Berikutan pengakuannya itu, timbul gosip yang mengatakan pelakon drama bersiri Dendam Aurora ini telah bertemu wanita istimewa dan sudah pun berjumpa dengan keluarga wanita berkenaan untuk ke fasa yang lebih serius.

Namun begitu, ketika diminta mengulas mengenai berita tersebut, Eizlan, 46, menafikannya dan menegaskan bahawa dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Saya amat terkejut apabila bertalu-talu mesej daripada kawan-kawan yang mengucapkan tahniah ketika saya baru bangun dari tidur. Awalnya saya berasa agak pelik kenapa mereka mengucapkannya.

“Selepas itu barulah saya tahu mengenai gosip yang mengatakan saya sudah bertemu dengan bakal mentua. Tergelak besar saya membacanya. Sejujurnya, berita itu tidak benar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Eizlan mengaku dirinya sedang berkawan dengan ramai orang terutama wanita sebagai salah satu ikhtiar untuknya mencari calon isteri yang sesuai.

Tambahnya, andai suatu hari nanti dia bakal mengakhiri zaman duda, dia tidak akan merahsiakan berita tersebut. Sebaliknya Eizlan berbesar hati untuk berkongsi perkara berkenaan dengan media dan peminat-peminatnya.

“Sebenarnya sekarang ini memang saya ada berkawan dengan ramai wanita. Saya berjanji untuk berkongsi berita gembira ini sekiranya saya sudah bertemu seseorang yang istimewa.

“Saya tidak akan merahsiakannya terutama kepada pihak media yang selama ini menyokong perjalanan karier seni saya. Dalam soal ini, tidak mungkin saya ketepikan pihak media,” jelasnya.

Bercerita mengenai wanita istimewa, Eizlan mahu seorang wanita yang memahami dan menerima dia seadanya sebagai pilihan hati tanpa terlalu mementingkan status wanita berkenaan.

“Saya tidak meminta lebih daripada seseorang wanita itu. Saya hanya mencari wanita yang mampu memahami dan menerima siapa diri saya seadanya. Ciri itulah yang paling penting terutama pada usia saya sekarang ini,” ujarnya ringkas.

Eizlan pernah mendirikan rumah tangga dengan Vie Santie Harun pada 7 Julai 2007 sebelum bercerai talak satu pada 28 September 2014. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.

Dalam seronok bercerita kisah peribadi, Eizlan turut sama teruja untuk berkongsi perihal filem baharu lakonannya, Pencuri Hati Mr. Cinderella yang digandingkan dengan sahabat baiknya, Ahmad Idham sebagai watak utama.

Berkisah tentang percintaan lelaki yang berusia, Eizlan berharap filem ini mampu menarik minat masyarakat untuk menonton filem atau drama yang mengetengahkan pelakon senior sebagai teraju utama.

“Jika kita tengok industri filem negara luar terutama di Hollywood, mereka menerima dengan terbuka filem-filem yang memaparkan lelaki berusia sebagai watak utama. Ini bukan sesuatu yang pelik di sana.

“Oleh itu, dengan adanya filem Pencuri Hati Mr. Cinderella ini, besar harapan saya agar selepas ini masyarakat dan peminat filem dan drama tempatan juga dapat menerima wajah-wajah pelakon senior sebagai hero,” katanya.