Siapa sangka guru vokal kelahiran Filipina ini kini mampu meraih populariti sehingga menembusi industri lakonan.

Terkenal dengan lagu berjudul Pencuri, Marry Me dan Senyum Lagi, Mark telah 14 tahun memeluk Islam dan 11 tahun bertemu jodoh dengan wanita tempatan malahan dia sudah mendapat taraf penduduk tetap.

Namun mungkin ramai yang tidak menyangka lelaki lucu yang sentiasa bersopan-santun ini sebenarnya sangat berbangga jadi anak Melayu.

KUALA LUMPUR 31 MEI 2016 : Fotografi penyanyi lelaki Mark Adam
KUALA LUMPUR 31 MEI 2016 : Fotografi penyanyi lelaki Mark Adam

Walaupun berasal dari keluarga Kristian di Pulau Cebu, Mark jelas seorang pencinta sejarah dan banyak berkongsi tentang latar belakang dan susur galur di Filipina.

Berbanding kebanyakan orang Filipina yang berbangga mengakui mereka mempunyai keturunan darah campuran Sepanyol, Mark tegas menyatakan dia anak Melayu Cebu biarpun neneknya mempunyai pertalian dengan golongan penjajah tersebut.

“Mereka tidak boleh padam budaya Melayu kami di Cebu, penduduk Cebu semua tahu sejarah asal-usul mereka.

“Sehingga sekarang tradisi perkahwinan kami juga masih sama, pakai tengkolok, baju Melayu, sampin dan keris,” katanya.

Mark juga teruja apabila mendengar amalan bergotong-royong memindahkan rumah kampung dari satu tapak ke tapak baharu masih diamalkan di sesetengah kawasan di Semenanjung Malaysia memandangkan amalan itu pernah menjadi satu kebiasaan di Pulau Cebu.

Dia turut bersemangat menceritakan sejarah bagaimana kapten ekspedisi Sepanyol mengelilingi dunia, Ferdinand Magellan mati di tangan seorang pahlawan Melayu, Datuk Lapu-Lapu dalam Pertempuran Mactan pada 1521.

Pertempuran di Pulau Mactan yang kini menempatkan Bandar Lapu-Lapu didakwa Mark menjadi pegangan penduduk sekitar kepulauan Cebu tentang kekuatan orang Melayu di Nusantara.

“Orang Melayu Nusantara semuanya bersaudara tapi kita perlu ingat sejarah khususnya sebelum zaman penjajah,” ujarnya.

Kisah Hidup

Berpandukan kisah hidupnya berhempas pulas menembusi industri tempatan, sebuah telefilem yang mendapat inspirasi daripada perjalanan Mark sejak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan ditayangkan pada Hari Raya ketiga, Julai ini.

“Ini kali pertama saya menjadi hero, malahan hero kisah hidup saya sendiri tetapi diolah menjadi drama komedi menggunakan kedua-dua bahasa Melayu dan Tagalog.

“Ozlynn akan melakonkan watak isteri saya sementara Shuib Sepahtu pula sebagai rakan karib saya dari Filipina,” jelas Mark.

Drama bertajuk Mark dan Anna keluaran Suhan Movies dan pengarah, Khai Fariz itu diolah semula hasil inspirasi temubual Mark di stesen radio Sinar fm mengenai kisah hidupnya sebelum ini.

“Saya sangat suka cerita ini, saya berikan sepenuh jiwa sehinggakan kami pernah menjalani penggambaran dari pukul 8 pagi hingga 6 pagi hari berikutnya,” kata Mark.

Menceritakan antara detik-detik paling bermakna sejak tiba di Malaysia, Mark teringat tentang sepasang baju Melayu yang mempunyai garisan logo-logo kecil bangunan KLCC.

“Itu baju Melayu pertama yang mempunyai kenangan bermakna dalam hidup saya dan tidak akan dibuang sampai bila-bila.

“Baru-baru ini ketika saya mengemas baju-baju saya, saya terjumpa semula baju itu dan di dalam poket baju Melayu tersebut masih ada tiket kapal terbang ketika saya pertama kali tiba ke Malaysia bertarikh 16 Mei 2001,” jelasnya.

Mark turut mengakui, dia cuma mencari barang-barang yang mempunyai logo KLCC dan Hard Rock Cafe ketika baru sampai di Malaysia untuk dibawa pulang sebagai cenderamata kepada keluarga di Filipina.

Berasal dari keluarga yang susah, Mark cuma berharap kejayaannya di Malaysia akan membolehkannya membeli sebuah rumah untuk ibunya di Pulau Cebu suatu hari nanti.

“Ibu saya sudah berumur 60 tahun dan ayah pula sudah tujuh tahun meninggal dunia. Saya kini sedang mengumpul duit untuk membuat sebuah rumah untuk ibu. Saya berusaha keras hanya untuk memastikan keluarga saya mempunyai masa depan yang terjamin kelak,” ujarnya yang pulang ke kampung halamannya pada setiap awal tahun.