Dapat beraya sebagai pasangan suami isteri serta merasai pengalaman mengandung dan menjaga wanita hamil untuk kali pertama mampu memberikan kebahagiaan berganda buat Amar dan Amyra.

“Saya tidak ada pengalaman menjaga wanita mengandung tetapi saya tiada masalah sepanjang menguruskan Amyra yang kandungannya kini sudah mencecah 22 minggu.

“Sejujurnya, Amyra memang mengalami perubahan seperti 360 darjah terutama dari segi pemakanan dan kehidupannya. Contohnya kalau dulu dia tidak gemar sesuatu makanan itu, sekarang dia sangat sukakannya.

“Ada juga perkara yang menguji kesabaran saya tetapi saya memilih untuk beralah. Sedikit sebanyak saya belajar untuk memahami perubahan tersebut.

“Pun begitu, perubahan Amyra tidak sukar untuk saya fahami dan kendalikan. Berbanding dengan kawan-kawan kami yang lain, Amyra sangat senang dijaga dan diuruskan,” jelas Amar yang tidak mahu melihat isteri kesayangannya tertekan.

Dalam pada itu, Amyra akui perhatian yang diberikan oleh Amar sejak dia disahkan mengandung begitu membahagiakannya.

“Semua pengalaman kali pertama ini sangat mengujakan. Akan beraya di rumah mentua dan bakal mendapat pengalaman pertama beraya ketika mengandung sememangnya perkara membuatkan saya tidak sabar untuk merasainya.

“Selain itu, saya juga gembira kerana mendapat jagaan istimewa daripada suami. Sejak mengandung, Amar memberikan lebih perhatian kepada saya lebih berbanding sebelum ini.

“Pada awal kehamilan, saya sangat lemah jadi Amar tidak membenarkan saya keluar rumah dan meminta saya banyakkan berehat. Melihat dia begitu mengambil berat tentang saya dan kandungan membuatkan saya mengalah dan menuruti permintaannya,” kongsi Amyra.

Lari daripada topik raya, Amyra berkongsi pula tentang perancangannya untuk kembali aktif selepas selamat melahirkan anak kelak. Pun begitu, Amyra tidak meletakkan had masa sebaliknya ingin melihat keadaan bayinya terlebih dahulu sebelum kembali ke set penggambaran.

“Buat masa ini, Amar tidak pernah menghalang saya sekiranya saya ingin kembali aktif berlakon selepas bersalin nanti. Saya sendiri suka bekerja dan mahu kembali berlakon selepas habis pantang.

“Bagaimanapun keputusan untuk kembali ini bergantung kepada keadaan bayi kami. Lagipun keluarga saya sangat tegas dalam soal berpantang, jadi saya belum boleh membuat sebarang perancangan tentang kerjaya pada masa terdekat ini,” jelas Amyra.

Perubahan dan tanggungjawab

Setiap kali bercerita, perihal isteri dan keluarga tidak lekang dari bibir Amar. Ternyata, teraju utama drama popular, Kerana Terpaksa Aku Relakan ini begitu bahagia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

Tatkala menyentuh tentang persediaan menyambut Syawal, Amar akui dia berdepan situasi yang sangat berbeza. Tanggungjawab yang semakin bertambah untuk dipikulnya membuatkan Amar meletakkan kepentingan dirinya jauh ke belakang.

“Ketika bujang dahulu, saya tidak perlu fikir apa-apa tentang persiapan raya. Cukup sekadar ada baju raya dan masa banyak dihabiskan dengan kawan-kawan.

“Sekarang ini saya kena sediakan semua kelengkapan sama ada untuk isteri dan keluarga saya serta mentua. Dari situ, barulah saya faham dan rasai yang dilalui bapa saya.

“Untuk diri sendiri bukan lagi satu keutamaan. Rasanya barangan untuk saya sendiri berada dalam senarai yang ke-10 kerana saya mahu utamakan keperluan mereka yang saya sayangi,” ujar Amar.

Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri pasangan bahagia ini, Amar merancang untuk menyelitkan percutian keluarga di Pulau Redang, Terengganu selepas beraya di kampung halaman masing-masing.

Selain mahu mengambil peluang cuti perayaan untuk lari daripada kerja, Amar juga mahu membawa Amyra sekeluarga bercuti dan berehat di lokasi yang mendamaikan.

“Kalau tiada halangan, saya akan membawa isteri dan keluarga mentua bercuti ke Pulau Redang pada hari raya keempat nanti.

“Kebetulan kami beraya di kampung keluarga Amyra di Terengganu jadi saya mengambil peluang tersebut untuk meluangkan masa dan berehat bersama-sama mereka,” ujar Amar yang akan beraya dengan keluarganya di Kajang, Selangor terlebih dahulu.

Solekan: DEQSHA (IG: makeupbydeqsha (019-3495383) Baju Amyra: MINAZ Baju Amar: ZAMRIMATOUCH