Justeru, Farah yang baru sahaja tampil dengan drama Halalkan Hati Yang Ku Curi pada Ramadan lalu, merancang masa depannya dengan rapi agar tidak tersadung di pertengahan jalan.

Dididik oleh ibu bapa yang mementingkan pengurusan kewangan yang stabil, Farah bersiap sedia memperuntukkan setiap ringgit dan sen yang diperolehi hasil titik peluh berlakon ke dalam satu pelaburan jangka panjang.

Bayaran pertama yang diterima sewaktu mula-mula berlakon pada 2015 terus diperuntukkan untuk pembelian sebuah pangsapuri atas namanya sendiri.

“Itu semua adalah hasil didikan ayah, seorang ahli perniagaan. Dia memang lebih suka kalau saya membuat pelaburan yang boleh dijadikan aset kekal daripada menghabiskan duit membeli perkara yang tidak perlu.

“Mungkin kerana saya anak sulung daripada enam adik-beradik, ibu dan ayah sudah menyediakan tanggungjawab untuk saya sekiranya apa-apa terjadi kepada mereka saya akan mengambil alih tugas menjaga adik-adik.

“Apa pun saya bersyukur kerana cara ayah ini membuatkan saya tahu ke mana aliran wang saya pergi dan diuruskan dengan baik,” kata Farah.

Tambahnya, apabila sudah bekerja sendiri, setiap bulan dia memperuntukkan sejumlah duit bagi membayar pangsapuri, kereta dan keperluan harian sendiri tanpa bergantung kepada ibu bapanya lagi.

“Malah sewaktu masih belajar, saya sudah menanggung diri sendiri dan membayar yuran pengajian hasil menjadi pelakon tambahan,” kata Farah.

Praktis ilmu psikologi

MEMILIKI ijazah sarjana muda psikologi dari Universiti IOWA, Amerika Syarikat namun Farah tidak berkesempatan untuk menggunakan ilmu tersebut dalam pekerjaan profesional.

Namun Farah punya tafsiran sendiri. Oleh kerana jurusan psikologi yang dipelajari terlalu luas dan merangkumi pelbagai hal dalam kehidupan manusia, lantas bidang lakonan juga menjadi cabang ilmu tersebut yang boleh dipraktikkan sebagai kerjayanya kini.

“Interaksi psikologi antara manusia jugak merangkumi bahasa tubuh, mata dan sebagainya. Jadi walaupun tidak bekerja dalam bidang psikologi secara profesional saya masih dapat mempraktikkan ilmu dalam bidang lakonan.

“Bagi saya, soal pelajaran ini juga boleh diteruskan selepas berkahwin atau selepas ada anak sekalipun,” kata Farah.

Bercakap soal jodoh, kata Farah, dalam usianya kini memang sepatutnya dia sudah bergelar isteri. Malah bapanya sendiri seakan-akan cuba memperkenalkan Farah kepada anak rakan-rakannya tetapi sehingga saat ini hati pelakon ini masih belum terusik.

“Buat masa ini, saya belum ada siapa-siapa yang istimewa. Cuma saya sudah berjanji kepada keluarga untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun.

“Saya pun sebenarnya tidak ada masa untuk bersosial. Kebetulan rezeki dalam bidang lakonan agak baik, setiap hari keluar bekerja dan balik pun lewat. Jadi, tidak ada masa untuk berpacaran.

“Saya juga tidak ramai kawan. Kawan baik saya dalam dunia seni ialah Zara Zya. Selalunya melepak dengan dia sahaja. Saya juga rapat dengan keluarga dan kerap ke mana-mana dengan mereka. Macam mana nak bercinta?’ kata Farah.

Mengelak dikaitkan lagi dengan Zul Ariffin yang pernah digosipkan dengannya, jelas Farah, dia tidak selesa dibayangi dengan istilah menumpang populariti.

“Saya sebenarnya tidak seronok digosipkan begitu sebab saya sendiri tidak suka dengan perkara tersebut. Saya mahu orang kenali saya sebab lakonan saya bukan dalam soal gosip begini yang sebenarnya langsung tidak ada kebenarannya.

“Mujur keluarga saya memahami tentang hal tersebut. Mereka tahu perkara itu sekadar gosip sebab saya selalu sahaja ada di rumah. Kalau benar, bila masa pula saya bercinta?” kata Farah mengakhiri perbualan.