12 binatang dijadikan sebagai lambang kemegahan setiap tahun dan mempunyai maksudnya yang tersendiri.

Jika tahun lalu merupakan tahun kuda yang didefinisikan oleh masyarakat Cina sedunia ia bakal membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kegagahan dalam kehidupan.

Kini sudah setahun tahun kuda berlalu, beralih arah kepada tahun kambing yang memberi simbolik kepada keuntungan dalam perniagaan, juga mempunyai sifat keperibadian yang tinggi.

Sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 19 Februari ini serentak di seluruh dunia termasuklah di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Kemeriahan itu akan bertambah berganda.

Bagi pengamal kuat feng shui, sudah pasti ada antara mereka yang berpegang teguh kepada soal ramalan tentang nasib dan kebahagiaan mereka begitu juga buat dua figura yang cukup terkenal di tanah air juga di peringkat antarabangsa iaitu Soo Wincci dan Daniel Lee.

Bersempena sambutan Tahun Baru Cina ini, Hits mengatur sesi fotografi khas buat mereka berdua untuk berkongsi kemeriahan dalam membuat persiapan selain azam mereka pada tahun ini.

Bagi bekas Ratu Cantik Malaysia/Dunia 2008 yang bintangnya semakin bersinar di Taiwan, sememangnya mengharapkan tahun ini mampu meningkatkan mutu kualiti dalam kerjaya.

“Jika tahun lalu merupakan tahun kuda yang memberikan seribu kemanisan dalam hidup saya. Jadi untuk tahun ini pula, saya harap dapat tingkatkan kerjaya nyanyian saya selain kejar apa yang belum tercapai.

“Bagi saya, susah macamana sekalipun dalam mengejar cita-cita, usaha dan semangat itu sangat penting. Kena selalu tanamkan azam dan impian, baru akan jadi kenyataan. Harap tahun kambing bagi ‘ong’ buat saya selain bakal menginjak usia 30 tahun,” katanya sambil berseloroh.

Kerana rindukan tanah air tercinta, Wincci yang agak lama berada di Taiwan untuk mengembangkan sayapnya di sana, mengambil cuti selama dua minggu untuk pulang ke tanah air bagi meraikan bersama-sama keluarga pada hari istimewa tersebut.

“Ya, saya terlalu rindukan keluarga sebab sudah beberapa bulan di Taiwan dan baru kini berpeluang kembali ke kampung halaman. Saya akan beraya bersama keluarga dan sanak saudara di Petaling Jaya.

“Setiap tahun, kami akan makan besar dan juadah utama sudah tentunya yee sang. Jika di Taiwan, tiada hidangan makanan seperti ini, mereka lebih kepada makanan eksotik dan mewah seperti abalon,” katanya lagi.

Mengikut adat Cina, pemberian angpau biasanya diberi oleh yang mereka yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Justeru itu sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira faktor usia.

“Kalau ikut adat Cina, memang yang belum kahwin tidak digalakkan untuk berikan angpau. Jujur saya katakan, dengan usia yang semakin meningkat dewasa ini saya masih lagi menerima angpau. Perasaan malu untuk terima itu tetap ada walaupun sudah ada kerjaya sendiri.

“Tetapi sejak dua tahun lalu, saya memang akan berikan angpau kepada ibu bapa saya. Tidak salah untuk beri angpau kepada mereka yang sangat penting dalam hidup walaupun masih berstatus belum berkahwin,” tegasnya yang tidak akan menyapu lantai pada hari pertama perayaan kerana menganggap seperti membuang ‘ong’ atau keuntungan.

Dalam pada itu, biarpun serba lengkap menyambut ketibaan Tahun Baru Cina, sifat prihatin dan kemanusiaan dalam dirinya tetap ada. Setap tahun di Wincci tidak pernah melupakan insan yang kurang bernasib baik di pagi raya.

Sudah menjadi tradisi buat kaum keluarganya untuk berkunjung ke rumah kebajikan dan anak yatim untuk menghulurkan sumbangan dan keperluan penghuni yang ada.

“Pada hari pertama Tahun Baru, kami sekeluarga akan berkumpul dan akan berkunjung ke rumah anak yatim Ti-Ratana di Desa Petaling untuk dermakan angpau yang Wincci dapat kepada mereka yang memerlukan.

“Bukan itu sahaja, saya dan keluarga turut memberikan barangan kelengkapan anak yatim. Bagi saya, golongan seperti ini tidak seharusnya dilupakan dan kita perlu sentiasa memberi perhatian,” ungkapnya.

Cinta baru Daniel

Usai menemuramah Wincci, pandangan penulis beralih pula kepada anak kelahiran Changlun, Kedah yang cukup fasih berbahasa Melayu, Daniel Lee.

Selepas 10 tahun program realiti Malaysian Idol 2005, Daniel masih lagi menjadi tumpuan ramai. Bukan hanya masyarakat Cina, malah masyarakat dari berbilang kaum juga turut meminati bakat penyanyi berusia 33 tahun ini.

Biarpun kurang menerima publisiti dari media cetak mahupun media lain, Daniel masih lagi ada dalam industri biarpun tiada album baru dikeluarkan selepas Sincerely Yours (2012).

Namun, dia kini seakan mulai jatuh cinta dengan karier barunya iaitu bergelar tenaga pengajar alat muzik ukulele.

“Sekarang saya aktif mengajar alat muzik ukelele di kelas-kelas, saya akan pergi ke tempat yang mereka mahu saya ajarkan. Buat masa ini saya rajin mengajar di Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang.

“Saya mula mengajar sejak tahun lalu. Saya memang minat untuk berkongsi kepada mereka yang mahu belajar bermain ukulele. Saya sudah pandai bermain gitar, jadi ia akan jadi lagi mudah untuk bermain ukelele,” katanya.

Daniel kini menjadikan kerjaya baru itu sebagai kerja sepenuh masa dan sering kali pergi ke mana-mana sahaja jika ada sambutan.

“Selalunya kelas yang saya ajar itu akan perlu ada seramai 10 hingga 15 orang pelajar. Kelas juga tidak lama hanya mengambil masa selama sehari sahaja mereka yang datang ke kelas ini akan pandai memetik ukulele.

“Saya mengajar di semua peringkat usia dan mahu lebih ramai lagi pemuzik ukulele. Kalau boleh nak jadikan instrumen ukulele ini sebagai instrumen utama selepas gitar,” katanya lagi yang sedang dalam rangka menyiapkan album penuh.

Sementara itu, Daniel turut tidak terkecuali menceritakan azam tahun barunya dan mengapa dia terlalu gembira pada perayaan kali ini.

“Tahun kambing ini memang bagi banyak keuntungan buat saya dan keluarga. Tambah manis lagi, tiga orang keluarga saya memang lahir pada tahun kambing.

“Makna tiga itu pun melambangkan kebaikan dan sangat bagus. Saya harap tuah itu berpanjangan sampai bila,” katanya.

Seperti kelaziman, Daniel akan pulang ke kampung halaman kedua-dua belah ibu bapanya di Bukit Mertajam dan berkumpul bersama keluarga besar di sana.

“Keluarga besar kami semua akan memakai pakaian baru berwarna merah dan berkumpul pada hari pertama.

“Saya dan sepupu lain akan membuat permainan bagi mengelakkan kebosanan selain perkara macam ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim selain tiada permainan berkaitan judi,” tuturnya.

PhD dan konsert

Kepulangannya ke Malaysia juga memberikan seribu kemanisan buat pelantun lagu Semusim Asmara ini.

Bukan hanya berada di samping keluarga malah dia juga bakal bergelar graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan perniagaan di Open Universiti.

“Tempoh lima tahun itu terlalu lama untuk saya habiskan pengajian. Dengan kekangan kerja dan jadual seni yang terlalu padat membuatkan pengajian saya banyak kali tertangguh.

“Namun, tahun ini merupakan tahun bermakna kerana kembalinya saya ke tanah air ini juga untuk menghantar subjek tesis yang sudah selesai kepada pensyarah.

“Ini merupakan tugasan terakhir saya sebelum menggenggam segulung PhD. Sangat berharap semuanya diterima baik oleh pihak universiti dan boleh menarik nafas lega,” katanya mengimpikan gelaran itu sejak sekian lama.

Satu hal yang harus dipuji buat wanita tinggi lampai ini, sebaik sahaja dia menerima segulung PhD, dia mahu memberi ceramah dan motivasi kepada generasi muda masa kini.

Dalam perkembangan lain, nama Wincci di Taiwan sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia sememangnya ada aura yang cukup memukau peminatnya di sana.

Dua tahun bertapak di Taiwan, Wincci merasakan masih banyak lagi yang perlu dipelajari demi memastikan kelibatnya di sana dikenali ramai.

“Saya tidak boleh bercuti terlalu lama kerana saban hari pasti akan ada muka baru yang akan muncul dalam industri muzik Taiwan. Saya sentiasa bekerja keras untuk pastikan nama saya tidak dilupakan. Kita berada di negara orang, sudah tentunya mengharapkan banyak reaksi positif ketika di sana,” katanya lagi.

Kini dia sudah mampu mengukir senyuman di bibir kerana namanya sedikit demi sedikit kian mekar di sana. Untuk itu, tahun ini dia mahu beralih fokus dalam negara.

“Banyak yang sudah dirangkakan untuk tahun ini. Antaranya saya bakal keluar dengan single terbaharu duet dengan Akim Ahmad. Judul lagu masih lagi dalam perbincangan dan ia merupakan lagu ciptaan Dj Fuzz.

“Lagu ini dalam bahasa Melayu dan ada sedikit unsur nostalgia dan tradisional. Pemilihan Akim dalam lagu ini sebab sebelum ini dia pernah menjadi sebahagian pelakon dalam klip video Semusim Asmara saya.

“Saya pun memang sukakan kepada bakat dan suaranya, sebab itu saya mempelawa dia untuk bekerjasama dengan saya. Lagu ini sudah siap dirakamkan,” katanya yang menubuhkan syarikat sendiri, Beyond Artist Management untuk pengurusan artis.

Malah, bagi peminat Wincci di tanah air, anda bakal menyaksikan konsert solonya yang di jadual bakal dilaksanakan sekitar bulan Jun depan.