Namun, akhirnya dia sedar sifat tersebut tidak akan membawanya ke mana-mana selagi dia tidak berfikiran terbuka serta berani berdepan dengan cabaran.

“Dahulu ketika tinggal di Tawau, saya sering mendengar jiran-jiran yang berhijrah ke Kuala Lumpur pasti membawa sesuatu yang besar apabila pulang ke kampung. Walaupun hanya bekerja di kilang, itu sudah cukup membanggakan.

“Dari situ, saya memasang impian untuk menjadi seperti mereka, keluar dari kampung kerana tahu ada sesuatu yang baik menanti saya di sana.

“Jadi apabila ayah memutuskan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, saya orang yang paling gembira. Ketika itu usia baru 14 tahun. Namun, lain pula jadinya, dari seorang yang ceria, bertukar menjadi pendiam kerana risau penerimaan orang terhadap saya.

“Saya sedar masalah tersebut boleh menggugat impian untuk mengubah nasib keluarga dan masa depan. Saya nekad untuk berubah dan berusaha untuk tidak mempedulikan apa orang kata,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Sebagai permulaan, setiap kali cuti sekolah, Azlan akan berkerja sambilan di kedai makan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Pasar Seni.

Pekerjaannya membolehkan dia bertemu dan bergaul dengan ramai pelancong asing biarpun ketika itu tidak begitu mahir berbahasa Inggeris.

Dia mengakui, selesa bergaul dengan rakyat asing kerana mereka tidak menghakimi percubaannya untuk berbahasa Inggeris, malah sentiasa membantunya bercakap dengan lebih baik.

Tamat sekolah menengah, dia menyambung pengajian ke sebuah universiti swasta dan mendapat peluang menjalani latihan industri di Indonesia dalam bidang animasi.

Dari situ, Azlan mula kenal dan meminati aktiviti percutian bajet (budget travelling) dan backpacking yang akhirnya menjadi ‘kerjayanya’ sekarang.

“Pernah suatu hari ketika mengikuti sebuah lawatan bersama kumpulan backpackers, saya berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Poland bernama Majiek, yang ketika itu sedang mengajar bahasa Inggeris kepada masyarakat tempatan.

“Saya mengaguminya kerana dalam tempoh lapan bulan sahaja tinggal di Indonesia, dia mampu untuk berbahasa Indonesia malah memahami setiap dialek daerah.

“Majiek merantau ke seluruh dunia kerana mahu mengenali budaya setempat. Dia bukan sekadar melancong tetapi dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan, bergaul dengan orang tempatan, malah boleh berbahasa mengikut negara yang dikunjunginya, saya teringin jadi sepertinya,” katanya.

Bertemu dengan wanita yang berkongsi minat sama sepertinya, Sabatini Dzue Dzuehairullah, mereka melangsungkan perkahwinan di United Kingdom ketika Azlan melanjutkan pelajaran ke sana.

Dia memberitahu, sebelum berkahwin, isterinya lebih banyak melancong secara solo, jadi apabila melancong bersama, mereka dapati masing-masing mempunyai kaedah berbeza untuk menjimatkan kos percutian.

“Apabila digabungkan kaedah-kaedah tersebut, ternyata menjadi lebih murah.

“Disebabkan kami berkongsi gambar-gambar percutian di media sosial, ramai pengikut meminta kami berkongsi cara melancong kerana mereka tahu kami bukanlah orang yang senang tetapi mampu melancong banyak negara dalam satu masa,” ujarnya yang merupakan penulis buku motivasi perkahwinan, Biniku Ninja.

Mengambil keputusan untuk mengembangkan ilmu tersebut dengan cara yang lebih sistematik, Azlan menubuhkan sebuah akaun berkumpulan tertutup di Facebook, iaitu Travel Method bertujuan membantu orang ramai yang mahu melancong dengan kos yang rendah.

“Melalui Travel Method, saya mengajar ahli melalui video kaedah melancong dengan kos rendah seperti bagaimana mencari tiket penerbangan yang murah menggunakan aplikasi, tempat tinggal yang selesa di negara orang, membuat bajet yang betul, jadual perjalanan dan sebagainya.

“Saya nak masyarakat tahu bahawa mereka boleh melakukan penjimatan yang besar kalau mereka atur sendiri perjalanan ke luar negara menerusi pelancongan bajet.

“Sasaran kami adalah mereka yang tidak pernah melancong, takut untuk melancong kerana kos yang tinggi, mahu melancong tetapi tidak tahu caranya. Jadi saya mahu bantu mereka dengan pengalaman daripada saya, isteri dan beberapa ‘admin’ yang berpengalaman luas dalam pelancongan bajet,” katanya yang turut mempunyai kedai percetakan sendiri.