Melalui video yang dimuat naik di laman di Snapchat, dia kelihatan mesra berpelukan dengan anak-anaknya Apollo, Zuma dan Kingston yang turut hadir.

Stefani, 47, yang telah bercerai dengan bekas suaminya, Gavin Rossdale pada 2015, nampaknya kini cukup bahagia melayari hubungannya bersama Shelton.

Buktinya tidak lain tidak bukan adalah video dan gambar-gambar yang di muat naik di laman sosialnya. Stefani, baru-baru ini berkongsi sekeping gambar Shelton, 41 dan Apollo, 3 yang benar-benar mencairkan hati para peminatnya.

Dalam foto tersebut, Shelton sedang menganga dengan luas, berpura-pura untuk menggigit Apollo, sambil kanak-kanak itu cuba memasukkan boneka kecil ke dalam mulut penyanyi irama Country tersebut.

Daripada gambar-gambar yang dikongsi bersama, pasangan tersebut nampak sudah begitu bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

Namun, malangnya, para peminat Stefani dan Shelton harus menunggu lebih lama kerana agenda perkahwinan saat ini bukanlah yang teratas dalam senarai mereka.

Terdapat banyak sebab kenapa mereka memutuskan untuk menunggu. Stefani dan Shelton dilaporkan ingin memberikan masa bagi hubungan mereka dan memastikan anak-anak Stefani dapat sepenuhnya menghargai momen tersebut.

“Salah satu sebab utama ialah Stefani ingin Apollo menjadi lebih dewasa supaya dia dapat menghargai dan memahami lebih banyak perkara.

“Dia mahu semua anak-anaknya memahami bahawa Shelton akan menjadi bapa tiri mereka dan ianya adalah untuk selama-lamanya,”kata satu sumber.

Apabila tiba masanya nanti, Shelton dan Stefani tidak akan merahsiakan perkahwinan mereka.

“Apabila mereka sudah berkahwin, orang akan tahu dengan serta-merta,” kata sumber yang sama.

Terdahulu, pada awal bulan Mei 2016, Stefani sempat dilihat sedang memakai cincin berlian bersaiz besar di jari manisnya.

Ini membuatkan desas-desus perkahwinan mereka yang telah sekian lama menjadi topik hangat semakin hebat. Menurut laman Celebdirtylaundry, Shelton telah melamarnya namun penyanyi No Doubt itu menolak dengan tegas.

National Inquirer juga turut melaporkan bahawa Stefani masih ragu kerana perbezaan umurnya dengan Shelton. Dia risau jika Shelton tidak akan bahagia dalam perkahwinan yang mana dia mungkin tidak akan menjadi bapa.

Namun sebab yang paling jelas dan paling menonjol kenapa Stefani masih teragak-agak mengatakan ‘ya’ adalah kerana isu kepercayaan.

Tidak ada yang dapat menyalahkan Stefani sekiranya dia mempunyai masalah untuk meletakkan kepercayaan terhadap lelaki kerana perkahwinan terdahulunya bersama Gavin Rossdale berakhir disebabkan Rossdale curang bersama pengasuh anak mereka.

Selain itu juga, Shelton juga bukanlah seorang pasangan yang mempunyai rekod bersih. Ingat semua tuduhan curang yang dihadapinya ketika dia masih bersama Miranda Lambert?

Namun, berkat usaha Shelton yang tidak menyerah kalah dan terus menunggu hingga Stefani berubah fikiran, hubungan mereka kini nampak lebih teguh dan bahagia. Tinggal saja, para peminat pasangan juri ‘The Voice’ ini hanya perlu banyak bersabar untuk menanti hari bahagia itu tiba!