Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Berjuang demi impian

Status bukan halangan – Syamim Farid

(Dari kiri)  Farah Nabila, Sarah dan Syamim mahu khalayak kenali
(Dari kiri) Farah Nabila, Sarah dan Syamim mahu khalayak kenali mereka menerusi bakat.

KEMUNCULAN wajah baharu dalam bidang seni, baik lakonan atau nyanyian adalah perkara biasa. Terpulang kepada nasib masing-masing, ada yang berjaya mencipta nama dan tidak kurang juga yang gagal. Itu semua lumrah kehidupan kerana setiap orang ada rezeki masing-masing.

Bagi tiga bakat baharu - Farah Nabilah, Syamim Farid dan Sarah Ismail, mereka juga ada impian dan matlamat tersendiri. Masing-masing tahu, mereka perlu bekerja keras untuk menggapai impian dan mencipta nama dalam bidang yang diceburi. Baru-baru ini HITS sempat mengadakan sesi fotografi dengan mereka dan bertanya tentang perjalanan seni masing-masing.

Status bukan halangan – Syamim Farid

INGAT lagi dengan Syamim Farid yang pernah menjadi hos program Hlive dan Go Shop? Memanglah sekarang ini dia tidak muncul di kaca televisyen kerana sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kedua-dua program tersebut lantaran kontrak sudah tamat.

Namun minat Syamim dalam bidang seni tidak pernah putus biarpun sudah bergelar isteri kepada Tengku Ezrique Ezzuddean, 29, yang disatukan pada 21 Mac tahun lalu.

Sebagai memenuhi keinginannya, Syamim sering menerima tawaran sebagai juruacara untuk majlis perkahwinan atau korporat.

“Tak boleh nak tinggalkan bidang seni seratus peratus sebab rindu. Bayangkan hampir dua tahun saya menjadi pengacara, kalau tak buat kerja, rasa tak lengkap hidup. Tambah-tambah apabila dapat suami yang menyokong karier kita.

“Sekarang ini saya bernaung di bawah E Studios Management Sdn. Bhd., jadi kalau ada peluang pekerjaan mereka akan atur. Selain itu saya juga mencari sendiri peluang kerana mengacara itu minat, jadi apa saja halangan saya redah saja,” katanya.

Bagi memastikan kedudukannya dalam bidang seni kukuh, Syamim bercadang untuk menceburi bidang lakonan juga. Pada tahun lepas dia berpeluang mengasah bakat dalam bidang lakonan menerusi drama Mamat Muka Selenge.

“Kalau boleh saya mahukan watak yang berbeza dengan peribadi, barulah mencabar. Tambah-tambah kalau dapat peluang melakonkan watak wanita teraniaya atau jahat. Rasanya tak ada masalah untuk saya mengalirkan air mata. Untuk watak jahat, saya suka kalau orang nampak dia baik tapi sebenarnya jahat. Itu mencabar bagi orang baharu seperti saya.

“Walaupun saya mendapat izin daripada suami tapi saya tahu batasan. Tak adalah saya nak lakonkan adegan mesra yang lebih-lebih.

“Maklumlah menjadi pengacara skop kerjanya berbeza dengan lakonan yang memerlukan kita bergandingan dengan orang lain. Jadi saya perlu berhati-hati dalam hal itu,” katanya.

Sarah Ismail terus bersabar

ORANGNYA berbakat dan sering menjadi rujukan rakan-rakan artis lain untuk membimbing mereka dalam bidang seni suara kerana Sarah atau Maisarah Ismail, 30, mempunyai kelayakan akademik iaitu Sarjana Muda Seni Muzik.

Mendengar Sarah menyanyi lagu Gelora, dendangan Saloma dengan gaya jazz ketika ditemu bual amat mempesona kerana lagu tersebut disampaikan dengan gaya tersendiri.

Kata Sarah, kalau ada persembahan, dia suka mendendangkan lagu-lagu malar segar sama ada tempatan atau antarabangsa dengan lenggok berbeza daripada melodi asal kerana mahu memberikan kelainan.

“Saya suka menyanyi lagu-lagu penyanyi lain mengikut gaya sendiri sama ada dengan lenggok jazz atau klasik. Selalunya lagu-lagu lama. Kalau suruh nyanyi lagu baharu yang popular masa kini, lambat sikitlah.

“Lagu-lagu yang saya dendangkan semula dengan gaya tersendiri itu akan kedengaran lebih santai dan setakat ni belum ada yang kata tak sedap,” katanya ketawa.

Merupakan guru vokal yang sering berkongsi ilmu dengan rakan-rakan artis, Sarah pernah diundang menjadi guru vokal untuk peserta program Rockanova yang pernah disiarkan di saluran Astro Prima.

“Sudah dua tahun saya mengajar dan sekarang ini ada kira-kira 20 pelajar yang konsisten. Selalunya akan berada di studio selama dua hari saja, yang lain pergi mengajar di luar. Saya turut dibantu oleh seorang kakitangan.

“Saya tidak pernah membataskan usia pelajar, janji mereka ada minat untuk mengasah bakat dan sebagai tenaga pengajar saya sedia turunkan ilmu kepada yang mahu.

“Kalau artis, mereka hanya akan dapatkan khidmat saya kalau ada projek. Contohnya, Liyana Jasmay, jika dia ada persembahan, dia akan berlatih dengan saya. Begitu juga dengan Sufian Suhaimi, Noh Hujan, Nabila Razali dan Arja Lee,” ceritanya.

Biarpun dikenali sebagai guru vokal dan tahu teknik-teknik nyanyian namun itu belum membantu Sarah untuk menjadi penyanyi popular seperti rakan artis lain.

Mungkin nasib belum menyebelahi anak ketiga daripada lima beradik itu kerana lagu dendangannya, Percaya yang diperkenalkan setahun lalu tidak begitu menyerlah seperti yang diharapkan.

“Sebagai penyanyi, saya sudah melakukan yang terbaik dan Percaya merupakan lagu keenam yang saya rakam tapi orang masih belum mengenali saya. Nak kata kecewa, tak juga sebab saya telah memberi sepenuh hati. Saya percaya, satu hari nanti rezeki saya pasti ada, asalkan tidak berputus asa.

“Sekarang ini pun rezeki saya tak putus kerana sering mendapat undangan mengadakan persembahan dengan kumpulan muzik yang mengiringi saya sejak tujuh tahun lalu. Menyanyi dengan kumpulan ini seronok kerana kita dapat memenuhi kehendak penonton,” katanya yang pernah berlakon dalam drama Hotel Mania.

Nak buka restoran

Pemilik Sarjana Muda Psikologi, Segi University College SEGI, Subang Jaya, Selangor itu berkata, setakat ini dia lebih menumpukan perhatian kepada lakonan. Selain Papa Ricky, dia juga pernah muncul dalam Inikah Cinta yang merupakan drama pertama lakonannya.

“Sebenarnya pembabitan saya dalam bidang lakonan bermula apabila ada beberapa pihak produksi sering mengadakan penggambaran di rumah saya. Mula-mula saya ditawar jadi pelakon pembantu dan tak sangka pula kemudiannya saya jatuh cinta untuk berlakon. Antara drama saya adalah Tersuka Tanpa Sengaja dan Ustaz Pink.

“Insya-Allah nanti, saya akan jalani penggambaran drama Titian Cinta, 28 episod,” katanya.

Dia yang enggan berkongsi cerita peribadi secara terbuka berkata, sepanjang menjalani penggambaran drama Papa Ricky sebanyak 80 episod, ada beberapa tawaran drama terpaksa ditolak.

“Memang sedih sebab terpaksa tolak tawaran berlakon drama dan iklan tetapi saya tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Penggambaran drama itu pula ambil masa kira-kira lapan bulan. Baik tumpukan pada satu pekerjaan sahaja,” katanya yang tidak mahu tamak.

Memasak sebagai terapi – Farah Nabilah

PELAKON Farah Nabilah Saipuddin, 25, bukan sekadar mampu mengusik hati penonton dengan lakonannya sebagai Cikgu Khaty dalam drama bersiri Papa Ricky malah dia juga boleh membuat orang lain tersenyum riang dengan hasil air tangannya.

Dia bukan sekadar jelita tetapi juga pandai memasak. Bercerita lanjut tentang minatnya yang suka memasak itu, kata anak sulung daripada enam beradik ini, sejak kecil dia suka menemani ibunya di dapur.

“Saya jenis masak, main campak-campak saja. Kalau ikut sukatan itu yang selalunya masakan tak menjadi terutamanya makanan tradisional. Lainlah kalau buat kek atau biskut, memang kena ikut sukatan,” ceritanya.

Selain mengumpul resipi terutamanya resipi keluarga yang turun temurun itu, Nabilah juga sering membeli majalah atau buku masakan. Bagaimanapun sekarang ini dia sering mencari resipi dari Internet.

“Dulu apabila tengok ibu masak, saya salin resipi atas kertas tapi tak teratur. Kemudian apabila saya buat buku resipi barulah kertas-kertas resipi itu saya tampal di buku. Sekarang ini mudah saja nak kumpul resipi, buka saja Google, bermacam-macam ada.

“Saya jenis yang suka mencuba sesuatu yang baharu. Contohnya, kalau saya pergi makan di satu kedai dan makanannya sedap, saya akan cuba buat dengan resipi sendiri.

“Jika saya berjaya buat lebih sedap daripada makanan di kedai itu, tak payahlah saya pergi ke kedai itu lagi,” katanya berseloroh.

Nabilah yang gemar membuat kek dan biskut itu berkata, antara cef kesukaannya ialah Gordon Ramsay.

“Memasak juga membantu saya mengatasi tekanan. Kalau tengah malam, saya tak boleh tidur, saya akan ke dapur untuk membuat kek atau biskut. Semua permasalahan saya hilang apabila memasak.

“Tiap kali raya, saya pasti sibuk di dapur sebagai pembantu saja kerana kat kampung di Kelantan ramai lagi cef yang handal. Makcik-makcik saya lagi pakar dan dari situlah saya kumpul resipi.

“Pun begitu kalau keluarga saya buat rumah terbuka, saya yang akan sibuk memasak. Memang penat tapi saya suka apabila orang makan dengan berselera,” katanya yang sering menjadi tumpuan rakan-rakan sewaktu sekolah menengah kerana bekal yang dibawa sering dikongsi bersama.

Antara kepakaran Nabilah adalah menyediakan puding roti, butter chicken dan pasta, sementara raya pula biskut yang sering menjadi permintaan keluarganya adalah popia nestum. Pada tahun lepas, dia turut terima tempahan daripada kenalan rapat.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan