Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Azira tidak berpaling tadah

Azira Shafinaz (tengah) bersama-sama anggota De Fam, Sophia (kiri)
Azira Shafinaz (tengah) bersama-sama anggota De Fam, Sophia (kiri) dan Cik Manggis (kanan).

MESKIPUN memulakan langkah seninya sebagai salah seorang anggota trio yang semakin dikenali iaitu kumpulan De Fam menerusi single Supergirls, bakat Azira Shafinaz, 26, dalam bidang lakonan turut dilihat memberangsangkan.

Membuktikan kredibilitinya ketika membintangi siri Mr. Donat Karamel yang pernah disiarkan di TV3 sebelum ini, kini Azira dilihat menjadi pilihan pengarah mahupun penerbit untuk tampil sebagai heroin.

Ekoran penglibatannya yang semakin aktif dalam bidang lakonan, timbul spekulasi mengatakan gadis kelahiran Kuala Lumpur itu sudah tidak lagi bersama-sama De Fam, apatah lagi single ketiga trio tersebut masih belum dikeluarkan walaupun sudah lama diuar-uarkan.

Berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Azira menegaskan, dia masih anggota De Fam dan proses untuk mengeluarkan single ketiga sedang dilakukan.

“Lagu telah pun siap dirakam pada hujung tahun lalu. Cuma lambat dilancarkan sebab menggunakan khidmat penerbit dari Amerika Syarikat. Insya-Allah akan dilancarkan dalam masa terdekat. Lagipun peminat De Fam sudah ramai yang bertanya,” ujarnya memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang berlaku.

Azira menambah, De Fam adalah keutamaannya ketika membuat keputusan melangkah dalam bidang seni kerana lagu Supergirls telah memperkenalkannya kepada umum selepas klip video nyanyian kumpulan itu mendapat tontonan melebihi sejuta di YouTube dalam masa tiga minggu sahaja.

Walaupun mengakui minatnya terhadap lakonan melebihi nyanyian, dia cuba menyeimbangkan kedua-dua bidang itu dengan memastikan jadual bersama-sama anggota De Fam tidak bertindih dengan aktiviti lakonan.

“Jadi setiap tawaran yang diterima, saya akan dahulukan De Fam. Jika ada undangan persembahan dan tawaran lakonan yang diterima pada tarikh sama, De Fam yang diutamakan.

“Ini yang saya praktikkan supaya tidak mengganggu jadual De Fam dan rakan-rakan lain pun faham dengan situasi saya.

“Saya tidak pernah membelakangkan mereka. Ada masalah, kami berbincang dan setakat ini aktiviti lakonan saya tidak mendatangkan masalah kepada mereka,” ujar pemilik nama sebenar Azira Shafinaz Ramlan itu.

Selain Azira, De Fam turut dianggotai Nurshazwani Shamsuddin (Cik Manggis) dan Sophiatul Liana Mohd. Sobri (Sophia).

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terkini, Azira sebenarnya tidak dapat menikmati cuti Aidilfitri yang panjang kerana sedang menjalani penggambaran drama Vila Ghazara.

Sewaktu bulan puasa lagi, dia sudah di set drama berkenaan yang menyaksikannya sekali lagi diberi peranan sebagai heroin di sisi teraju utamanya, Shukri Yahaya.

Menariknya kali ini, ketiga-tiga anggota De Fam juga ditawarkan untuk membintangi drama 40 episod arahan Feroz Kader itu.

“Buat pertama kalinya saya, Cik Manggis dan Sophia dapat berlakon dalam satu produksi. Sebelum ini mereka berdua jarang berlakon, hanya sesekali, itupun drama berbeza.

“Sebab itu apabila mendapat tahu kami bertiga terbabit dalam drama ini, perasaan teruja lain macam. Cuma setelah membaca skrip untuk 20 episod awal, saya dan Cik Manggis sahaja ada adegan bersama-sama disebabkan watak kami yang berkawan baik.

“Watak lakonan Sophia mungkin muncul selepas episod ke-20 dan tidak pasti kami bertiga akan bertembung dalam satu babak ataupun tidak,” katanya kepada Mega HITS.

Bukan itu sahaja, Azira menambah, kehadiran beberapa nama besar seperti Mustapha Kamal, Syed Aiman, Haleeda Mazlin, Aidil Aziz dan Hafeez Mikhail yang terkenal dengan gaya lakonan bersahaja, membuatkan dia berasa sedikit gementar pada peringkat awal.

Apatah lagi, usia pembabitannya dalam dunia lakonan baru setahun jagung dan masih memerlukan bimbingan daripada senior mahupun pengarah.

“Peluang berlakon bersama-sama mereka adalah sesuatu yang tidak boleh saya lepaskan.

“Pengalaman yang mereka ada harus saya ‘korek’ satu persatu untuk kebaikan saya. Dan saya bersyukur, masing-masing tidak lokek berkongsi ilmu yang ada,” ujar calon Pelakon Baharu Wanita Popular ABP itu.

Ketika Ramadan lalu, Azira juga berkesempatan untuk berguru dengan primadona, Fauziah Ahmad Daud dan aktres, Izreen Azminda sewaktu mereka sama-sama terbabit dalam telefilem Kembalikan Syawal yang disiarkan pada hari raya kedua.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan