Lelaki tinggi lampai berdarah kacukan Pakistan ini bukan sahaja merendah diri, namun tutur katanya yang petah dan tidak lokek berkongsi kisah hidupnya membuatkan orang sekeliling senang bergaul dengannya.

Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 25, yang didedahkan dengan selok-belok berniaga oleh bapanya sejak berusia 15 tahun, sememangnya berjiwa besar dan yakin bahawa setiap orang mempunyai rezeki dalam bidang masing-masing.

Siapa sangka, dia yang turut dikenali dengan nama komersial, Mas Khan kini menguruskan dua perniagaan milik keluarga iaitu taman tema bagi sukan ekstrem, ATV Adventure Park yang terletak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang dan sebuah resort, Mas Bro Village di Melaka.

“Bukan mudah untuk menguruskan sesebuah perniagaan. Namun berkat, usaha dan didikan daripada ayah, saya dan adik beradik yang lain berjaya menguruskan perniagaan ini.

“Dahulu..., ayah saya bukanlah orang yang senang. Dia memulakan perniagaan kecil-kecilan iaitu membuka sebuah taman sukan ekstrem pada 2006 dengan hanya lima buah motor ATV sahaja,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, Mas Khan turut memberitahu bahawa bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus cawangan di sebuah syarikat swasta mengambil tindakan nekad untuk berhenti kerja semata-mata ingin membuka bisnes yang diminati.

“Ayah dan ibu saya bermula dari bawah iaitu dengan hanya mempunyai modal yang sedikit, mereka memulakan perniagaan dengan meneroka sebuah hutan di Kampung Kemensah, semata-mata mahu membuka sebuah taman untuk sukan motor ekstrem itu.

“Ayah memberi pendedahan tentang selok-belok perniagaan kepada saya sejak saya masih kecil lagi. Perniagaan yang kami jalankan ini bermula dari bawah, sepertimana yang sering orang katakan iaitu ‘pelan-pelan kayuh’,” katanya.

Tambahnya, aktiviti menaiki motor ATV ketika itu masih belum dikenali seperti hari ini. Justeru, membuka perniagaan berkaitan aktiviti tersebut ketika itu cukup mencabar, terutama untuk memperkenalkannya kepada orang ramai.

“Untuk menjual sesuatu produk di pasaran, sudah semestinya memerlukan kos yang tinggi. Disebabkan tidak mempunyai modal yang banyak, kami sekeluarga memasarkan sendiri aktiviti tersebut.

“Alhamdulillah, selepas hampir 14 tahun taman sukan lasak itu dibuka, ia kini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung dan ketika ini jumlah jentera ATV sudah melebihi 100 buah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang menguruskan perniagaan tersebut, beliau dengan tenang memberitahu bahawa kos penyelengaraan bagi motor ATV adalah tinggi.

“Kenderaan bermotor memerlukan penyelenggaraan yang kerap bagi membolehkannya bergerak dalam keadaan terbaik. Ini penting demi keselamatan pengunjung,” katanya sambil memberitahu motor ATV hanya boleh digunakan selama lima tahun sahaja.

“Selepas lima tahun motor ATV ini perlu ditukar dan tidak boleh digunakan lagi kerana berbahaya kepada pengunjung,” katanya.