Nyata kelebihan ‘deria’ itu umpama penyelamat buat pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay, 29, yang terlibat dalam industri hiburan sejak dua dekad lalu.

Ajaran ibu, Habibah Simpon yang menguruskan perjalanan kerjaya seninya sejak berusia sembilan tahun turut mendorong pemikiran Liyana untuk ‘menapis’ niat buruk individu yang berurusan dengannya selama ini.

Atas sebab itu, rekod perjalanan kerjaya Liyana lancar hingga ke hari ini walaupun tanpa pengurusan ibu kerana awal-awal lagi dia dapat mengusir anasir penipuan berkenaan.

“Saya bukan nak cakap besar atau apa dalam bab kalis tipu ini, tapi pemikiran rasional kita juga boleh menilai sama ada tawaran kerja yang mendatang itu boleh diterima akal atau tidak.

“Jadi kenapa perlu kita membiarkan diri kita menjadi mangsa penipuan sedangkan awal-awal lagi kita boleh mengelak bukan. Saya bercakap bukan dalam bab wang ringgit saja.

“Tapi dalam skop kerja dan komitmen kita sebagai golongan artis yang dilihat mudah dipergunakan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka sendiri.

“Nanti yang busuk nama artis itu sendiri kerana mereka dikenali. Bukannya pihak yang menawarkan kerja itu,” jelas penyanyi lagu Oh Na Na ini.

Dalam perkembangan berkaitan Liyana menegaskan dia sama sekali tidak akan menggunakan pengaruh kedudukan keluarganya untuk kegunaan peribadi bagi menjamin kerjayanya lebih kukuh.

Sebaliknya Liyana sanggup berdikari dan berusaha untuk mendapatkan apa yang diinginkan biarpun terpaksa bersusah payah untuk tujuan yang sama.

Liyana juga percaya setiap usaha yang gigih itu akan membuahkan hasil yang memuaskan diri sendiri berbanding menumpang pihak lain.

“Dalam dunia moden macam hari ini, semua orang kena bekerja kuat kalau nak hidup senang. Siapa kata kalau anak orang kaya itu layaknya goyang kaki duduk rumah saja dan menunggu rezeki depan mata.

“Saya bukan jenis itu sebab saya sendiri yang berusaha keras untuk menentukan apa yang terbaik buat masa depan sendiri. Apa yang ada depan mata saya ini adalah hasil kerja keras saya.

“Sebab itu saya menghargainya sampai bila-bila,” kata Liyana yang memiliki syarikat penerbitan Mermaid Studio dan rangkaian jenama pakaiannya sendiri.

BERHUBUNG dakwaan segelintir pihak yang masih mempertikaikan kredibilitinya sebagai penyanyi, Liyana mengambil pendekatan untuk tidak melayan perkara tersebut.

Sebagai penyanyi profesional, Liyana sebagai memastikan tahap nyanyiannya dalam kedudukan yang memuaskan selepas mengikuti kelas vokal setiap hujung minggu.

Liyana juga percaya beberapa klip video nyanyiannya yang dimuat naik dalam laman sosial sebelum ini lambat laun dapat membantu mengubah persepsi negatif tersebut satu masa nanti.

“Buat apa saya nak buktikan dakwaan tersebut semata-mata untuk memuaskan hati pihak yang mempertikaikan kemampuan nyanyian saya. Sia-sia bukan jadi jangan buang masa.

“Lebih baik saya memperbaiki kekurangan diri. Tak bolehlah pukul sama rata Liyana Jasmay yang menyanyi saat awal dulu dengan yang ada sekarang. Tak adil.

“Jadi cara yang terbaik, saya jadi diri sendiri. Biarlah orang nak kata apa, nanti kalau mereka dah senyap pasti akan tutup mulut itu juga,” katanya lagi.

Saya bukan jenis itu sebab saya sendiri yang berusaha keras untuk menentukan apa yang terbaik buat masa depan sendiri. Apa yang ada depan mata saya ini adalah hasil kerja keras saya.