Bercakap soal ini, Eina Azman tidak menolak dua anak kembarnya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey yang kini berusia setahun, sudah mendapat tawaran yang serupa.

Namun berbekalkan keputusan dua pihak iaitu dia dan suami, jelasnya ketika ini anak-anaknya itu masih belum mampu diberikan lampu hijau. Kata Eina, sebagai seorang anak seni dia tidak melihat ada kesalahan buat anak-anaknya mengikut jejak langkahnya, namun pada kala ini, umur adalah penghalang utama.

“Sebenarnya memang sudah ada tawaran buat anak-anak saya muncul dalam iklan dan sebagainya. Jujur saya katakan, bukan masalah untuk saya membenarkan mereka.

“Namun dalam soal ini suami masih enggan membenarkan anak-anak muncul dalam mana-mana iklan. Bagi dia, mereka masih terlalu kecil. Tunggulah waktu yang sesuai untuk kami benarkan,” katanya jujur.

Setahun membesarkan dua anak kembarnya, Eina tidak menolak ini adalah hadiah paling indah buat dirinya sebagai seorang wanita. Malah sebagai ibu muda, dia ada cara tersendiri untuk membesarkan zuriatnya.

“Saya banyak belajar daripada kawan-kawan dan sebagainya. Memang bukan mudah untuk menjadi seorang ibu namun saya ingin terus belajar dan dalam waktu yang sama menghargai peluang ini.

“Sama seperti ibu bapa lain, saya juga sudah merencanakan sesuatu buat anak-anak. Antara yang paling dekat, saya mahu hantar anak-anak ke sekolah lebih awal. Bagi memberi pendedahan kepada mereka, kalau boleh saya mahu mereka berdikari,” katanya.

Bukan suatu rahsia lagi bagi peminat Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakira Azman, 22, berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 38, pada 31 Ogos 2014. Melihat kehidupannya kini pasti ada yang berbeza. Namun mengenali wanita ini kemewahan bukan paksi utama untuk dia membesarkan anak-anaknya.

“Bukanlah saya mahu membesarkan anak-anak dalam kemewahan atau sebagainya. Tetapi sebagai ibu bapa kerja keras kita memang untuk anak-anak. Pernah saya suarakan kepada suami, kalau boleh saya tidak mahu anak-anak melalui apa yang pernah kami lalui.

“Jadi ketika ini saya akan cuba memenuhi apa sahaja permintaan mereka, selagi termampu,” katanya.

Tidak melihat bakal menambah bilangan ahli keluarga dalam waktu terdekat, kongsi Eina, ketika ini fokusnya adalah untuk membesarkan dua anaknya ini dengan penuh kasih sayang.

“Melalui pengalaman lalu, sepatutnya saya melahirkan tiga anak kembar. Tetapi salah seorangnya tidak bernyawa. Menurut doktor kemungkinan besar peluang untuk saya melahirkan anak kembar tiga masih ada, jadi saya fikir tunggulah dulu.

“Malah dalam waktu ini juga saya masih belum puas untuk memberikan anak-anak dengan kasih sayang. Mungkin lagi setahun dua. Suami memang mahu sebuah keluarga yang besar,” katanya.

Menafikan kerjaya lakonannya mendapat tentangan daripada suami. Dari mula dia bergelar seorang isteri, Eina tidak pernah merasakan keadaan itu. Malah apa yang lebih penting suami adalah penyokong utama buat dirinya.

“Suami tidak pernah melarang saya berlakon atau aktif dalam bidang lakonan. Cuma sebagai seorang ibu dan isteri ada perkara yang perlu diberi fokus dahulu.

“Tambahan waktu ini anak-anak masih kecil. Apa yang boleh saya janji, lakonan adalah minat jadi saya tidak akan tinggalkannya,” katanya.

Mengimbau kembali ketika dia membuat keputusan untuk berkahwin pada usia 19, jelas Eina itu adalah keputusan paling tepat buat dirinya.

Malah dia juga tidak menyangka kebahagiaannya ini diteruskan pula dengan kelahiran anak kembar ketika berusia 21 tahun.

“Saya tidak melihat perkahwinan pada awal usia sebagai sesuatu yang salah. Malah berkahwin bukan bermakna seseorang itu perlu melupakan kehidupan lalunya.

“Ia lebih kepada bagaimana cara kita memenuhi keperluan kita sebagai seorang isteri dan kini menjadi ibu.

“Saya masih menjalani kehidupan yang sama cuma dengan tanggungjawab yang berbeza. Apa yang lebih manis, tiada masalah untuk saya dan suami ke mana-mana bersama,” katanya.

Enggan mengambil pusing

Ada sahaja yang tidak kena, malah kehidupan Eina sering kali menjadi bualan di laman-laman sosial. Malah percutian keluarganya baru-baru ini juga menimbulkan perdebatan hebat di laman sosial.

Merujuk kehidupannya sekarang, Eina tidak pernah terniat untuk menunjuk-nunjuk. Malah apa yang lebih penting dia yakin keluarga adalah harta yang paling bernilai untuk dirinya.

“Percutian saya ke luar negara baru-baru ini adalah perancangan oleh suami saya sendiri. Memang kami sudah lama tidak bercuti selepas bergelar ibu bapa, jadi apa salahnya.

“Saya memang tidak ambil pusing apa juga kata-kata orang di luar sana. Langsung tiada niat dalam hati saya untuk menunjuk-nunjuk.

“Lebih baik saya fikirkan keluarga sahaja daripada kata-kata orang di luar sana,” katanya.

Tidak itu sahaja, akui Eina memang ada rakan-rakan yang menjauhi dirinya. Bukanlah terasa, namun katanya, dia tidak pernah menjadi orang lain semenjak berkahwin. Namun dengan tanggungjawab yang ada tentu pelbagai rutin yang perlu disesuaikan dengan dirinya.

“Memang ada yang menjauhkan diri, saya tidak perlu tahu kenapa kerana itu semua tidak penting. Yang penting saya hanya menjadi diri sendiri dan tidak pernah berubah. Soal yang cuba ambil kesempatan pula, saya tidak pernah terfikir. Keluarga adalah insan-insan paling dekat dengan saya ketika ini,” katanya.