Melalui pelbagai fasa ujian dalam hidup termasuk dimasukkan ke dalam penjara dan bercerai, lelaki berusia 36 tahun dan bapa tunggal kepada seorang anak perempuan ini tidak pernah sunyi dengan kehadiran cinta wanita cantik.

Sejak tiga tahun lalu, cintanya bertahan dengan pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Sophia Latjuba biarpun baru-baru ini sempat diintai isu curang, namun wanita yang dikaitkan dengan Ariel dikatakan ada kaitan keluarga dengan vokalis Noah itu.

Malah ramai tertanya-tanya apakah status hubungan mereka apabila Sophia, 47, mengenakan kemeja-T bertulis wife ketika bercuti di sebuah pulau peranginan tempoh hari.

Menjelaskan status dirinya, Ariel atau Nazril Irham memberitahu, sehingga kini fokusnya hanya kepada kerja dan masih belum terfikir untuk berkahwin buat kali kedua.

“Saya masih solo dan belum berkahwin. Soal (khabar angin) itu rasanya memang perkara biasa untuk semua orang berprasangka. Yang penting saya sudah menerangkan keadaan sebenar,” jelasnya ketika hadir pada sesi sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga pada waktu terdekat, katanya, ketika ini perkahwinan bukan fokus utama memandangkan dia sendiri sudah mempunyai anak, Alleia Anata Irhan yang kini berusia 12 tahun.

“Saya sudah mempunyai Alleia sekarang jadi tidak perlu terburu-buru untuk berkahwin. Memang sekarang fokusnya adalah karier sahaja,“ katanya jujur.

Namun ketika ditanya mengenai perkembangan kisah cintanya dengan Sophia yang semakin intim, Ariel kekal berhati-hati dalam menjawab.

“Yang paling susah adalah untuk memisahkan kisah peribadi dan karier saya. Tapi saat ini saya lebih senang berbicara soal karier. Hubungan itu seperti biasa... tiada masalah,” katanya ringkas.

Terkenal dengan lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat, Noah tidak nafikan ketika ini sepatutnya album baharu mereka sudah berada di pasaran. Bagaimanapun kesibukan membuatkan album yang sepatutnya dilancarkan pada tahun ini ditangguhkan pada April depan.

“Selepas ini kami akan meminta cuti selama tiga bulan untuk menyiapkan album baharu. Memang patutnya sudah siap tetapi kekangan waktu menyebabkan niat itu ditangguhkan,” kata Ariel.

Bercakap mengenai konsert Noah yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25 November ini, ternyata ada kegusaran yang dinyatakan oleh Ariel sendiri.

Jelasnya, dengan usia Noah yang baru mencapai lima tahun dia sedar kerja keras adalah jawapan untuk memastikan peminat di Malaysia terus menghargai muzik kumpulan yang dianggotai tiga lagi pemuzik lain iaitu Uki, Lukman dan David.

“Ada yang berbeza dengan Noah kali ini, jika sebelum ini kami hanya hadir untuk menjayakan persembahan biasa tetapi kali ini adalah konsert buat peminat di Malaysia.

“Malah kami juga akan menyanyikan lagu baharu di konsert yang akan di adakan di Stadium Merdeka pada 25 November nanti,” katanya.

Bukan ringan kesalahan yang dibuat penyanyi ini sehingga menyebabkan dia menghabiskan masa selama tiga tahun enam bulan di penjara.

Tahu terbatas kuasa dirinya untuk memastikan semua pihak memaafkan dirinya, kata Ariel, selaku pesalah dia mahu memberitahu yang dia kini sudah berubah.

“Penerimaan yang berlaku harus berlaku dalam dua arah, maknanya saya berubah dan peminat menerimanya. Jadi ketika ini saya masih bekerja keras untuk meminta maaf daripada semua dan jawapannya semua terletak pada waktu.

“Maknanya di sini juga saya tidak akan berhenti di situ sahaja tanpa melakukan perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sukar sebenarnya menghakis nama Peterpan daripada Ariel, malah sehingga kini ada peminat di Malaysia lebih senang dengan gelaran Ariel Peterpan, nama kumpulan muzik yang mempopularkan dirinya dahulu.

“Tidak ada masalah untuk nama saya terus dikaitkan dengan Peterpan memandangkan di Indonesia juga selepas Noah ditubuhkan selepas beberapa tahun nama saya masih dikaitkan dengan Peterpan.

“Itu juga akan berlaku di sini, jadi yang boleh saya lakukan adalah untuk selalu mengadakan persembahan di Malaysia dan membuat promosi,” katanya.