Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bermula sebagai jurugambar perkahwinan,  Azman Ali kini memiliki 3
Bermula sebagai jurugambar perkahwinan, Azman Ali kini memiliki syarikat perancang perkahwinan yang lengkap.

SALAH satu daripada perniagaan yang tidak akan ‘berkubur’ ialah perniagaan yang berkaitan dengan perkahwinan. Setiap minggu, bulan dan tahun pasti akan ada pasangan yang akan berkahwin.

Seperti perniagaan makanan, perniagaan perkahwinan akan sentiasa ada pelanggan.

Bagi mengekalkan apa juga bentuk perniagaan termasuk berkaitan kerja urus perkahwinan, haruslah sentiasa bersedia menambah baik perkhidmatan dan memberikan yang berkualiti untuk pelanggan.

Mengekalkan nama baik dalam kalangan pelanggan juga penting kerana akan terus menjadi sebutan.

Lapan tahun mengusahakan perniagaan perkahwinan, Azman Ali, 38, yakin bahawa perniagaan ini begitu serasi dengan jiwanya.

Pernah melakukan beberapa pekerjaan lain sebelum ini, namun Azman lebih cenderung kepada perniagaan yang dilakukan sekarang kerana melihat kepakaran dan rezekinya lebih ke bidang itu.

Anak ketujuh daripada lapan beradik yang berasal dari Perlis itu, masih terkenang semasa awal-awal penglibatannya dalam perniagaan perkahwinan.

Berbekalkan sebuah kamera, dia mengumpul pengalaman dari satu majlis ke satu majlis perkahwinan dengan menjadi jurugambar pengantin.

Ilmu mengambil gambar yang diperoleh setelah mengikuti kursus di sebuah studio di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, digunakan sepenuhnya.

Minat kepada perniagaan juga membuatkan Azman mengambil pula kursus Sistem Informasi di Institut Pembangunan Usahawan.

Dia pernah mengambil kursus tukang masak di sebuah resort di Langkawi, menjadi pelayan hotel dan bekerja sebagai operator pengeluaran semata-mata mahu ‘mencuri’ ilmu dan peluang.

Bertemu dengan Azman yang juga Pengarah Urusan Ilham Kayaman Sdn Bhd di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, dia berkata, dalam tempoh dua tahun menjadi jurugambar perkahwinan, serata Malaysia telah dijelajahi.

Ujarnya, pengetahuan yang ada ingin dikongsi bersama dengan orang lain. Dia kemudian membuka kelas sehari mengajar mereka yang ingin menjadi jurugambar perkahwinan mengenai penggunaan kamera dan bagaimana mendapatkan wang dari sebuah kamera.

“Enam tahun mengumpul pengetahuan dan pengalaman, saya membuka syarikat sendiri. Daripada jurugambar perkahwinan, saya tambah lagi pada produk perkahwinan lain seperti baju pengantin, andaman, pelamin dan sebuah banglo untuk diadakan majlis yang diberi nama Laman TehSuria.

“Dua tahun selepas itu, kerana sambutan yang menggalakkan, saya tambah lagi perkhidmatan lain iaitu membuat kad kahwin dan katering.

“Hari ini saya telah mempunyai pakej lengkap untuk majlis perkahwinan dan Ilham Kayaman kini merupakan pusat sehenti yang menyediakan segala keperluan untuk sesebuah majlis perkahwinan.

“Sebagai perancang perkahwinan, semua mengetahui kerja ini memerlukan tenaga, masa dan modal yang banyak. Sesiapa pun boleh menjadi perancang perkahwinan asalkan memiliki ilmu, rajin dan sanggup belajar.

“Jika dilakukan bersungguh-sungguh, pulangan yang diperoleh adalah menguntungkan. Ramai perancang perkahwinan yang sudah menjadi terkenal dan mampu hidup senang,” kata Azman yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Pengkhususan Pengiklanan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tambahnya, untuk tahun 2017 ini, sudah tiba masanya dia berkongsi dengan orang lain pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki.

Justeru itu, dia mahu menganjurkan sebuah bengkel bergerak seluruh Malaysia di mana mereka yang ingin menyertai bengkel ini boleh mendaftar di lokasi yang disinggahi.

Bantu generasi muda berniaga

Menyasarkan 100 orang peserta di setiap negeri, Azman hanya mengenakan bayaran antara RM160 hingga RM250 bagi bengkel perunding perkahwinan yang bakal dianjurkannya.

Bayaran tersebut berdasarkan topik yang akan dibincangkan seperti bagaimana hendak membina perniagaan perkahwinan, tip untuk berjaya, perkhidmatan yang disediakan, membina kepercayaan pelanggan dan sebagainya.

“Niat saya adalah bagi membantu generasi muda untuk fokus di dalam perniagaan sehingga mereka boleh bergerak sendiri. Perkhidmatan perkahwinan ini tidak bermusim, ia sentiasa ada, jadi anda perlulah kreatif, memiliki ilmu dan sanggup belajar daripada orang lama.

“Contohnya, pengalaman orang lama menguruskan perniagaan, berurusan dengan pelanggan, menyediakan pakej yang mampu dengan bajet pelanggan dan mengikut permintaan semasa dan sebagainya.

“Jangan fikir hendak memulakan perniagaan perkahwinan memerlukan modal yang besar. Sebab itulah saya hendak mengubah persepsi orang kerana ramai yang takut hendak memulakan perniagaan kerana tidak mempunyai modal besar.

“Dahulu semasa saya mula-mula hendak memulakan perniagaan ini saya hanya mempunyai RM5,000 sahaja. Duit itulah yang saya gunakan untuk membeli barang-barang yang diperlukan dan dijadikan modal pusingan.

“Dalam perniagaan ini, tidak perlu duit yang banyak tetapi perlu bijak. Duit boleh habis tetapi jika bijak seseorang itu boleh mencari duit,” ujarnya yang kini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM100,000 sebulan.

Harapannya ialah supaya bertambah ramai golongan muda yang mendapat ilmu yang betul sebelum memulakan perniagaan perkahwinan.

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan