Saya juga percaya nama tersebut diambil sempena nama filem Mat Karong Guni, lakonan Mat Sentol sekitar tahun 1970-an.

Tidak sabar hendak mengenali yang empunya diri dengan lebih dekat lebih-lebih lagi apabila melihat bahagian depan rumahnya amat berbeza daripada rumah-rumah jiran yang lain.

Sesiapa sahaja yang melalui jalan AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur, berhadapan dengan kilang-kilang pasti akan menoleh melihat rumah siapakah itu.

Berpuluh buah basikal lama tergantung di bahagian luar tingkat atas rumah tersebut sementara di bahagian bawahnya bersusun berpuluh buah tempayan lama.

Rumah teres dua tingkat ini nampak sangat pelik kerana kelihatan seperti sebuah muzium kecil. Dalam hati saya tertanya-tanya bagaimana pula keadaan di dalam rumah.

Misteri terungkai apabila melangkah kaki ke dalam rumah milik pasangan suami isteri, Zulkarnain Bakar, 50, dan Norhasni Muhamad, 47.

Dari luar, rumah teres dua tingkat yang berada di lot tengah ini, nampak seperti sebuah rumah biasa di bandar, tetapi di dalamnya anda seperti berada di sebuah rumah kampung yang dibuat daripada kayu. Asalnya rumah dua tingkat kemudian diubah suai menjadi tiga tingkat.

Norhasni mempelawa saya dan jurugambar naik ke ruang tamu. Kami menaiki tangga yang dibuat daripada kayu dan di situlah pandangan saya nampak begitu luas lagi.

Ruang tamu ini dipenuhi dengan bermacam-macam barangan antik dan lama yang usianya mencecah puluhan tahun malah ada yang berusia 100 tahun.

Perabot lama seperti katil, almari, kerusi, pinggan mangkuk, potret pelakon-pelakon legenda, permainan kanak-kanak, baju sekolah lama, alat muzik, televisyen, radio, baju, lencana, setem, suis, telefon dan banyak lagi memenuhi ruang tersebut.

Tidak salah kalau anda juga turut terpukau melihat barangan lama ini.

Dihiburkan pula dengan lagu Pa’ Hitam (ejaan lama) dendangan Allahyarham R. Azmi, Zulkarnain sendiri menyambut kami dengan gaya orang lama yang hanya berkain pelikat dan berbaju batik.

Menyelami jiwa Zulkarnain, katanya, minat mengumpul barangan lama dan antik secara serius telah dimulakan sejak 12 tahun lalu.

Baginya, barang lama yang telah berusia lebih 50 tahun sudah boleh dianggap sebagai antik.

Daripada usia semuda 13 tahun, iaitu semasa berada di tingkatan satu pada tahun 1979, dia sudah mula mengumpul lencana sekolah.

Sering berpindah sekolah dan aktif dengan aktiviti sukan antara sekolah-sekolah, memberi peluang kepadanya untuk mengumpul lencana.

Waktu itu, lencana sekolah dibuat daripada logam dan memudahkannya untuk disimpan. Sehingga kini dia telah mengumpul lebih 500 keping lencana sekolah.

Kemudian dia mengumpul setem pula. Abang-abangnya yang sering berutus surat dengan kekasih masing-masing, memberi peluang untuk mengumpul setem yang telah dimulakan sejak tahun 1970-an lagi.

Mengenai barang lama lain yang lebih menarik seperti perabot, alat muzik, tembaga, jam dinding dan sebagainya, kata Zulkarnain, minatnya mengumpul barangan antik semakin berkobar-kobar apabila isterinya juga mempunyai minat yang sama.

“Minat mengumpul barang antik ini mesti sealiran dengan isteri. Jika tidak, dia tidak dapat menghayati apa yang kita minat. Mungkin dia akan buang barang kita jika dia tidak minat kerana menganggap barang buruk.

“Kami suami isteri jika pergi bercuti sanggup menyewa motor dan masuk ke kampung-kampung bertanyakan orang kampung jika mereka mahu menjual barang antik atau lama. Barang-barang antik yang ada di rumah saya ini saya dapat dari banyak tempat seperti Pulau Pangkor, Tanjung Bungah, Melaka, Perak dan sebagainya.

“Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan Jonker Street, Melaka, memang terkenal sebagai lubuk barang antik. Selain antik, terdapat barang lama yang saya anggap sebagai evergreen kerana menghidupkan nostalgia semasa zaman kanak-kanak saya dahulu.

“Contohnya, barang permainan yang terdapat pada zaman kanak-kanak saya lagi. Dahulu, susah nak beli barang mainan. Kebanyakannya dibuat sendiri.

“Bermula daripada satu barang mainan yang dapat saya beli, saya cari lagi dan beli. Sehingga sekarang, banyak yang ada dalam simpanan saya.

“Saya gemar melihat barang-barang mainan tersebut kerana semasa kecil tidak berpeluang mendapatnya jadi sekarang dalam usia separuh abad ini saya menghiburkan diri dengan melihatnya.

“Macam basikal kanak-kanak ini, (sambil menunjukkan sebuah basikal yang berusia lebih 50 tahun). Dahulu tidak merasa naik basikal ini sebab tidak mampu. Sekarang apabila sudah ada depan mata, saya dapat merasakan satu kepuasan. Paling saya sayang ialah barang permainan kanak-kanak.

“Apabila melihat barang-barang lama ini, teringat kepada emak, ayah dan adik beradik. Kenangan lama mencuit hati. Kadang-kadang tersenyum sendirian dan kadang-kadang sebak juga.

“Banyak memori indah terbayang dalam ingatan seperti tayangan sebuah filem lama yang boleh membuatkan saya terleka sekejap.

“Saya mempunyai 13 orang adik-beradik. Hari raya tahun lepas, mereka semua datang ke rumah saya dan mereka berasa sangat seronok. Apabila melihat sesuatu barang itu, mereka akan terus bercerita akan kenangan dahulu dan semua akan ketawa.

“Bagi saya dengan adanya barang-barang lama ini akan dapat mengeratkan silaturahim dengan adik-beradik. Barang-barang ini boleh menyatukan adik-beradik kita,” kata Zulkarnain.

Tambahnya, barang-barang lama juga memberikan semangat kepadanya apabila dia sedang membuat kerja.

Biasanya apabila dia hendak melakukan sesuatu kerja, dia akan memasang lagu raya dan secara sendiri semangatnya berkobar-kobar untuk menghias dan menyusun barang-barang lamanya itu Jiwanya akan serta-merta gembira.

Ditanya tidakkah takut jika barang-barang lama itu dikatakan berpenunggu atau berhantu, jawabnya ringkas; “Tidaklah. Itu semua tahyul.”

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kadang kala pada waktu menghampiri 12 tengah malam, jika sebuah jam dinding berbunyi akan diikuti dengan puluhan jam dinding lain yang turut berbunyi.

Baik dia atau isterinya tidak terfikir apa-apa dan membiarkan sahaja. Sama juga apabila jam loceng yang disimpan di dalam almari tiba-tiba berbunyi nyaring. Dia menganggap jarum jam yang sensitif mungkin dilanggar oleh lipas atau cicak.

Menurut Zulkarnain, koleksi barang antiknya ini pernah juga dipinjam oleh penerbit-penerbit filem yang mahu menerbitkan filem berlatarkan tahun 50 an. Antaranya, filem Buntat.

“Rumah saya ini sudah terlalu penuh dengan barangan lama. Ada empat bilik tetapi tiga bilik sudah penuh sehingga tiada tempat lagi hendak menyimpannya. Sebab itu banyak yang saya letak di luar rumah atau gantung. Sebenarnya ramai jiran yang tidak tahu rumah saya macam ini (menyimpan banyak barang lama).

“Saya sangat sayangkan barang-barang ini. Saya jadikan hiasan rumah dan tidak akan jual.

“Pada 2005, saya pernah buat jualan garaj untuk mengurangkan barang-barang yang saya tidak mahu. Belum mula lagi orang ramai sudah menunggu, tetapi selepas itu timbul rasa kesal. Sekarang ini kalau orang hendak beli pun saya tidak akan jual,” kata Zulkarnain sambil mempelawa kami menjamah hidangan minum petang yang juga kuih-kuih lama seperti baulu, kuih kapit dan kuih ros.