Akhirnya, Selasa lalu, Mahkamah Majistret Ampang, Selangor telah membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan isterinya selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu dengan cara Awie meminta maaf kepada Rozana dan membayar kompaun RM10,000 bekas isterinya itu. Hits menemu bual Rozana untuk bertanya mengapa keputusan itu diambil selepas puas dia berjuang untuk menegakkan haknya.

Hits: Bagaimana perasaan Rozana selepas Awie membuat permohonan maaf?

Rozana: Sama ada Awie minta maaf atau tidak, langsung tidak memberi kesan kepada saya. Akan tetapi, keputusan ini diambil atas dasar kebaikan yang lebih berpihak kepada saya dari sudut perundangan.

Ada yang anggap, keputusan yang dibuat Rozana seolah-olah satu kemenangan buat Awie, sila komen.

Hanya yang buta undang-undang sahaja akan berfikir bahawa persetujuan saya memberi maaf kepada Awie adalah kemenangan buat dia.

Apakah ini bermaksud, ada perancangan lain untuk membawa perkara ini ke mahkamah lagi?

Saya sedang dalam proses perbincangan dengan peguam bagi meneruskan saman sivil yang berkaitan dalam usaha menuntut ganti rugi bagi kecederaan kekal yang saya derita kini. Bayangkan, hidung saya patah dan senget akibat insiden tersebut.

Selain itu, saya juga akan kemukakan saman malu terhadap Awie bagi menjernihkan kembali imej yang rosak di mata masyarakat.

Maknanya, masih ada yang kurang puas hati dengan keputusan akhir kes ini?

Saya tahu, ramai dalam kalangan mereka yang rapat dan mengambil berat mengenai diri saya kecewa dengan keputusan saya yang menerima permohonan maaf daripada Awie. Malah, ada yang tidak berpuas hati dengan kompaun yang berjumlah RM10,000 yang diperintahkan mahkamah kepada Awie untuk dibayar kepada saya. Sebenarnya RM10,000 itu adalah denda maksimum bagi kes seksyen 325 kanun keseksaan. Tetapi saya harus tekankan di sini bahawa kes ini tidak ditutup sepenuhnya lagi dan boleh dibuka bila-bila masa.

Rozana nampak macam masih ada kekesalan tentang kes ini, apakah benar?

Ya, saya kesal apabila antara kenyataan buruk yang dilemparkan Awie kepada saya seperti tuduhan kaki bomoh, tidak amanah serta pelbagai tuduhan lain yang tidak masuk akal mengenai saya. Itulah yang Awie beritahu kepada media selama ini.

Bagaimana anak-anak Rozana menghadapi situasi sukar sebelum ini ya? Apakah mereka turut trauma?

Alhamdulillah, saya bersyukur dan bangga dengan ketabahan anak-anak di bawah jagaan saya sekarang.Walaupun pada umur yang masih mentah, mereka pandai membawa dan menyesuaikan diri kepada fasa baru dalam hidup mereka kini dengan baik sekali. Cuma saya tidak dapat menahan sebak di dada setiap kali mereka bertanya, bila abang Merrah akan pulang bertemu mereka.

Setelah melalui episod tragis sebegini, adakah anda serik untuk hidup berumah tangga lagi selepas ini?

Tidak serik sama sekali! Sebab saya percaya tidak semua lelaki mempunyai perangai kaki pukul isteri. Masih ramai lagi lelaki yang baik dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi di dada.

Apa kekuatan Rozana untuk sepanjang kes ini berlangsung?

Anak-anak adalah kekuatan saya. Buat masa ini hanya Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 9, sahaja yang ada bersama dengan saya, tetapi saya tidak akan berhenti berjuang untuk melihat anak sulung, Merrah kembali ke pangkuan saya dan adik beradiknya selepas dua tahun kami terpisah.

Walaupun hanya Rezzki dan Qasseh sahaja yang ada dengan saya ketika ini, saya tidak akan berhenti berjuang untuk melihat Putra Ahmad Merrah, 8, anak sulung yang terpisah dengan sejak dua tahun lalu. Saya mahu Merrah kembali ke pangkuan saya dan adik-adiknya.

Jadi, apa perancangan Rozana dalam kehidupan selepas ini, sudah bekerja atau bagaimana?

Sejak meninggalkan rumah dan sah bercerai dengan Awie, saya menjalankan perniagaan secara online di bawah label sendiri iaitu Qasseh Online. Tidak menjadi masalah untuk kembali berniaga kerana sejak remaja lagi, saya sudah berdikari. Saya hanya dikekang daripada melakukan sebarang pekerjaan hanya selepas bernikah dengan Awie dulu.

Harapan Rozana sendiri selepas ini?

Harapan saya agar Awie mengunci mulutnya daripada terus mengaitkan nama saya lagi dalam hidupnya selepas ini. Cukup-cukuplah!