Begitu juga dengan arena seni suara yang menyaksikan tahun 2014 seperti membuka laluan kepada penggiat seni muzik bukan nasyid untuk lebih berkarya terutamanya dalam elemen kerohanian dan keagamaan.

Terbaharu,Kumpulan Qa’rabah yang dianggotai oleh Shajiry, Jeff A to Z dan Izzuwin Shah, mencuba nasib untuk berjuang dalam landasan dakwah melalui seni suara.

Sebagai anak seni yang sudah lama dalam industri, perubahan itu sepatutnya disambut baik tetapi ada khabar yang mempertikai keikhlasan mereka seolah-olah mahu menumpang trend muzik kerohanian yang mendapat sambutan kini.

Bagi Qa’rabah, mereka sedar yang penampilan mereka sekarang tidak sama dengan kemunculan sewaktu dikenali dahulu dan menganggap kata-kata itu sebagai satu dugaan.

“Niat kami membentuk kumpulan ini bukan kerana mahu menjadi terkenal atau sebagainya. Tetapi lebih kepada mahu menyampaikan sesuatu yang baik kepada masyarakat umum di luar sana.

“Kami pernah terkenal satu ketika dahulu. Tetapi itu bukan apa yang kami kejar sekarang. Melalui Qa’rabah adalah cara untuk kami menyampaikan sesuatu yang baik,” jelas Shajiry.

Tambah Izzuwin, mereka tahu, apa yang dilakukan mereka kini akan menjadi pertikaian seolah-olah mahu menunjukkan kebaikan.

“Kami tahu, mesti ada yang kata kami bukanlah alim atau baik sangat untuk menyampaikan sesebuah lagu yang berunsurkan kerohanian dan ketuhanan.

“Benda ini mudah sebenarnya. Kami pun sedar kekurangan diri kami dan melalui karya yang dihasilkan itu kita saling mengingati untuk mendekatkan diri dengan tuhan.

“Saling mengingati dan memberi motivasi bukan kepada pendengar sahaja, tetapi juga kepada diri kami dan itu sebenarnya punca tercetusnya kumpulan Qa’rabah,” katanya.