Demikian tegas Nur Amira Izzati Rosli, 24, atau Amyra Rosli berhubung dakwaan mengatakan kononnya pelakon ini terkena badi apabila masih tidak bertemu jodoh selepas putus tunang dengan aktor Dazrin Kamaruddin dua tahun lalu.

Menegaskan bahawa kepercayaan tersebut tidak relevan, Amyra akur yang perkara itu merupakan ketentuan Yang Maha Esa.

“Tidak dinafikan memang saya kerap memakai baju perkahwinan pada awal kemunculan dulu. Mungkin ketika itu memang ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Namun sekarang tidak lagi. Mama kini sudah mula menapis tawaran yang berkehendakkan saya berpakaian sebegitu untuk sesi fotografi," katanya yang diurus ibu sendiri, Noor Zaridah Ahmad.

Menerima secara terbuka teguran pihak yang kurang senang melihat wanita bujang sepertinya berpakaian pengantin, Amyra mengakui, dia prihatin dan menghormati pandangan setiap pihak.

“Kalau dulu, memang tak ramai orang berpeluang untuk berpakaian pengantin. Hanya yang bekerja sebagai model atau pelakon saja yang dapat melaram pakaian begitu.

“Maklumlah kebanyakan pakaian pengantin cantik-cantik. Sebab itulah, orang Melayu kita tak suka kalau wanita bujang kerap berpakaian macam itu.

“Takut-takut nanti hilang pula seri sewaktu bersanding di pelamin,” katanya yang kini dijemput sebagai selebriti menjayakan pertandingan busana pengantin milik butik perkahwinan, wedding.com.my.

Menerusi pertandingan yang berakhir 31 Julai ini, pemenang berpeluang memiliki baju pengantin yang digayakan Amyra selain dapat beramah mesra dengannya.

Berhubung khabar angin yang mendakwa dia bakal mendirikan rumah tangga dengan aktor Amar Baharin, Amyra menafikan perkara tersebut.

Tegas Amyra, dia tidak akan lagi menyembunyikan perkhabaran gembira menjelang hari bersejarah dalam hidupnya daripada pengetahuan umum.

Ini kerana Amyra menegaskan, dia banyak belajar daripada kesilapan selepas insiden putus tunangnya sebelum ini dan tidak akan mengulanginya lagi.

Gastrik

SATU daripada cabaran besar Amyra sepanjang menjalani ibadah berpuasa pada Ramadan ini adalah mengawal emosi lantaran menghidap gastrik sejak dulu lagi.

Pernah mendapat rawatan di hospital gara-gara penyakit itu, Amyra yang aktif ini juga berdepan dengan masalah tidak dapat rehat yang cukup.

Oleh sebab itu, Amyra memberitahu dia sangat menitikberatkan soal pemakanan berzat agar dapat menghindarkan penyakit itu dan sentiasa bertenaga.

“Selalunya saya akan memenuhkan jadual sepanjang Ramadan dengan penggambaran dan memenuhi undangan daripada pihak penganjur.

“Saya mahu memastikan ada aktiviti berlangsung supaya saya tidak lemah dan memikirkan penyakit gastrik itu.

"Memang sakit, tapi nak buat macam mana.Hinggakan berat badan saya turun sebanyak empat kilogram pada bulan ini. Saya tak kisah asalkan saya tidak duduk diam di rumah.

“Tak apa sibuk sedikit daripada berehat tak buat apa-apa. Nanti penyakit lain pula yang datang,” katanya lagi.