Dijadualkan berlangsung November ini di pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya, Datuk Siti Nurhaliza dalam satu sidang akhbar baru-baru ini mengumumkan bahawa dia menghadapi masalah dari segi penajaan untuk merealisasikan impiannya itu.

Katanya, pementasan teater muzikal yang dijangka selama seminggu itu memakan kos pembiayaan yang tinggi, sedangkan sehingga penghujung September lalu, SNP belum lagi mendapat penajaan yang mencukupi.

“Sebab itulah, selepas meneliti secara mendalam dan memikirkannya masak-masak, saya dan pihak produksi mengambil kata sepakat untuk membatalkannya dan tampil dengan idea lain bagi menggantikan pembatalan tersebut.

“Saya mahu hubungan SNP dan pihak Istana Budaya terutama terhadap Ketua Pengarah, Datuk Mohamed Juhari Shaarani kekal baik seperti biasa. Apabila sesuatu pembatalan persembahan berlaku, secara tidak langsung ia merosakkan imej IB itu sendiri.

“Justeru, untuk menjaga nama baik IB, Konsert Satu Suara Vol. 2 dicadangkan bagi menggantikan pementasan teater berkenaan dan Abang Joe (Mohamed Juhari Shaarani) bersetuju akan cadangan tersebut,” katanya menceritakan punca pembatalan teater muzikal yang mengisahkan tentang perjalanan hidupnya bergelar anak seni.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Mikraj Cinta itu menambah, dia bukanlah membatalkan sepenuhnya pementasan teater muzikal berkenaan, tetapi hanya menangguhkannya ke suatu masa yang belum ditetapkan.

Ujar Siti, usaha mencari penaja akan diteruskan sejurus penganjuran Konsert Satu Suara Vol. 2 tamat. Dan pada masa yang sama, SNP akan menentukan tarikh bersesuaian untuk pementasan tersebut yang dijangka tahun hadapan.

“Saya tidak akan membatalkan pementasan teater itu. Ini kerana, ia adalah satu projek istimewa, khas buat peminat-peminat saya dan juga insan-insan tersayang yang berada di sekeliling saya.

“Jadi, ia tetap akan diadakan kelak sehinggalah SNP berjaya mengumpul dana bagi menjayakan projek ini. Sebab itu saya tidak begitu terkilan apabila situasi seperti ini terjadi kerana percaya, ia akan dapat dilaksanakan suatu hari nanti,” katanya mengharap.

Sepentas dengan leganda

Mengulas lanjut tentang penganjuran Konsert Satu Suara Vol. 2, Siti memberitahu ia akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 7 dan 8 November ini di bawah iringan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito.

Menariknya kali ini, berbanding edisi pertama konsert pada 2010 dahulu, Siti hanya sekadar tetamu istimewa walaupun syarikatnya sendiri yang menganjurkan acara berkenaan.

“Pada waktu itu, Faizal Tahir dan Aizat Amdan adalah bintang utamanya, tetapi untuk edisi kedua akan datang, saya sendiri yang menerajui konsert ini.

“Lebih membuatkan saya teruja untuk menjayakannya adalah disebabkan penyanyi undangan semasa persembahan itu nanti. Tanpa diduga, di saat saya benar-benar memerlukan bantuan, dua bintang veteran, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli Sarip mudah memberi kerjasama.
“Selepas pementasan teater terpaksa ditangguhkan, saya hanya ada masa kurang dari dua bulan untuk memastikan rancangan ini berjaya. Alhamdulillah, kerja saya dipermudahkan apabila Ibu Hetty dan Datuk Ramli tanpa berfikir panjang bersetuju untuk terlibat dalam konsert ini.

“Hanya sekali panggilan dibuat kepada kedua-dua legenda negara jiran itu, mereka menyatakan persetujuan mereka. Sungguh tak diduga. Saya bersyukur sangat,” katanya yang teruja berkongsi pentas dengan Hetty dan Ramli.

Menurut Siti, pemilihan Hetty dan Ramli dibuat kerana amat mengagumi vokal dan penghayatan kedua-dua penyanyi tersebut yang begitu hebat walaupun usia mereka sudah melebihi separuh abad. Tambahan pula, dia tidak pernah berkongsi satu pentas dengan Hetty mahupun Ramli.

Tambahan pula, lagu-lagu Hetty dan Ramli merupakan lagu malar segar dan diminati sehingga ke hari ini.

“Dan saya yakin, terdapat ramai peminat mereka berdua di negara ini yang menantikan persembahan live mereka, terutama yang membesar dengan lagu-lagu dua penyanyi itu.

“Jadi, Konsert Satu Suara Vol. 2 akan mencipta sejarah tersendiri apabila saya, Ibu Hetty dan Datuk Ramli bakal bersatu di atas pentas,” bicaranya dalam keterujaan.

Justeru, bagi menambahkan kehangatan konsert, Siti akan berduet dengan kedua-dua penyanyi itu serta akan ada persembahan trio menerusi beberapa buah lagu kegemaran ramai.

Katanya, kemungkinan sebanyak 20 buah lagu atau lebih akan disampaikan pada malam tersebut menerusi beberapa segmen yang diperuntukkan. Justeru, tiket konsert boleh mula dibeli sejak 9 Oktober lalu secara dalam talian di www.airasiaredtix.com dengan harga bermula dari RM78 hingga RM518.

Dalam pada itu, menyentuh pemilihan namanya yang disenaraikan antara 500 umat Islam yang berpengaruh di dunia, Siti menyifatkan ia sesuatu yang mengejutkan.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih atas pengiktirafan tersebut. Apa yang saya buat terutama yang berbentuk kebajikan bukanlah untuk diiktiraf di dunia, malah sebagai bekalan di akhirat kelak.

“Tersenarai dengan nama-nama besar, siapalah saya ini tetapi saya akan tetap teguh dalam kerjaya saya untuk agama, bangsa dan negara walaupun sumbangannya tidak sebesar mana,” ulasnya.