Kesempatan menemui tuan punya badan dalam majlis pelancaran aplikasi amal, einfaq baru-baru ini membuka peluang penulis mengorek perkembangan baharu tentangnya. Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kaunseling, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil inisiatif mencari pelapis muda bagi bidang pengacaraan tempatan.

“Saya akan anjurkan seminar pentauliahan pengacara profesional bermula 24 hingga 26 Mac ini. Program ini berasaskan pendekatan Islam, bertujuan melahirkan pengacara berkredibiliti tinggi.

“Insya-Allah, program ini akan turut mengetengahkan beberapa pengacara terkenal seperti Nurul Syuhada Nurul Ain, Faizal Ismail, Fara Fauzana dan Farah Adibah untuk berkongsi ilmu serta pengalaman. Peserta akan dinilai dan dianugerahkan sijil eksklusif yang ditandatangani kesemua panel terlibat,” katanya kepada S2.

Menjadi seorang yang dipandang tinggi dalam bidangnya, Amin sentiasa ingin tunjukkan contoh yang baik untuk ikutan generasi muda. Disoal tentang kerjaya dan dakwah, pengacara yang dikenali menerusi program Salam Duha siaran Astro Oasis ini mengutamakan pendekatan kepemimpinan melalui teladan untuk menyebarkan kebaikan.

“Elemen ini diterapkan menerusi perkongsian di laman sosial saya. Namun, saya berhati-hati dan santai dalam melakukannya agar tidak dipandang ‘poyo’ atau menunjuk-nunjuk. Setiap tutur bicara akan merujuk dalil yang sah dan berasas.

“Pendekatan saya mudah, tidak berat. Saya tidak mahu digelar sebagai ustaz dalam menyebar perkara berkaitan agama. Cukuplah dipandang sebagai individu yang ingin mengajak ke arah kebaikan,” katanya.

Amin yang dilahirkan di Sarawak kini bahagia bersama isteri dan tiga anaknya. Semestinya, sebagai seorang bapa, dia memikul tanggungjawab cukup penting dalam membentuk keluarga sempurna.

“Dalam rumah tangga perlu ada persefahaman. Contohnya, saya dan isteri guna sistem penjadualan untuk jaga anak-anak. Setiap Isnin dan Jumaat, saya khaskan masa untuk anak-anak. Dalam pada itu, saya pastikan solat jemaah menjadi amalan dalam keluarga.

“Pada masa sama, saya tidak halang anak-anak bermain gajet. Tetapi saya akan pantau dan disiplinkan mereka. Ada ketika, saya tidak benarkan anak-anak menonton televisyen atau bermain iPad agar mereka dapat bermain dan meluangkan masa sesama sendiri,” jelasnya.

Diminta mengulas tentang bersedekah, Amin berpandangan amalan tersebut menjadi kunci kepada kesejahteraan ummah. Oleh kerana itu, dia menggalakkan sedekah dalam kalangan masyarakat.

“Ramai ulama di Palestin dan Syria memuji rakyat Malaysia kerana cukup prihatin dalam menyalurkan bantuan kepada negara yang berdepan konflik kemanusiaan. Ini membuktikan amalan bersedekah sebati dengan jiwa orang kita.

“Aplikasi einfaq memudahkan lagi orang ramai untuk bersedekah. Saya yakin ia berpotensi untuk pergi jauh kerana pada masa kini, aktiviti dalam talian cukup popular dalam masyarakat kita,” katanya.