Muzik umpama menjadi sebahagian daripada proses penyembuhan remaja tersebut sehingga kesedihan bertukar kepada kehidupan yang lebih menggembirakan.

Justeru penyanyi lagu Pencuri dan Si Katak ini tidak pernah mematikan angan-angan mahu menubuhkan sebuah sekolah nyanyian demi membantu mereka yang benar-benar mahu belajar vokal secara profesional sekali gus menyuntik semangat positif dalam diri mereka.

Bertahun-tahun menyimpan hasrat tersebut dan selepas lapan tahun bergelar guru vokal akhirnya Akademi Suara terbina dalam cara dan jalan yang cukup indah dan mudah.

Terletak di Neo Damansara, Kuala Lumpur, sekolah nyanyian itu juga satu manifestasi kepada Mark Adam untuk merealisasikan keinginannya mendidik dan melatih insan-insan yang berminat untuk mempelajari ilmu nyanyian dan persembahan pentas.

“Sebenarnya lokasi ini hanya ditemui pada tempoh yang singkat. Akhir Disember lalu, rakan artis Hafiz Hamidun menunjukkan satu pejabat yang sangat sesuai untuk dijadikan sekolah nyanyian saya.

“Saya tidak perlu membuat pengubahsuaian yang banyak kerana sudah ada pembahagian bilik yang bersesuaian. Saya hanya menambah baik yang sepatutnya sahaja.

“Kos yang saya keluarkan untuk mencantikkan sekolah ini tidak sampai pun RM30,000. Jalan untuk membuka Akademi Suara ini sangat mudah dan urusan berjalan lancar dan cepat.

“Malah setakat ini sudah ada 12 pelajar yang mendaftar untuk mendapatkan ilmu nyanyian di sini,” kongsi Mark Adam.

Selain Mark Adam selaku tenaga pengajar, dia turut meminta khidmat tiga lagi insan seni iaitu Iqwal Hafiz ( Ewal), Amir Jahari dan Adeep Nahar yang mempunyai kebolehan masing-masing dalam ilmu nyanyian, penciptaan lagu dan persembahan pentas.

Yuran bagi menjadi pelajar di Akademi Suara antara RM100 hingga RM300 sebulan.

Bantu penghidap kanser

“Yang membuatkan saya cukup terkesan apabila salah seorang pelajar saya kembali pulih daripada kanser di lehernya selepas mengambil kelas vokal. Saya berikan dia lagu-lagu gembira yang boleh memberikan aura positif kepada hidup yang dijalaninya.

“Saya bawa diri dia melihat sudut positif, memberi nasihat-nasihat yang merangsangkan rasa gembira dan akhirnya daripada sekadar belajar vokal untuk mengisi masa, remaja tersebut menjadikan nyanyian sebagai satu proses penyembuhan.

“Inilah juga yang saya warisi dan pelajari daripada ayah dan datuk saya yang juga selaku guru vokal di Filipina. Datuk saya pernah berkata, bakat yang ada adalah kurniaan Tuhan, jadi perlu dikongsi dengan orang lain,” kata Mark Adam.

Penyanyi ini mahu menjadikan Akademi Suara ini sebagai satu sekolah yang bakal melahirkan penyanyi berbakat besar dan dikagumi di Nusantara.

“Selalu sangat saya dengar orang bertanya, kenapa ramai sekali artis yang bagus-bagus datangnya dari Indonesia dan Filipina? Justeru saya mahu ubah persepsi tersebut.

“Saya mahu selepas ini, ramai pula yang mengatakan artis Malaysia semuanya bagus-bagus dan sangat berbakat,” katanya yang turut berkongsi matlamat penubuhan Akademi Suara demi menghasilkan penyanyi dan penghibur yang berkualiti dari segenap segi.

Mark Adam yang sudah mendapat taraf Pemastautin Tetap (PR) di negara ini berasa cukup disayangi dan dihargai rakan-rakan sekeliling.

“Sebagai bukti kasih sayang dan persahabatan mereka kepada saya dan isteri, semua urusan pelancaran Akademi Suara ini ditaja sepenuhnya oleh mereka. Saya rasa cukup bersyukur dan bertuah kerana persahabatan begini sukar diperoleh.

“Malaysia bagaikan negara saya sendiri, lebih-lebih lagi saya berkahwin dengan orang Malaysia dan mencari rezeki di sini. Kasih sayang saya pada Malaysia dan Filipina tidak pernah dapat dibandingkan,” katanya.

Mark Adam juga bakal berlakon sebuah telefilem yang masih dirahsiakan judul bagi siaran Astro.

“Berlakon sentiasa menyeronokkan bagi saya. Sebabnya saya menganggap itu satu cabaran untuk saya membaiki cara lakonan menjadi lebih baik,” katanya yang pernah menjadi pelakon utama dalam telefilem pertamanya, Haji Rock, tiga tahun lalu.