Antara buah tangan Michael yang pernah mencetus fenomena dalam kalangan peminat drama Melayu ialah Dia Semanis Honey dan Suri Hati Mr. Pilot.

Untuk rekod, drama Suri Hati Mr. Pilot lakonan Fattah Amin dan Neelofa mengumpul kira-kira lima juta penonton untuk setiap episod.

Bertitik tolak dari situ, populariti sutradara bertubuh gempal itu sudah menyamai artis popular. Dengan pengikut seramai lebih 470,000 di laman sosial Instagram membuktikan Michael bukan calang-calang personaliti.

Merupakan lelaki dengan karakter tersendiri, ramai yang menyenanginya, tidak kurang juga ada yang seperti ‘takut’ untuk mendekati kerana dia terkenal cukup lantang jika ada perilaku yang tidak menyenangkan.

Dalam kesibukan mengarah drama Hero Seorang Cinderella di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Mega HITS mendekati Michael.

Pengasas rumah produksi Cube Film Sdn. Bhd. ini menjawab dengan tenang satu demi satu soalan yang dilontarkan termasuk ‘soalan maut’ benarkah Michael merupakan anak emas stesen televisyen Astro?

Soalan itu ditanya kepada Michael disebabkan ada dakwaan yang mengatakan lulusan perfileman dari University of New South Wales itu sentiasa mendapat layanan karpet hijau (laluan mudah) apabila berurusan dengan Astro.

“Walaupun drama terbitan Cube Film kerap disiarkan di Astro, jangan anggap saya mendapat laluan istimewa. Kalau ada anggapan itu baik lupakan saja. Saya juga seperti penerbit lain perlu ikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Saya harus melalui prosedur, kena hantar kertas cadangan juga, kalau pihak Astro tak suka, mereka tolak saja skrip saya itu. Siapa kata saya anak emas Astro?” soalnya tegas.

Kata Michael, adalah tidak logik untuk mendakwa dia anak emas Astro hanya kerana drama-drama terbitan dan arahannya secara kerjasama dengan Hadith Omar sering ditayangkan di stesen berkenaan dan menempa kemasyhuran.

Sebaliknya Michael menjelaskan, seperti penerbit dan pengarah lain, dia juga sentiasa berusaha memikat stesen televisyen dengan produk-produk yang berkualiti.

Justeru, dia begitu teliti dalam pemilihan naskhah yang akan diadaptasi ke televisyen.

Bertitik tolak daripada naskhah yang baik dan disokong oleh strategi pemasaran yang bijaksana, Michael berkata, kebanyakan karya sentuhannya dan pengarah-pengarah lain menjadi bualan ramai.

Teknologi masa kini juga banyak membantu memasyhurkan bukan sahaja drama yang ditayangkan di stesen televisyen bahkan turut mengangkat populariti selebriti.

“Di sini beruntungnya karyawan seni hari ini. Teknologi telah mengambil alih tugas mempopularkan diri dan karya masing-masing. Tugas kita hanyalah menghasilkan produk yang baik dan berkualiti,” ujar Michael lagi.

Menepis dakwaan dia sebagai anak emas Astro, Michael akui, ada juga kertas cadangan yang dikemukakan pada stesen berkenaan ditolak hanya kerana kandungannya tidak menepati piawaian.

Formula populariti 

APABILA drama Dia Semanis Honey dan Suri Hati Mr. Pilot menjadi topik perbualan ramai, Michael merupakan orang terawal yang hairan kenapa drama-drama berkenaan boleh menjadi popular sekelip mata?

Sejujurnya, dia tidak pernah membayangkan drama-drama itu akan popular yang akhirnya mencetus fenomena.

Merumuskan pencapaian itu, Michael yang juga pencetus idea bagi program popular Gegar Vaganza berkata, kehadiran media sosial sebetulnya telah banyak menyumbang kepada populariti karya-karya seninya.

“Yang saya boleh rangkumkan, kejayaan saya bergantung kepada orang ramai dengan bantuan media sosial. Sewaktu menerbitkan Dia Semanis Honey, saya cuba aplikasikan kemudahan media sosial untuk mempromosi drama itu.

“Saya buat begitu kerana takut orang tidak menonton drama tersebut kerana kedua-dua pelakon utama bukan penarik utama,” ceritanya tanpa berselindung.

Dia Semanis Honey mempertaruh Siti Nordiana (Nana) dan Alif Satar sebagai pasangan pelakon utama.

Malah kata Michael, untuk mencari hero bagi drama berkenaan yang diadaptasi daripada novel itu juga tidak semudah yang disangka kerana ada beberapa pelakon popular menolak dengan alasan heroin tidak sepadan dengan mereka.

“Saya pernah tawarkan watak Ahnaf Wafiy kepada seorang pelakon popular tapi dia tolak apabila dapat tahu digandingkan dengan Nana. Maklumlah dia bukanlah pelakon popular, sekadar juara Gegar Vaganza saja, tentulah orang tidak 
yakin dengan kebolehan lakonannya.

“Tapi saya tahu dia boleh berlakon kerana Nana boleh menampilkan pelbagai mimik wajah apabila menyanyi. Dari situ saya tertarik untuk ambil dia berlakon. Begitu juga dengan Alif Satar, dia tidak banyak soal apabila saya tawar watak Ahnaf Wafiy tanpa mengetahui siapa pasangannya.

“Namun kedua-dua mereka belum ada tarikan dan saya perlu melakukan sesuatu. Itu yang saya muat naik foto di Instagram bila di set lokasi. Tak sangka dengan cara begitu, orang ramai mula tertunggu-tunggu foto baharu yang akan saya muat naikkan. Melalui media sosial drama itu menjadi popular,” ujarnya.

Sebagai pengarah, Michael bukan mencari pelakon berdasarkan wajah semata-mata atau yang mempunyai ramai pengikut sebaliknya bakat menjadi taruhan utama.

“Kalau nak kira pengikut ramai, saya pun ada ramai pengikut. Yang saya cari dalam diri seorang pelakon itu adalah bakat dan kesungguhan mereka. Kalau orang itu tak berapa pandai berlakon, kita boleh bimbing dan selebihnya mesti datang daripada diri sendiri.

“Untuk drama Hero Seorang Cinderella, tidak dinafikan saya menjadikan pelakon sebagai daya tarikan. Fattah dan Fazura masing-masing mempunyai pengikut setia malah kalau dilihat mereka juga ada keserasian,” jelasnya.

Michael juga tidak menafikan yang dia akan meminta pelakon utama untuk menjalin ‘percintaan’ sebelum berlakon bagi menampakkan lakonan mereka semula jadi.

“Saya tak paksa mereka bercinta hingga ke luar set, yang saya pinta jadilah kekasih sepanjang di set mengikut watak yang dibawa. Kalau tidak ada keserasian itu, pelakon tidak boleh menjiwai watak dengan baik. Setakat ini Fattah dan Fazura telah memberikan komitmen yang terbaik sebagai pasangan kekasih dalam Hero Seorang Cinderella.

“Apabila peminat gembira melihat keserasian pelakon, mereka sendiri yang akan mempopularkan drama tersebut. Tugas saya hanya mewujudkan keserasian atau percintaan dan selebihnya terpulang kepada peminat. Pada waktu yang sama, saya yakin Fattah dan Fazura boleh ‘menjual’ lagu tema drama itu dan sebab itulah saya pilih mereka untuk menyanyi lagu tersebut,” akuinya lagi.

Garang bersebab

DI lokasi penggambaran, ada juga terdengar berita yang Michael tegas dan sangat garang sehingga ada yang gerun untuk bercakap dengannya.

Menjawab persoalan ini, Michael berkata, keperibadiannya yang digambarkan sebagai garang itu merupakan hal yang sangat subjektif.

Ada masanya kata Michael, dia bersikap garang di lokasi sehingga menyebabkan ada ketika dia ‘terlepas cakap’.

Namun begitu, yang perlu difahami ialah garangnya ada sebab iaitu bagi memastikan jadual kerja berjalan lancar.

“Saya jarang nak marah 
tapi kalau marah pun mesti bersebab. Kalau orang tak buat salah, tak mungkin saya suka-suka nak bebel kata dia orang. Saya ini jenis yang tak simpan di hati, kalau nak jahat mulut atau marah orang pun waktu itu saja, lepas itu kembali seperti biasa. Setakat ini belum ada lagi yang lari dari set kerana tak tahan dengan mulut saya,” kata Michael berterus-terang.