Tomok

Usaha yang dirintis oleh akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama dua tahun berturut-turut telah berjaya mengubah pandangan skeptikal terhadap majlis pembacaan puisi.

Pada dua penganjuran sebelum ini yang dikenali sebagai acara Bintang-Bintang Berpuisi, bukan sedikit jumlah khalayak yang memenuhkan ruang Persada Canselori, Bangunan Canselori, UKM, Bangi, Selangor.

Beritik tolak dari situ, Utusan Malaysia sekali lagi bersama-sama UKM dan Jabatan Penerangan kembali memasyhurkan puisi dalam skala yang lebih besar dengan penganjuran diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) di universiti berkenaan.

Penganjuran yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negara itu masih lagi mendukung aspirasi yang sama iaitu mengajak masyarakat menghargai puisi.

Majlis bacaan puisi kali ini akan dikenali sebagai Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa akan berlangsung malam ini di Dectar, UKM bermula pukul 8.30 malam.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Utusan, Nik Anura Nik Abdul Rahman, kejayaan dua acara baca puisi sebelum ini memberi motivasi yang sangat tinggi buat Utusan Malaysia, UKM dan Jabatan Penerangan untuk meneruskan majlis ini dalam skala yang lebih besar.

Bahkan majlis yang akan berlangsung pada sebelah malam juga, jelas Nik Anura, menterjemahkan betapa ketiga-tiga organisasi yang bergabung tenaga pada kali ini berkongsi keazaman untuk mengangkat martabat puisi sebagai medium penyatuan dan perpaduan semua peringkat masyarakat.

Menurut Nik Anura, Utusan Malaysia khususnya akan terus melestarikan kesusasteraan Melayu melalui acara ini.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kerana UKM dan Jabatan Penerangan berkongsi harapan dan aspirasi yang sama untuk menghidupkan kembali budaya berpuisi sebagai warisan bangsa yang mempunyai nilai estetika tinggi,” kata Nik Anura.

Untuk edisi kali ini, Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa akan menampilkan tiga artis popular tanah air iaitu Tomok, Azharina dan Ippo Hafiz yang akan menterjemahkan rasa kasih dan sayang mereka terhadap negara menerusi persembahan istimewa masing-masing.

Ketiga-tiga artis popular itu akan bersama-sama barisan pemimpin negara, tokoh akademik dan penggiat sastera untuk memasyarakatkan budaya membaca dan menghargai puisi.

Platform terbaik

Penyertaan kali pertama Tomok dalam acara kesusasteraan ini disifatkan sebagai menzahirkan rasa kesyukurannya terhadap kemakmuran yang dinikmati Malaysia sepanjang enam dekad merdeka daripada cengkaman penjajah.

Katanya, acara tersebut adalah platform terbaik untuk mengajak rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda untuk menghargai kemerdekaan negara.

“Orang seni juga ada caranya untuk menyatakan rasa kasih dan sayang kepada negara. Saya memilih untuk bersama-sama Utusan Malaysia dan UKM menyertai malam gemilang pembacaan puisi ini dengan menghiburkan penonton.

“Saya berpendapat, acara-acara seperti ini harus diberi sokongan dan dihargai kerana tujuannya sangat murni iaitu untuk menterjemahkan rasa terima kasih kita kepada negara,” ujar Tomok.

Ippo Hafiz dan Azharina juga sependapat dengan Tomok bahawa acara Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa merupakan wadah terbaik untuk menzahirkan rasa kebanggaan bagi setiap individu sebagai anak Malaysia.

Pada masa sama, usaha yang diambil oleh Utusan Malaysia, UKM dan Jabatan Penerangan disifatkan kedua-dua mereka sebagai pendekatan terbaik untuk mempopularkan puisi.

Justeru, penganjuran Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa malam ini kata mereka, sangat tepat pada masanya.

Kedua-dua penyanyi popular itu turut berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dalam majlis yang turut menampilkan personaliti-personaliti tersohor mendeklamasikan puisi mengenai kemerdekaan negara.

Yang turut mendeklamasikan puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali; dan penyair Shukri Abdullah.

Acara itu juga bakal menampilkan bacaan puisi bahasa asing oleh tiga pendeklamator iaitu Dr. Ashinida Aladdin yang akan menyampaikan puisi dalam bahasa Arab, Dr. Suzianna Mat Saad (Perancis) dan Hasnoor Shima Ahmad Hassan (Jerman).

Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa juga akan dimeriahkan dengan acara tarian oleh kumpulan artis Pentarama, Jabatan Penerang dan Pusat Seni Kebudayaan UKM (Puskeb).