, dia sekali lagi bertuah kerana namanya telah dipilih untuk menerajui siri Dawai Asmara di sisi pelakon utama yang lain iaitu Hanna Aqeela, Putri Najuwa, Zoey Rahman dan Faiez Affandi.

“Semestinya ia keterujaan terbesar pernah dialami apabila mendapat watak utama. Lapan tahun lamanya untuk menikmati peluang ini. Akhirnya penantian saya berbalas dan portfolio karier lakonan bercambah.

“Memori Cinta #3 telah pun tamat siarannya dan sekarang Dawai Asmara pula menjadi antara topik rancak dibualkan oleh netizen di laman sosial. Diharapkan dua siri drama ini boleh memacu masa depan yang lebih cemerlang dalam kerjaya saya.

“Tambahan pula, pengarah yang mengarahkan Dawai Asmara bukan calang-calang orang iaitu Azma Aizal Yusoof, individu yang pernah menang gelaran Pengarah Terbaik. Saya rasa ramai pelakon di negara kita teringin berlakon di bawah arahannya dan Alhamdulillah, hasrat saya ditunaikan,” ujarnya berkongsi kegembiraan atas pencapaian peribadi.

Terkini, Emelie sedang sibuk di set penggambaran bagi menjayakan drama Akadku Yang Terakhir untuk siaran Astro tidak lama lagi bersama pasangan hero dan heroin, Amar Baharin dan Mia Ahmad.

Sebelum menamatkan sesi perbualan pada hari tersebut, Emelie sempat berpesan agar penggiat seni sama ada penerbit mahupun pengarah membuat sesuatu penilaian bakat selepas seseorang pelakon itu diberikan peluang untuk membuktikannya.

“Bukannya main serkap jarang merendah-rendahkan kebolehan pelakon itu dengan memberi watak stereotaip atau serupa. Cuba ambil risiko dengan memberikan watak yang jarang dibawakan pelakon itu. Apabila sudah melihat, maka buatlah penilaian berdasarkan prestasi.

“Jangan sesekali tentukan si polan itu si polan ini tidak boleh melakukannya tanpa memberi percubaan,” tuturnya menyuarakan isi hati.- Gambar NOOR AZLINA JAAFAR