Nah, itu dialog paling viral yang telah menular di bibir jutaan orang baik di Malaysia mahupun di Indonesia ketika ini.

Kisah seorang artis muda yang kena marah 'bertubi-tubi' dalam sebuah rancangan TV, disaksikan oleh jutaan penonton kedua-dua negara.

Kisah pedih buat yang menerima kemarahan ini, kini menjadi bahan lawak jenaka yang paling menghiburkan sesiapa sahaja. Bahkan sekian banyak segmen parodi dilakonkan semula oleh ahli-ahli laman sosial, semata-mata untuk menumpang nama Shima dan 'mummy' garangnya itu yang juga merupakan artis dangdut popular, Mas Idayu. 

Inilah gadis yang kena marah itu.

Apa yang pasti, kejadian yang kita anggap memalukan itu sama sekali tidak akan dilupakan sepanjang hidup Nor Ashimah Ramli, 25, atau Baby Shima ini. Bukan kerana ‘dibahasakan’ penyanyi Mas Idayu sebagai juri dalam pertandingan D’Academy Asia atau Dangdut Academy Asia ketiga (DAA3) di Jakarta, Indonesia bulan lalu. Bukan kejadian itu yang menyebabkan Shima berjauh hati.

Sebaliknya ada satu gumpalan besar rasa penyesalan yang menusuk di hati penyanyi kelahiran Johor ini. Dia sangat kesal dengan dirinya sendiri lantaran mensia-siakan harapan banyak pihak ketika pertandingan itu sedang berlangsung.

Kekecewaan ditambah rasa kesedihan itu yang menyebabkan Shima tidak akan melupakan kejadian bersejarah yang menyaksikan air matanya menderu deras pada 12 November lalu itu hingga ke hari ini.

“Selepas peristiwa itu, saya tidak boleh tidur pada waktu malam. Fikiran asyik terkenang-kenang kejadian memalukan itu, tetapi saya terima kemarahan mummy (panggilan buat Mas Idayu) dengan baik sahaja. Selama dua hari, saya memerap saja di hotel, tak keluar langsung. Mood nak buat kerja pun tak ada.

“Selepas dimarah teruk, saya lebih suka termenung, tapi tak tahu apa yang dimenungkan waktu itu. Malam pertama, fikiran berkecamuk sikit. Asyik teringatkan kesilapan itu. Dalam hati bercakap, kenapalah saya tak menyanyi betul-betul waktu itu.

“Tiba malam kedua, perasaan bersalah itu semakin berkurangan. Dah reda sedikit. Masa ini dah fikir, apa nak jadi, jadilah. Hidup perlu diteruskan,” katanya berkongsi rasa.

Untuk tidak mengusut fikiran, penyanyi lagu Tak Sabar ini langsung tidak membaca apa juga komen daripada orang ramai atau netizen berhubung kejadian tersebut kerana tidak mahu kecederaan emosinya semakin terjejas teruk.

Pelbagai komen yang diterima menerusi telefon daripada keluarga dan teman rapat di Malaysia, ada yang positif dan begitu juga sebaliknya berhubung kejadian tersebut. Yang pasti terlalu banyak maklum balas yang secara langsung menambah debar di dada.

Selepas berbincang dengan pengurus, Mohd. Shahril Shaari, akhirnya Shima mengambil keputusan untuk bertemu semula dengan Mas Idayu bagi menjernihkan situasi yang berlaku. Setidak-tidaknya dapat mengurangkan rasa resah yang melanda sejak dua hari kebelakangan.

Akhirnya satu pertemuan antara Shima dengan penyanyi berkenaan dibuat di bilik peribadinya pada sebelah petang sebelum rancangan DAA3 bersiaran langsung sekitar pukul 7.30 malam waktu tempatan.

“Dalam pertemuan itu, saya meluahkan rasa kesal kerana tidak mengikut segala nasihat diberikan mummy sedangkan dia yang awal-awal lagi sudah memberi tunjuk ajar pada tiga sesi latihan sebelum pertandingan bermula.

“Saya sama sekali tidak menyalahkan mummy kerana memalukan saya dalam program itu. Bahkan saya berterima kasih kepadanya sebab dia yang menyedarkan tentang kesilapan itu kerana selama ini terlalu selesa dengan zon selamat,” ujarnya yang menyanyikan lagu Wulan Merindu dalam program itu.

Saya tidak menyalahkan mummy kerana dianggap memalukan saya. Bahkan saya berterima kasih kepadanya sebab menyedarkan tentang kesilapan itu kerana selama ini selesa dalam zon selamat.

Tak pernah bermaafan  - Mas Idayu

SEBAGAI juri profesional yang mewakili Malaysia, Mas Idayu menegaskan yang dia tidak pernah mengambil mudah tanggungjawab berkenaan. Dia gigih memastikan setiap peserta mempunyai kualiti setaraf dengan penyanyi dangdut profesional sedia ada.

Sentiasa menjadi diri sendiri dan menegur peserta jika ada kesilapan, Mas Idayu juga tidak pernah berkompromi soal kerja biarpun ada pihak kurang senang dengan pendekatan tegasnya itu.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sudah bermaafan dengan Shima, penyanyi lagu Cintaku 100% ini tidak pernah bermasam muka dengan artis yang dibimbingnya.

“Kisah panas Shima konon-kononnya sudah berbaik dan bermaafan dengan saya itu sebenarnya tidak ada. Dalam hal ini, dia tak pernah marah atau tak mengambil hati dengan teguran. Bahkan dia yang meminta tolong dan pandangan daripada saya.

“Sebagai orang yang paling banyak berpengalaman dalam program ini, saya pasti akan menolongnya. Jadi tiada cerita-cerita bersalaman atau bermaafan. Ini kerana Shima sangat menerima teguran,” tegasnya yang juga tidak menyangka kejadian itu menjadi tular di kedua-dua negara.

Ceria selepas sedih

IMPAK kejadian yang berlalu lebih sebulan itu nyata ada banyak hikmahnya terhadap anak keempat daripada enam adik-beradik ini. Rezeki semakin murah lebih-lebih lagi selepas kejadian itu menjadi tular di Malaysia dan kini sedang hangat diperkatakan di negara jiran Indonesia.

Shima memperoleh tempias rezeki yang tidak terhingga. Siapa sangka tangisan yang berlarutan selama dua hari itu diganti dengan berita kegembiraan yang saling berganti tidak terhenti-henti. Sama ada datangnya dari tanah air atau pun Indonesia, semuanya diterima baik artis di bawah label syarikat rakaman Nagaswara, Indonesia.

“Nama saya semakin pudar sekitar 2015 lalu apabila keluar dari syarikat rakaman KRU Music. Tak banyak tawaran menyanyi ketika itu. Selepas aktif di Smule, barulah orang mula perasan kehadiran saya. DAA3 menyuburkan kembali nama saya dalam persada nyanyian.

“Lebih-lebih lagi selepas kejadian bersama mummy, tidak dinafikan rezeki saya semakin murah. Kesedihan yang diharungi selama dua hari itu digantikan dengan berita kegembiraan tak berhenti-henti. Ada saja tawaran kerja di Malaysia dan Indonesia berlangsung hingga Februari tahun depan.

“Syukur tak terhingga kerana buat orang kerdil sebagai saya ini semua adalah anugerah yang tak terhingga dan tak akan dilupakan sampai bila-bila,” kata Shima yang amat berterima kasih kepada Mas Idayu yang sedikit sebanyak membantu menaikkan semula namanya itu.

‘warna’ sebenar...