Amy Nur Tinie Abdul Aziz

Pencarian Gadis Panca minggu ini, Amy Nur Tinie Abdul Aziz atau Tinie juga mahu berada dalam kelompok itu. Bahkan dia kini sedang memperlengkapkan diri dengan segala ilmu sebagai persediaan menjadi seorang yang hebat dalam berkata-kata.

“Sejak zaman sekolah lagi, saya mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, bercerita dan pengucapan awam. Saya selesa berada di depan dan menarik perhatian khalayak dengan hujah-hujah saya.

“Menang atau kalah, itu bukan cerita utama. Yang penting saya dapat mengatasi darah gemuruh dalam diri dan membina keyakinan setiap kali penampilan di tempat terbuka.

“Walaupun dah habis belajar, saya masih berminat untuk bercakap di tempat terbuka dengan menyertai pelbagai pertandingan bakat yang dianjurkan. Tekanan sewaktu menyertai pertandingan itu yang banyak membantu diri saya pada hari ini.

“Saya menjadi lebih bertenang dan berfikiran lebih rasional setiap kali berada dalam situasi kritikal yang mendesak diri untuk membuat keputusan pantas,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, Ipoh Perak ini.

Pun begitu di sebalik membina keyakinan diri, Tinie cukup bertuah. Ini kerana ibunya, Salimi Morah Ali, 49, banyak memberi sokongan selepas mengesan bakat yang ada dalam dirinya seawal usia empat tahun.

Sejak itu juga, ibu Tinie tidak pernah berputus asa mencari peluang buat anaknya untuk menyertai setiap pertandingan yang dianjurkan sama ada di televisyen mahu pun surat khabar.

“Jangan salah sangka jika minat saya ini dilihat seperti cenderung ke dunia glamor. Sebenarnya sasaran saya lebih kepada dunia perniagaan yang menjadi tumpuan utama selepas terjun dalam bidang itu nanti.

“Neelofa adalah idola saya dalam hal ini. Dia adalah antara artis muda yang bijak dalam bidang perniagaan dan berjaya juga dalam bidang glamor,” kata anak bongsu dari tiga adik-beradik ini.

  • Nama penuh: Amy Nur Tinie Abdul Aziz
  • Nama singkatan: Tinie
  • Tarikh lahir: 9 Jun 1996 (21 tahun)
  • Tempat lahir: Hospital Besar Ipoh, Perak
  • Pencapaian: Juara Miss Malaysia Kebaya 2016/2017 dan program realiti Projek Bliss
  • Moto hidup: Jika anda terjatuh seratus kali, bangkitlah sejuta kali pun kerana anda tidak tahu apa jarak kejayaan yang bakal diperoleh nanti.

Impian menyertai Gadis Panca: Mahu menjadi contoh ikutan yang boleh membawa aura positif dan ‘kuasa wanita’ selepas melihat ada kalangan wanita yang masih malu untuk menyerlahkan bakat mereka sendiri.