Tidak mahu mensia-siakan bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan, wanita berusia 32 tahun itu juga perlu memastikan jenamanya tidak tergugat dengan kehadiran pendatang baharu.

Lantaran itu, Zarina perlu memastikan dirinya ada bekalan yang lebih terjamin andai satu hari nanti dia tidak lagi diperlukan lagi.

Zaman nak cepat naik dengan mencipta kontroversi itu dah lama berakhir. Saya juga yakin orang hari ini juga dah semakin bijak menentukan sama ada artis itu sengaja buat gimik untuk publisiti atau sebaliknya.

Kita tak boleh nak menjangkakan apa yang berlaku pada masa depan. Apatah lagi pada zaman sekarang ini saya melihat aliran wajah baharu diberi keutamaan untuk ke depan.

“Tak kiralah sama ada dalam seni nyanyian atau lakonan. Situasi itu membuat saya lebih berjaga-jaga apabila mengenangkan nasib orang lama seperti saya.

“Macam-macam kemungkinan boleh berlaku masa depan. Sebelum terjadi apa-apa, lebih baik buat perancangan sokongan,” kata Zarina tentang perancangan hidupnya selepas menceburi bidang seni kira-kira 12 tahun.

Berkongsi cerita, Zarina mengakui dia kini bertindak sebagai konsultan dalam bidang perindustrian yang nyata jauh berbeza daripada bidang seni yang diceburi.

Bagaimanapun menurut Zarina, dia seronok apabila dapat menimba pengalaman dan berjumpa dengan orang baharu yang mempunyai kepakaran lain berbanding dirinya.

Zarina juga memanfaatkan setiap ilmu baharu yang diperoleh itu sebagai pegangan diri untuk kegunaan diri pada masa depan.

“Saya menceburi bidang lain sebab mahu mengembangkan pengetahuan dan mencari peluang pekerjaan lain. Jadi tidaklah tertumpu pada satu bidang semata-mata.

“Kalau masa awal-awal dulu menceburi bidang seni, bolehlah saya menunggu tawaran kerja datang depan mata. Tapi masa sekarang ini, dah berubah.

“Saya sendiri yang perlu bekerja keras mencari duit lebih,” katanya yang baru saja terlibat dalam pementasan Gemilang Tanah Permata: Sebuah Pemen­tasan Ghazal-Zapin Johor di Istana Budaya baru-baru ini.

Soal Jodoh

SEMPAT mengusik Zarina tentang jodoh, anak kelahiran Johor ini mengakui perkara tersebut juga acap kali bermain di fikiran sejak akhir-akhir ini.

Memandangkan rakan-rakan sebaya sudah berkahwin dan membuat zuriat sendiri, Zarina juga menyimpan keinginan untuk menikmati kebahagiaan sebegitu seperti mereka.

“Doakan sajalah agar saya bertemu dengan jodoh yang baik dan berkekalan hingga hujung nyawa. Saya tidak menetapkan kriteria tertentu dalam soal ini.

“Cukuplah calon suami itu seorang yang matang, bertanggungjawab dan mampu membimbing saya ke arah kebaikan, itu sudah memadai.

“Saya tidak mahu terburu-buru dalam soal ini kerana mengambil iktibar daripada kes kegagalan rumah tangga yang terjadi sebelum ini.

“Tak mengapalah lambat sikit bertemu jodoh. Yang penting, bakal suami saya itu sentiasa di sisi pada saat susah dan senang,” katanya penuh optimis.

Jaga publisiti

DALAM pada itu, Zarina menegaskan tidak mahu muncul media massa tanpa publisiti berhubung kerjaya seninya. Seboleh-bolehnya Zarina mahu mengehadkan cerita tentang dirinya di khalayak.

Ini kerana menurut Zarina, dia mahu menapis cerita-cerita kontroversi dan tidak bermanfaat didedahkan di khalayak. Sekalipun namanya jarang terpalit dengan cerita sensasi, namun Zarina tetap tidak selesa.

“Zaman nak cepat naik dengan mencipta kontroversi itu dah lama berakhir. Saya juga yakin orang hari ini juga dah semakin bijak menentukan sama ada artis itu sengaja buat gimik untuk publisiti atau sebaliknya.

“Peredaran masa juga banyak membuatkan saya terfikir yang sebenarnya saya perlu lebih menjadi diri sendiri. Tak perlu bergantung kepada orang lain.

“Sekali pun ada cerita-cerita gosip yang mengusik tentang diri, saya tidak akan mudah melatah. Biarlah orang luar nak cakap apa-apa tentang diri saya.

“Asalkan saya tahu tindakan saya itu betul dan tidak melanggar undang-undang, itu sudah memadai,” ujarnya yang bakal terlibat dengan satu projek besar di Selatan tanah air hujung bulan ini.

Berhubung projek istimewanya itu, Zarina enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu proses perbincangan antara dirinya dengan pihak terlibat.

Bagaimanapun Zarina bersedia untuk berkongsi perkhabaran gembira tersebut apabila semua urusan sudah berakhir tidak lama lagi.