Belum Fikir Soal jodoh

Gagal dalam perkahwinan terdahulu, Cita Citata akui mahu meneruskan kerjaya dan soal jodoh ditolak ke tepi

LAGU Sakitnya Tuh Di Sini mempopularkan nama Cita Citata di Malaysia. 2
LAGU Sakitnya Tuh Di Sini mempopularkan nama Cita Citata di Malaysia.

SAAT dibawa berbicara tentang sisi peribadi, Cita Citata hampir menitiskan air mata mengenang kisah lalunya. Seboleh-bolehnya, dia mahu merahsiakan apa yang berlaku kepada dirinya.

Bagaimanapun, wanita berusia 21 tahun ini tidak boleh mengelak kerana kisah perceraian bersama bekas suami, Galih Purnama telah pun menjadi perhatian ramai.

Semuanya terbongkar apabila lelaki itu muncul memberi kenyataan kepada media walaupun sudah tiga tahun menghilangkan diri.

“Dia (bekas suami) yang mulakan dulu apabila datang menemui media. Kalau tidak, orang tidak akan tahu tetapi saya tidak mahu menyalahkan dia. Mungkin itu satu rahmat buat saya kerana perceraian kami akhirnya mendapat pengesahan daripada mahkamah.

“Saya sudah lega. Tiga tahun saya menanti agar kemelut rumah tangga diselesaikan. Akhirnya, semua yang berlaku dipermudahkan. Saya sudah sah bercerai dengannya baru-baru ini.

“Maaf sebab merahsiakan status saya sebelum ini kerana tidak ada yang bertanya. Apabila ditanya adakah saya sudah mempunyai teman lelaki sudah tentu saya jawab tidak.

“Soalan sama ada saya solo atau pun sudah berkahwin tidak pernah ditanya namun sekiranya ada pertanyaan, pasti saya akan jawab dengan jujur, saya seorang janda,” katanya.

Mengaku zaman remajanya tidak seindah yang diimpikan apabila perkahwinannya hanya bertahan sebulan, Cita tidak pernah menyesal dengan semua itu.

“Kerana cinta saya larut dan mengambil keputusan untuk bernikah pada usia 18 tahun. Saya tidak berfikir panjang ketika itu.

“Namun, tidak menyangka semuanya musnah dalam sekelip mata. Selepas itu, saya bergerak sendiri dan tidak pernah menyesal berkahwin muda dan diceraikan.

“Kejadian itu menjadi pengajaran dan pengalaman dalam hidup saya. Perkara yang berlaku sememangnya sudah tertulis, saya juga masih tidak tahu apa yang bakal berlaku selepas ini,” ujarnya.

Masih solo

 

 

Masih tersisa rasa perit akibat ditinggalkan bekas suami, namun Cita tidak pernah patah semangat. Malah perihal yang berlaku itu telah menjadikan dia kuat dan lebih matang untuk menempuh liku serta dugaan yang mendatang pada masa depan.

Baginya perceraian itu bukan satu penghalang dalam membina dan mengukuhkan nama dalam bidang seni. Malah Cita juga berazam untuk merubah keadaan serta bertekad untuk menyinar dalam industri ini.

“Memang perceraian itu meninggalkan kesan buat diri saya terutama dalam kerjaya. Kalau bukan kerana diceraikan saya tidak dapat kekuatan untuk berhijrah ke Jakarta dan berada pada tahap sekarang,” jawab penyanyi ini.

Tidak ada istilah serik sekiranya bertemu lelaki yang sesuai dan bercinta lagi, Cita berkata, kali ini dia akan lebih berhati-hati.

“Pengalaman yang ada ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk lebih mengenali hati budi orang yang bergelar lelaki. Sama seperti wanita lain, saya inginkan suami yang baik. Biar semuanya ikhlas.

“Saya harap segalanya akan lebih baik selepas ini. Saya hanya mampu berdoa agar saya menemui jodoh yang terbaik nanti.

“Buat masa ini, saya belum berfikir lagi tentang jodoh. Saya hanya fikir kerja dan kerja. Itu sahaja.

“Demi kelangsungan hidup, saya tahu fokus itu penting. Saya tidak mahu terkandas lagi. Saya sudah selesa dan gembira dengan apa yang dimiliki sekarang.

“Memang saya sangat menikmati kehidupan bergelar seorang penyanyi. Walau apa pun yang terjadi saya tetap akan teruskan kerjaya seni dan tidak akan mengalah,” katanya yang popular dengan lagu Sakitnya Tuh Di Sini.

Biarpun terpaksa menerima banyak masalah dalam hidup sebelum menjadi popular, sebagai seorang yang dimiliki masyarakat, Cita tahu dirinya pasti akan dikeji dan dipandang rendah.

Tetapi, dia tidak mahu semua itu terus menyelubungi diri. Apa yang dia tahu, menyanyi itu sudah menjadi pekerjaan tetapnya dan harus diteruskan.

“Terpulang untuk orang itu menilai saya ini bagaimana orangnya. Saya tidak ambil peduli.

“Setakat ini, saya pandai menjaga diri terutama hubungan bersama peminat. Saya tahu peminat adalah kekuatan saya untuk terus berkarya,” katanya.

 

 

 

Pertama kali di Malaysia

Memilih genre dangdut sebagai taruhan dalam industri, Cita mengakui awalnya, dia tidak pernah berhasrat untuk bergelar selebriti kerana menyanyi dilakukan semata-mata demi mencari wang untuk menyara hidup.

“Asalnya, menyanyi hanya hobi dan diteruskan untuk mendapat wang. Tidak sangka sekarang saya menjadi artis dan sudah dikenali di Malaysia.

“Memang saya akui, lagu dangdut ini telah mempopularkan saya kerana sebelum ini saya juga pernah menyanyikan pelbagai lagu termasuk berentak jaz namun akhirnya memilih dangdut untuk diketengahkan.

“Lagu dangdut ini senang mendatangkan wang kepada saya. Itu yang perlu saya akui. Tetapi saya tidak mahu orang memandang rendah terhadap lagu-lagu dangdut.

“Saya juga tahu, pasti akan ada yang mengaitkan dangdut dengan imej seksi. Tapi, semua itu bukan halangan. Saya sendiri mengelak untuk berpakaian seksi sehingga mendedahkan bahagian yang tidak perlu.

“Saya mahu membuktikan dangdut bukan muzik kampung dan mampu diterima tanpa perlu beraksi ghairah dan berpakaian seksi,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi sejak lapan bulan lalu.

Sedar akan persaingan sengit dalam genre itu di Indonesia, Cita bersyukur kelainan muzik dangdut yang disifatkan lebih moden diterima baik peminat.

“Saya mahu jadi diri sendiri. Lagu dangdut saya semuanya pilihan sendiri. Saya mahu betul-betul menjaga kualiti lagu yang ada.

“Lagu dangdut saya berkonsep moden dan sudah diterima umum. Dangdut ini bukan sahaja menghiburkan dan bagi saya, ia mampu menghilangkan tekanan.

“Apa yang menarik, lagu-lagu saya sangat istimewa buat diri sendiri. Ya, lirik dalam lagu saya ada kaitan dengan kehidupan saya. Semuanya tentang Cita Citata. Love Story Of Cita Citata,” selorohnya.

Demi penghargaan buat peminat, wanita genit ini juga akan mengadakan dua mini konsert di Malaysia pada Mei ini.

Katanya, dia akan menghiburkan peminat di Plaza Angsana Johor Bahru pada 9 Mei dan Menara KL pada 10 Mei ini.

“Saya cukup teruja untuk mengadakan persembahan sulung di negara ini kerana mendapat pertanyaan tidak henti-henti daripada peminat berhubung perkara itu,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM40 dan ia boleh dibeli di pintu masuk konsert pada hari acara berlangsung.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati