Selain menetapkan objektif untuk memartabat karya seni tanah air di samping menyuntik nilai komersial menerusi pembabitan peminat yang mengundi, AME 2018 berperanan sebagai jambatan yang menyatukan artis dan para penyokongnya.

Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Haris berkata, penganjuran AME adalah alternatif Astro selaku penganjur dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

“Kami rasakan, menjadi tanggungjawab Astro untuk menyebarkan aura positif ke seluruh negara demi kebaikan bersama.

“Justeru, saya berharap setiap individu yang terlibat dengan AME 2018 memanfaatkan peluang ini untuk membanteras lambakan pahlawan papan kekunci (keyboard warriors).

“Pahlawan papan kekunci dilihat sebagai anasir negatif yang mampu menghancurkan keharmonian sesama manusia. Kena perangi habis-habisan,” ujarnya.

Terdapat 18 kategori dipertanding dan trofi kemenangan AME 2018 adalah berdasarkan undian peminat sepenuhnya.

Pengacara utama program yang berlangsung pada Ahad ini masih mengekalkan Neelofa dan Nabil Ahmad.

Lagu MeleTOP

  • Bayang - Khai Bahar
  • Dirgahayu - Siti Nurhaliza & Faizal Tahir
  • Jampi - Hael Husaini
  • Nakal Nakal Nakal - Ayda Jebat
  • Tergantung Sepi - Haqiem Rusli

Pilihan Hits: 
Bayang - Khai Bahar

Meskipun lagu Jampi nyanyian Hael Husaini dilihat agak kuat, namun Bayang dibayangi personaliti Khai Bahar yang punya sokongan padu peminatnya dari serantau Asia.

Couple MeleTOP

  • Sharnaaz Ahmad & Noor Nabila
  • Akim Ahmad & Stacy
  • Amyra Rosli & Amar Baharin
  • Jep Sepahtu & Sari Yanti
  • Mia Ahmad & Izham Tarmizi

Pilihan Hits: 
Akim Ahmad & Stacy

Lahir daripada program realiti Akademi Fantasia, pasangan ini mempunyai pengaruh kuat jika melibatkan undian peminat untuk mengekalkan kemenangan edisi lalu.

Si Cilik MeleTOP

  • Aaisyah Dhia Rana
  • Arif Jiwa Asyraf
  • Lara Alana
  • Syeriv Samheizy
  • Yusuf Iskandar

Pilihan Hits:Yusuf Iskandar

Rasanya kanak-kanak lain sukar menggugat populariti Yusuf Iskandar berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial miliknya, di samping sokongan padu peminat kucing paling popular di Malaysia, Bujibu.

Bintang Filem MeleTOP

  • Janna Nick - 
Kimchi Untuk Awak
  • Nur Fazura - J Revolusi
  • Zizan Razak - 
Abang Long Fadil 2
  • Zul Ariffin - J Revolusi
  • Zul Ariffin - 
Tombiruo: Penunggu Rimba

Pilihan Hits: 
Zul Ariffin - Tombiruo: Penunggu Rimba

Tidak keterlaluan jika dikatakan Zul Ariffin mampu mendominasi kedudukan dua teratas undian bagi kategori ini tetapi kehebatan lakonannya menerusi Tombiruo: Penunggu Rimba lebih signifikan.

Pelakon TV MeleTOP

  • Fattah Amin
  • Neelofa
  • Siti Nordiana
  • Syafiq Kyle
  • Zul Ariffin

Pilihan Hits: Fattah Amin

Auranya sebagai hero baharu Malaya masih relevan untuk diguna pakai bagi mempertahan kemenangan lalu, tambahan pula dengan kerancakan filem sulungnya, KL Special Force dalam mengumpul jumlah kutipan pecah panggung.

Program MeleTOP

  • Gegar Vaganza 4 - Minggu 1
  • Gema Gegar Vaganza
  • Maharaja Lawak Mega 2017
  • Sepahtu Reunion Live 2017
  • Tazkirah Malam Jumaat

Pilihan Hits: 
Sepahtu Reunion Live 2017

Kredibiliti anggota Sepahtu cukup dikenali dan kumpulan tersebut bukan sahaja mendapat undian daripada peminat sendiri tetapi dipercayai mampu mengumpul undian daripada peminat barisan pelawak lain yang terbabit dalam rancangan Sepahtu Reunion.

Artis Baharu MeleTOP

  • As’ad Motawh
  • Farah Nabilah
  • Fendy Bakry
  • Hannah Delisha
  • Wany Hasrita

Pilihan Hits: 
Wany Hasrita 
Kejayaan Wany Hasrita membolot tiga trofi ketika berlangsungnya Anugerah Era Digital Muzik 2017 pada Januari lalu menjadi petunjuk awal untuk penyanyi itu naik ke pentas menerima trofi bagi kategori ini.

Artis Lawak MeleTOP

  • Fikry Ibrahim
  • Jep Sepahtu
  • Kamal Adli
  • Sharifah Sakinah
  • Zizan Razak

Pilihan Hits:Fikry Ibrahim

Meskipun Kamal Adli dilihat sebagai pesaing hebat ekoran kemenangannya menerusi Super Spontan Superstar 2017, namun Fikry Ibrahim dilihat mampu memberi cabaran kerana meraih populariti berdasarkan drama lakonannya.

Penyanyi MeleTOP

  • Ayda Jebat
  • Hael Husaini
  • Haqiem Rusli
  • Khai Bahar
  • Siti Nordiana

Pilihan Hits: Khai Bahar

Kemampuan Khai Bahar memenangi dua trofi Anugerah Planet Muzik pada tahun lalu menunjukkan kuasa undian berpihak kepadanya dan sukar untuk dirampas oleh penyanyi lain.

Fesyen MeleTOP

  • Fattah Amin
  • Neelofa
  • Nur Fazura
  • Syafiq Kyle
  • Zizan Razak

Pilihan Hits: Nur Fazura

Sejak mewarnai industri seni tempatan, sukar untuk dinafikan bahawa Nur Fazura paling sinonim dengan gelaran Ratu Fesyen dek pemilihan gayanya yang ada kelas tersendiri.

Hos MeleTOP

  • Alif Satar
  • Datuk AC Mizal
  • Jihan Muse
  • Nabil Ahmad
  • Siti Nordiana

Pilihan Hits: Jihan Muse

Kehangatan program realiti Gegar Vaganza yang dianjurkan selama empat musim menjadi modal untuk Jihan merebut trofi kategori ini daripada tangan Neelofa yang menarik diri.

Filem MeleTOP

  • Abang Long Fadil 2
  • Bisik Pada Langit
  • J Revolusi
  • Kimchi Untuk Awak
  • Tombiruo: Penunggu Rimba

Pilihan Hits: Tombiruo: Penunggu Rimba

Berdasarkan kutipan, filem Abang Long Fadil 2 lebih tinggi rekodnya tetapi gabungan populariti Zul Ariffin dan Tombiruo; Penunggu Rimba memberi kelebihan buat produksi ini.

Penyampai Radio MeleTOP

  • DJ Lin
  • Fad
  • Jep
  • Johan
  • Radin

Pilihan Hits: Johan

Johan berjaya mengekalkan siri kemenangannya untuk meraih undian tertinggi pada sebarang majlis anugerah yang melibatkan undian peminat dan kali ini dia dilihat mampu meneruskan momentumnya.

Grup/Duo MeleTOP

  • Akim & The Majistret
  • Caliph Busker ft Faizal Tahir
  • Tajul & Wany Hasrita
  • Zizan & SonaOne
  • Siti Nurhaliza & Faizal Tahir

Pilihan Hits:

Siti Nurhaliza & Faizal Tahir

Kelahiran bayi sulung Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah memberi kelebihan buat penyanyi tersohor ini untuk meraih udian peminat apatah lagi karya Dirgahayu nyanyiannya dengan Faizal Tahir menjadi siulan ramai.

Drama MeleTOP

  • Cekelat Semanis Honey
  • Hero Seorang Cinderella
  • Mencintaimu Mr Photographer
  • Red Velvet
  • Titian Cinta

Pilihan Hits:Hero Seorang Cinderella

Drama rantaian ini memiliki kekuatan dari sudut nilai sentimental kerana menjadi detik pengenalan pasangan pelakon popular yang merupakan hero dan heroinnya iaitu Fattah Amin dan Nur Fazura.

Program Radio MeleTOP

  • Johara Pagi Era
  • Petang Era
  • Santai Sinar
  • Super 40 Era
  • Suria Cinta

Pilihan Hits: Johara Pagi Era

Menjadi radio paling ramai didengar oleh golongan muda, tidak mustahil segmen pagi kendalian trio Johan, Hanif dan Ray itu kekal untuk menerajui takhta.

Top Top MeleTop 
Lelaki/Wanita

Pilihan Hits:Fattah Amin & Nur Fazura

Baru sahaja mendirikan rumah tangga, Fattah Amin dan Nur Fazura secara jelas mempunyai peluang besar untuk mendominasi dua trofi ini dan medan ‘balas dendam’ peminat mereka lantaran tidak layak dicalonkan menerusi kategori Couple MeleTop.