Ini pertemuan ketiga saya dengan Jermaine dan perjumpaan kali ini diaturkan di sebuah hotel terkemuka di Los Angeles - Hilton Garden Inn Calabasas.

Jermaine ingin memberi sebuah cerita eksklusif. Rupanya beliau ingin memperkenalkan saya dengan kedua-dua anaknya iaitu Jermajesty dan Jaafar Jackson buat pertama kalinya kepada media dan peminat di Malaysia.

Menurut Jermaine kini kedua-dua anaknya sedang sibuk membuat rakaman album dengan beberapa komposer terkenal di AS dan Asia.

Katanya anak-anaknya bakal muncul dengan album pertama tidak lama lagi bagi meneruskan legasi perjuangan bapa saudara mereka, Michael Jackson yang meninggal dunia pada tahun 2009.

Kematian Michael cukup menggemparkan industri muzik dan kehilangannya begitu dirasai peminat di seluruh dunia termasuk keluarga, anak-anak serta anak-anak saudaranya.

Jaafar and Jermajesty telah dijemput sebagai penyanyi jemputan di Asian Film Awards pada Mac lalu di Venetian, Macau.

Mereka dijemput untuk membuat kemunculan pertama di Asian Film Awards Red Carpet. Di sana Jaafar and Jermajesty melancarkan karier muzik mereka.

Dalam pertemuan selama 45 minit, saya lihat kedua-dua anak saudara Michael begitu pemalu serta berbudi bahasa.

Ketika diminta bergambar, Jermaine meminta kami merakam foto mereka di hadapan kereta mewah Ferrari biru.

Ketika sesi fotografi, Jermajesty dan Jaafar Jackson begitu mudah disuruh berposing, bagaikan sudah sedia bergelar bintang.

Jermajesty dan Jaafar merupakan anak Jermaine dengan bekas isteri keduanya, Alejandra Genevieve Oaziaza juga mempunyai seorang lagi anak iaitu Donte Jackson.

Ketika ditanya mengenai bapa saudara mereka, Jermajesty dan Jaafar berkata, semasa Micheal Jackson meninggal dunia mereka masih kecil. Katanya, bapa saudara mereka amat sibuk dan mereka jarang berjumpa kecuali dalam majlis tertentu.

Mereka menganggap diri mereka lebih kepada peminat Michael Jackson dan bukannya anak saudara.

Kejutan untuk Peminat 
 The Jackson 5

Bagi mereka yang masih mengingati kumpulan The Jackson 5 yang menjadi kegilaan peminat muzik sekitar tahun 1970-an.

Kumpulan ini banyak menempa kejayaan malah mewujudkan fenomena “Jacksonmania” di seluruh dunia. Ketika itu The Jackson 5 dianggotai oleh Jackie, Tito, Jermaine, Marlon, Randy dan Michael.

Jermaine, salah seorang anggota kumpulan The Jackson 5 yang mengecap kegemilangan dan kemasyhuran pada era 1980-an, memeluk Islam pada tahun 1989.

Jermaine atau Jermaine LaJaune Jackson dilahirkan pada 11 Disember 1954 di Gary, Indiana kini dikenali sebagai Muhammad Abdul Aziz.

Kini Jermaine sedang merancang untuk menyambut ulang tahun ke-50, Jackson Family pada 29 Ogos ini.

“Selain sibuk menguruskan album anak-anak, saya juga sedang mencari lagu untuk album baru saya. Album ini pasti mempunyai pelbagai genre demi memenuhi permintaan peminat yang tertunggu-tunggu album baru saya,” kata Jermaine lagi.

Menyentuh mengenai mendiang adiknya Michael, kata Jermaine, “baru-baru ini heboh gosip kononnya adik saya masih hidup, cukuplah, saya dah tutup buku mengenainya.

“Kini apa yang saya tahu anak-anak saya bakal meneruskan legasi adik-adik saya dalam bidang seni. Saya berdoa dan berharap kejayaan mereka”.

Selain menyanyi, Jermaine sibuk meng­uruskan pernia­gaannya Jackson House Holdings di Asia Pasifik. Bisnesnya tertumpu kepada produk pengguna, telefon dan banyak lagi. Manakala pengurusan kereta mewah diletakkan di bawah Jackson Grand Performance Automotive.

Kini Jermaine, anak ke empat dari sembilan beradik bahagia dengan isterinya Halima Rashid berasal dari Afghanistan.

Seperti Michael, Jermaine turut menghasilkan album solonya ketika masih bersama kumpulan The Jackson 5. Albumnya Daddy’s Home terjual lebih satu juta unit hingga melayakkan Jermaine menerima Anugerah Cakera Emas.

Pada tahun 1980 melalui albumnya Let’s Get Serious, Jermaine dicalonkan untuk Grammy Award bagi kategori Best Male R & B Vocal Performance.

Sepanjang karier solonya, album dan lagu-lagu nyanyian Jermaine sering menduduki carta Billboard Top 30 sejak tahun 1970 hingga 1980 an. Antara lagunya Daddy’s Home,That’s How Love Goes, Let’s Be Young Tonight, Bass Odyssey, Feel the Fire, Let Me Tickle Your Fancy .

Selain menyanyi dan boleh bermain gitar bass, Jermaine juga seorang komposer dan penerbit album untuk beberapa orang artis seperti Switch dan Whitney Houston.