Biarpun mereka bertiga lahir daripada aplikasi Smule yang cukup popular suatu ketika dahulu, nama Andi seakan-akan payah dan lambat untuk mendaki puncak populariti.

Tidak seperti Khai dan Wany, mereka dilihat pantas memacu langkah mencuri hati peminat yang dahagakan bakat seni daripada anak muda. Namun itu bukan alasan Andi untuk berasa cemburu.

Sejujur dari hati kecilnya, dia juga mahu berjaya dan keinginan itu dijadikan pemangkin semangat dan motivasi untuknya terus mencuba serta tidak pernah mengalah sama sekali.

Apatah lagi, dia tumpang gembira melihat kejayaan demi kejayaan yang ditempa kedua-dua penyanyi itu dan dia menyimpan hasrat yang sama untuk berdiri sama tinggi dengan Khai dan Wany.

“Kalau kata cemburu itu memang tidak ada. Buat apa hendak menyimpan perasaan negatif seperti itu? Saya gembira dengan kejayaan mereka dan pada masa yang sama bersyukur dengan rezeki yang ada.

“Saya percaya apabila kita berusaha akan ada balasan yang diterima. Mungkin bukan sekarang tetapi pelangi akan menjelma selepas hujan. Banyak contoh kita lihat sekarang.

“Saya tahu industri ini tidak semudah yang kita lihat. Gemerlapan kehidupan dan populariti sebenarnya disulami dengan titik peluh dan keringat yang ramai peminat tidak tahu,” katanya yang popular selepas menyanyikan semula lagu Putus Terpaksa di aplikasi tersebut.

Melihat kepada kelahiran ramai artis muda yang silih berganti mewarnai industri seni suara, pemuda berusia 26 tahun ini menganggap itu sebagai satu perkembangan dan persaingan sihat dalam bidang ini.

Tidak mahu tertekan dan tergesa-gesa dalam meraih populariti, dia perlahan-lahan mengatur langkah supaya impian yang dikejar dapat dan yang dikendong tidak berciciran.

“Saya tidak mahu terlalu memaksa diri untuk mengejar populariti. Tak semua punya peluang keemasan tersebut. Oleh itu, saya sangat menitikberatkan pemilihan lagu dan penjagaan kesihatan khususnya suara.

“Saya percaya kalau kita ada bakat, kita mampu untuk menambat hati ramai peminat. Apatah lagi dengan kemajuan dunia media sosial sekarang, peminat mudah untuk mendekati artis kesayangan mereka,” kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini.

Tiada Lagi Maaf pertaruhan Andi

Sekali lagi tular dek kerana video Tak Tun Tuang yang berjaya mendapat jutaan tontonan, terdetik persoalan adakah Andi selesa dengan hanya bergelar penyanyi yang acap kali tular di laman sosial?

Tidakkah dia mahu menempa nama sebagai seorang penyanyi yang mempunyai lagu sendiri? Ataupun dia sememangnya hanya mahu popular dengan lagu-lagu saduran di laman sosial?

Menjawab kepada persoalan itu, Andi menjelaskan, dia secara tidak sengaja merekod video Tak Tun Tuang itu dan tidak menyangka video tersebut akan menjadi tular sehingga ditonton jutaan peminat. Apatah lagi, dia tidak pernah merancang atau meletakkan harapan supaya setiap videonya menjadi tular. Yang terjadi adalah secara kebetulan dan tidak disengajakan.

“Sebenarnya saya betul-betul belum mandi ketika merekod video tersebut. Tak pernah pun letak harapan untuk jadi tular lagi. Tapi mungkin peminat suka dan terhibur dengan lagu tersebut.

“Memang ada orang bertanya, saya popular sebabkan tular sahajakah? Bila mahu ada single sendiri? Takkan nak harapkan video-video tular semata-mata,” katanya yang juga seorang usahawan dalam talian.

Tampil dengan single Tiada Lagi Maaf ciptaan komposer ND dan Andi sendiri, penyanyi muda ini mengharap lagu itu diterima para peminat muzik tempatan.

“Akhirnya single yang dinanti-nantikan peminat sudah dilancarkan. Setakat ini sambutan menggalakkan dan saya ambil peluang pada saat tular ini untuk mempromosikan lagu tersebut.

“Tiada Lagi Maaf ini memang cukup istimewa pada hati saya dan ketika merakam lagu ini, saya tersentuh dan terasa dekat dengan liriknya. Saya harap agar peminat akan terus menyokong kerjaya seni saya,” katanya.