Sejak mula serius berkecimpung dalam bidang lakonan tiga tahun lalu, terdengar desas-desus yang mengaitkan dirinya dengan status isteri orang.

Dalam erti kata lain, dia didakwa sudah berkahwin namun cuba menyorokkan kebenaran itu namun bak kata orang, andai disembunyi, lambat laun orang akan dapat menghidu dan rahsia pun akan terbongkar akhirnya.

Mencari konklusi kepada persoalan yang menimpa diri pelakon yang semakin popular ini, Sasqia dalam nada tenang bermain dengan butir bicara serasional mungkin bagi mengelak dirinya terbelenggu dengan sikap tidak profesional hanya kerana terlalu mengikut emosi amarah.

Menganggap spekulasi yang dia cuba menyembunyikan sebuah perkahwinan, Sasqia sedar tiada gunanya untuk dia berdebat panjang dengan masyarakat sekali pun perkara itu tidak benar.

Cuma melantunkan jawapan bahawa dia belum berkahwin, Sasqia selesa untuk enggan melayan kerenah orang yang gemar menghukum tanpa akar cerita.

“Kalau ikutkan, saya boleh saja katakan no comment untuk persoalan begini sebabnya saya tahu, ya atau tidak yang saya telah berkahwin, orang luar tetap akan bercakap kerana mereka memilih untuk percaya begitu.

“Saya pula adalah jenis manusia yang tidak suka menjual cerita peribadi. Jadi saya pilih untuk tak payah nak tegakkan kebenaran melainkan cukuplah dengan jujurnya saya katakan yang saya ini tidak berkahwin dan bukan isteri orang,” katanya.

Tidak pernah memasang niat untuk membohongi sesiapa, kata Sasqia, dia masih waras untuk tidak memperbodohkan peminat dan masyarakat kerana seperti lazimnya seorang wanita yang benar-benar mendambakan sebuah perkahwinan yang bahagia, tentu sekali dia ingin berkongsi berita gembira itu andai benar berlaku.

Tidak berselindung bahawa dia kini sedang rapat dengan seseorang, Sasqia yang berusia 31 tahun ini bagaimanapun mengaku tidak pula memberi tekanan buat teman lelakinya dan mendesak untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Tentulah sebagai seorang wanita, saya pun ada hati untuk berkahwin dan bergelar isteri orang. Orang fikir, seronok sangatkah duduk sunyi seorang diri macam ini? Kalau kita berbual dengan kawan, lain. Saya bercakap mengenai seseorang yang boleh menjadi pasangan hidup kita.

“Pada akhirnya nanti, kita semua mesti mahu membina sebuah keluarga. Balik rumah penat-penat kerja, mestilah kita nak ada orang yang boleh kita berbual dan sebagainya.

“Tetapi itu tidak berlaku kepada saya sekarang. Namun saya positif, andai ada jodoh, adalah. Kami pun sudah berkawan lama, sejak sama-sama belajar di universiti lagi,” katanya.

Lelaki bijak

Mendalami lubuk hatinya mengenai kriteria lelaki yang diingini, kata pelakon drama Cik Bunga Encik Sombong ini, dia tidak mengejar paras rupa dan tampannya seorang lelaki namun lebih tertarik kepada kebijaksanaan mereka.

Menganggap teman lelakinya mempunyai kriteria yang diingini, kata Sasqia, dia suka dengan karektor lelaki tersebut yang bertanggungjawab dan punya akal yang bijak.

“Dia merupakan seorang ahli perniagaan. Dia juga banyak memberi sokongan kepada saya dari segi nasihat dan ilmu pemasaran. Dia tidak memanjakan saya tetapi banyak mengajar saya bagaimana untuk menjadi kuat dan berdikari.

“Paling saya hormat, bagaimana dia bijak mengendalikan isu atau masalah kerana itu antara kriteria yang saya fikir perlu ada dalam setiap diri lelaki yang sejati,”katanya yang turut jatuh hati dengan lelaki yang bersikap romantik.

Menganggap hubungannya kini berjalan lancar dan berada dalam zon selesa, Sasqia bagaimanapun sedar ramai yang datang bertanya kepadanya mengenai tarikh luput zaman solo.

“Ke hulu, ke hilir, orang datang bertanya itu merupakan satu perkara yang biasa. Tapi belum terjadi sekarang. Kalau ada, saya akan cakap. Tetapi janganlah sampai menuduh saya sudah berkahwin dengannya dan nak sembunyi-sembunyi,” katanya.

Jatuh bangun

Dalam pada itu, sengaja menarik perhatian Sasqia mengenai perjalanannya sebagai anak seni, kata wanita ini, dia tidak menganggap perkara itu datang dengan mudah meski ada pihak mengaitkan dirinya dengan kesenangan keluarga.

Bergelar anak orang berada bukan bermaksud Sasqia perlu malas dan culas dalam mencari arah usaha kejayaan sendiri dan itu yang menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk membuktikan bahawa kerjaya artis atau pelakon itu bukan satu kerjaya 'sampah’.

Mengaku pernah ditentang keras oleh orang tuanya kerana keputusannya untuk menjadi pelakon, Sasqia berpegang kepada prinsip dan minatnya sendiri meski pernah diherdik bapa sebagai seorang anak derhaka.

“Saya degil sehinggakan ayah sangat marah kerana jalan yang saya pilih ini. Mengikut katanya, saya lupakan sebentar dunia lakonan sebelum ini sebelum kembali semula dengan semangat baharu hujung 2014.

“Kali ini, orang tua saya mula meletakkan kepercayaan meski ada kalanya ayah bising mengapa kerja teruk, pulang lewat dan sebagainya. Saya akui, ayah mampu berikan kesenangan kepada saya tetapi saya yang pilih mahu lakukan semuanya sendiri.

“Saya fikir, lebih puas andai saya berusaha sendiri tanpa bergantung kepada sesiapa. Pendek kata, biarlah saya berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada ayah.

“Sebab saya nak rasa puas hati, bila hujung bulan, saya boleh bayar semua keperluan dan bil-bil dengan hasil titik peluh sendiri. Sebab itu saya nak cuba juga dan buktikan kepada semua bahawa saya boleh berjaya dalam bidang ini.

“Sasaran saya kalau satu hari nanti saya jadi wanita yang berjaya, saya mampu beli kereta mahal, saya boleh berbangga dengannya kerana itu duit saya sendiri dan bukannya duit ayah atau sesiapa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sasqia yang sering dikenali dengan watak antagonis bakal muncul dengan drama 100 episod terbitan Global Station berjudul Lara Aisyah, Khabar Dari Casablanca dan Pulangkan Syawalku.