Ameerul Asyraf 

Lahir dalam keluarga yang sederhana berlatarbelakangkan bidang pengurusan, anak sulung daripada lima beradik itu memulakan langkahnya setelah aktif di pentas peragaan di sekitar Johor Bahru, Johor kira-kira dua tahun lalu.

Bertitik tolak dari situ, Ameerul menyedari bakatnya dalam lapangan tersebut mampu diperkembangkan termasuklah meneroka dunia lakonan tanah air.

“Pada awalnya saya tidak yakin dengan keupayaan sendiri. Selepas berjinak-jinak dalam bidang peragaan, mengenali orang kuat dalam industri hiburan tempatan, barulah keyakinan itu hadir sedikit demi sedikit.

“Secara jujurnya, saya seorang yang sukar untuk memulakan perbualan menyebabkan ramai berprasangka bahawa saya seorang yang sombong atau kurang mesra.

“Itu hanyalah persepsi awal yang sering saya hadapi gara-gara tidak yakin. Alhamdulillah, selepas menyertai MPM2017, banyak perkara yang dipelajari untuk memajukan diri,” katanya.

Serius mahu melebarkan sayap seninya, Ameerul turut menanam tekad untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang lakonan.

Mengambil inisiatif memasuki kelas anjuran dramatis Fauziah Nawi bagi memperoleh ilmu asas lakonan, dia beranggapan bahawa tuah tidak datang bergolek jika tidak disertakan dengan usaha.

“Sejurus tamat MPM2017, saya disarankan oleh tenaga pengajar untuk menyertai kelas-kelas lakonan yang dianjurkan pelbagai pihak.

“Ibu Fauziah seorang yang tegas tetapi ilmu yang dikongsikan kepada setiap peserta amat berharga dan sukar untuk diperoleh di mana-mana.

“Sebab itulah saya mahu timba ilmu daripadanya. Biarlah kena marah, kena tempik tetapi saya rela demi ilmu dan petuanya. Lagipun, semua sedia maklum bahawa Ibu Fauziah seorang pelakon yang versatil. Berilah watak apa sekalipun, dia berjaya membawakannya dengan cemerlang,” ujar Ameerul.

Tegasnya, dia mahu menjadi pelakon yang serba boleh, bukan hero sebarangan yang bermodalkan paras rupa semata-mata. Dia mahu jadi aktor yang mempunyai misi dan visi malah ada isi dalam setiap penyampaian dan persembahan.

Antara drama lakonan Ameerul yang sedang disiarkan ialah Dendam Aurora dan Joni Togo manakala beberapa drama lain seperti Tuyul Ke London, Sara Kirana serta Demi Keamanan akan menemui penonton dalam waktu terdekat. - IFQDAR RAHMAN