Bagi Datuk Awie, tidak pernah sekali pun dia melupakan Putra Ahmad Rezzki, 9 tahun dan Putri Qasseh Antasha, 7, yang langsung tiada khabar berita sejak diambil oleh ibu mereka sebaik sahaja kemelut rumah tangga makin membara ketika itu.

“Tiga tahun tidak berjumpa dan tidak mencium pipi mereka, ini tempoh yang sukar buat saya. Sebelum ini, setiap kali pulang ke rumah, saya pasti akan memeluk mereka. Tapi sekarang semuanya sudah tidak berlaku lagi kepada kedua-dua mereka.

“Ada kala air mata saya menitis bila mengenangkan saat-saat manis kami bersama. Apa pun yang terjadi saya tetap akan menuntut hak penjagaan mereka melalui saluran mahkamah,” kata Awie.

Melalui perkahwinan dengan Rozana, Awie dikurniakan tiga orang anak termasuklah Putra Ahmad Merrah, 10 tahun yang kini dijaga olehnya. Selain itu, vokalis kumpulan Wings ini turut dikurniakan Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha melalui hasil perkahwinan dengan Arni Nazira.

Paling membuatkan dia terasa apabila terpaksa melalui detik pedih saat hari ulang tahun kelahiran anak-anak yang tiada dalam jagaan.

“Saya terkesan dengan Merrah yang selalu teringatkan kedua-dua orang adiknya. Bila keluar beli membeli-belah, dia akan membeli barang-barang untuk dua adiknya itu.

“Lagi menyedihkan bila dia sebut barang tersebut merupakan barang kegemaran Rezzki dan Qasseh. Itu selalu membuatkan saya sebak,” tambahnya lagi.

Ditanya adakah dia atau Merrah ada cuba untuk menghubungi kedua-dua mereka, Awie menegaskan yang mereka sering cuba melakukan perkara itu tetapi gagal.

Teruja

BAKAL bergandingan dengan gergasi rock Loudness sempena Malaysian Autoshow 2017 sedikit masa lagi, tentu sahaja gandingan satu pentas itu memberikan keterujaan kepada Awie dan kumpulan Wings memandangkan ini akan menjadi sejarah penting pembabitan mereka ke dalam industri seni tanah air.

“Bila diberitahu kami bakal bergandingan dengan Loudness dan beberapa kumpulan rock yang lain, tentu sahaja kami gembira. Dahulu ada juga beberapa percubaan penganjur untuk meletakkan kami dalam satu pentas tetapi tidak berjaya.

“Tak sangka pula akhirnya rezeki untuk bersama masih ada. Saya yakin persembahan itu nanti akan menjadi antara kenangan manis yang dilakar oleh Wings dan kumpulan-kumpulan lain yang terlibat sama nanti,” tambahnya lagi.

Malaysian Autoshow 2017 merupakan pameran permotoran yang sudah memasuki edisi ketiga penganjuran oleh Malaysia Automotive Institute (MAI). Pameran yang bermula pada 8 hingga 12 November itu turut menyediakan pelbagai acara penting termasuklah pameran permotoran, persidangan automotif, booth jualan dan pelbagai aktiviti yang lain.

Untuk konsert pula, mereka menggunakan nama Festival SoundValley yang menghimpunkan belasan kumpulan rock popular.

Pada 11 November nanti, nama-nama kumpulan Bloc Party, Barasuara, Hujan, Bunkface dan Otherside Orchestra akan menghiburkan pengunjung yang hadir. Sehari selepas itu Wings akan membuat persembahan bersama dengan Lodness, May, Metalasia, FiftyOne50 dan Cassandra.

“Kami belum membuat pemilihan lagu dan kebiasaannya saya akan serahkan tugas tersebut kepada Eddie dan Black. Tapi untuk konsert kali ini saya yakin akan memberikan banyak kelainan berbanding dengan konsert-konsert terdahulu,” kata Awie lagi.

Bagi mereka yang ingin turut serta menyaksikan Festival SoundValley, tiket untuk menyaksikan konsert selama dua hari itu dijual bermula dengan harga RM248 hingga RM836. Layari Facebook/SoundValley Festival 2017 untuk maklumat lanjut.