Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Belum ada persiapan anak

Amar Baharin
Amar Baharin

KETERUJAAN pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata sulung pastinya sukar dibendung terutama saat membeli kelengkapan menyambut ‘orang baharu’.

Namun pasangan Amar Baharin dan Amyra Rosli mengakui masih belum membeli sebarang barangan kelengkapan bayi biarpun aktres itu sedang sarat mengandung tujuh bulan.

Bukanlah tidak teruja jauh sekali bersikap acuh tak acuh, pasti sahaja kehamilan sulung ini menggembirakan pasangan ini dalam menanti kehadiran si kecil yang bakal menjadi penyeri keluarga. Namun Amar memberitahu mereka masih belum menyenaraikan barangan yang perlu dibeli.

“Secara jujurnya, keperluan bayi masih lagi belum dibeli sebab masih menanti waktu yang sesuai. Malah kalau ikut perancangan awal kami akan mula membeli selepas majlis baby shower pada September depan.

“Lagipun kami masih tidak tahu jantina bayi sebab setiap kali Amyra melakukan ujian ultra bunyi kedudukan bayi agak sukar untuk dilihat di skrin,” katanya kepada Mega HITS.

Mengakui menerima beberapa tawaran hadiah daripada pengusaha barangan bayi di laman sosial yang berminat memberi hadiah kepada anak yang akan lahir nanti, Amar, 32, menjelaskan setakat hari ini dia masih belum memberikan kata putus kepada mereka.

“Memang ada peniaga di laman sosial yang menghubungi saya dan Amyra nak bagi hadiah dan pada masa sama, kami kena buat ulasan di laman sosial. Memang sebenarnya sejak Amyra disahkan hamil mereka mahu memberi barang bayi.

“Kami menganggap itu rezeki bayi biarpun masih belum dilahirkan tapi saya masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan hal itu. Kalau boleh saya dan Amyra mahu fokus kepada kehamilan terlebih dahulu.

“Bukan menolak rezeki anak tapi iyalah orang kata jika boleh tumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting.

“Saya menghargai niat mereka yang mahu memberi barangan bayi cuma sebab kami ada komitmen yang kena didahulukan jadi kami risau jika tak dapat nak penuhi permintaan,” jelasnya.

Terlanjur bersua bicara dengan pelakon Tersuka Tanpa Sengaja itu, Amar menjelaskan, meskipun sibuk di lokasi penggambaran dia tetap mencari ruang dan peluang untuk meluangkan masa dengan isterinya.

Malah dek kesibukannya itu jugalah dia dan Amyra kini sudah berpindah ke rumah ibu bapa mertuanya buat sementara waktu.

“Setiap kali temu janji untuk pemeriksaan kandungan dengan doktor, saya akan pastikan ada masa untuk menemani Amyra. Ini sudah jadi kewajipan yang saya buat setiap bulan sebab sedikit sebanyak saya boleh tahu keadaan kesihatannya dan bayi.

“Awal kehamilan dulu Amyra alami alahan yang teruk sampai berat badan turun. Tapi Alhamdulillah dia sudah lepasi fasa itu dan setiap hari saya akan pastikan dia makan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor.

“Sejak Amyra mengandung, kami putuskan untuk tinggal dengan keluarganya, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh tengok-tengokkan dia sewaktu saya keluar bekerja. Malah ibu mertua pun banyak beri nasihat,” tuturnya menyatakan kelegaan.

Ketika ini Amar sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod Detak Cinta Stetoskop. Dia memberitahu selepas selesai penggambaran itu dia mahu meneliti terlebih dahulu setiap tawaran selanjutnya.

“Lepas ini ada beberapa tawaran drama lain yang menyusul cuma masih pada peringkat perbincangan. Kalau boleh saya mahu menemani Amyra seminggu sebelum penghujung kehamilan dan seminggu selepas dia melahirkan. Sebagai suami sudah tentulah saya mahu lalui dan hargai momen indah ini bersama isteri.

“Kalau pihak produksi yang menawarkan tawaran lakonan kepada saya dan bersetuju untuk beri kelonggaran tempoh waktu tersebut, saya akan terima. Jika sebaliknya lebih baik saya tolak dengan cara baik sebab risau akan memberi masalah kepada kru produksi,” tegasnya.

Dirisik hak eksklusif anak

Dalam pada itu, Amar juga tanpa berselindung memberitahu yang dia masih lagi membuat timbang tara selepas sebuah stesen televisyen merisiknya bagi mendapatkan hak eksklusif bayi yang bakal lahir nanti.

“Sejujurnya, ada pihak televisyen sudah bertanya kepada kami dan berminat mahu merakamkan fasa kehamilan Amyra, sesi pemeriksaan kehamilan hinggalah proses bersalin bagi sebuah program khas. Tetapi kami masih belum membuat sebarang keputusan.

“Buat masa ini, perkara tersebut masih dalam fasa perbincangan. Pihak stesen televisyen itu mahu menyiarkan setiap momen rakaman kehamilan Amyra itu secara eksklusif. Tapi ada juga beberapa perkara yang sedang kami fikirkan. Sekarang ini belum tandatangan sebarang kontrak sebab belum ada jawapan dari pihak kami,” jelasnya lagi.

Sejajar dengan kemajuan dan kemodenan teknologi yang semakin pesat membangun, rata-rata masyarakat hari ini juga tidak mahu ketinggalan untuk mengguna pakai sebaik-baiknya medium yang ada selain dapat memudahkan seseorang menerima maklumat dengan lebih pantas.

Sosial media kini dijadikan wadah menyalurkan berita terkini dari segenap dunia malah menjadi pilihan golongan selebriti untuk berinteraksi dengan para pengikut.

Dan menurut Amar, dia berhasrat untuk membuka akaun di laman sosial khas buat anaknya sebagai kenangan apabila dewasa nanti.

“Bagi saya, tak salah nak kongsi gambar kenangan bayi. Perkara ini sudah jadi trend dan akan jadi kenangan bagi anak kita untuk 30 tahun akan datang. Saya akan buka satu akaun di bawah nama anak saya nanti dan di situ jugalah kami akan kongsi setiap saat dia membesar serta aktivitinya setiap hari,” katanya dengan nada teruja.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan