Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Aman kurang menonjol?

Orang ramai lebih mengenali lagu Without You dendangan Aman Aziz berbanding dirinya

Rezeki Aman ketika ini lebih menjurus kepada bidang lakonan, namun 4
Rezeki Aman ketika ini lebih menjurus kepada bidang lakonan, namun nyanyian tetap menjadi keutamaan.

KANVAS seni anak muda bernama Aman Aziz ini makin mendapat perhatian semenjak dirinya menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia 2014 (AF2014) lalu.

Tak dinafikan jika single Without You berjaya membawa nama Aman mekar berkembang sejurus selepas tamat program terbabit. Dia juga berjaya membuktikan jika dirinya tidak hanya sekadar bersandarkan kepada rupa semata-mata tetapi menerusi karya unggul yang dibawa memberi seribu satu makna buat anak kelahiran Melaka itu.

Akan tetapi, tak semuanya indah dan tak selamanya cerah apabila Aman atau nama sebenarnya Mohammad Razman Abdul Aziz itu turut menjadi antara penyanyi yang kurang dikenali berbanding lagunya sendiri.

Melihatkan senario itu, Aman tidak mampu menyembunyikan perasaan sedih tatkala terpaksa menerima situasi sebegitu. Tidak terus menuding jari, jejaka berusia 23 tahun ini bagaimanapun mengaku kesilapan teknikal seperti kurang promosi buatkan dia terpaksa memejamkan mata.

“Jujurnya saya ada rasa sedih bila kebanyakan pendengar dan peminat hanya kenal lagu Without You tanpa ketahui siapa pemilik suara lagu itu.

“Tapi sekurang-kurangnya lagu itu dikenali dan menerima maklum balas positif daripada semua pihak sudah cukup bagi saya. Saya tak nafikan kalau situasi ini tidak hanya berlaku pada saya seorang sahaja, tapi ia turut berlaku pada sesetengah penyanyi yang lain.

“Kurangnya promosi terhadap lagu itu turut mempengaruhi populariti saya. Saya kurang mempromosikan single pertama sebaik keluar dari AF2014 disebabkan kurang didedahkan dengan selok-belok dunia hiburan biarpun benda ini ada saya belajar waktu dalam akademi.

“Saya sedar masih mentah dan merangkak mencari tapak selesa dalam industri seni. Tapi alhamdulillah, saya mula sedar akan kepentingan promosi sesebuah karya dan ambil inisiatif sendiri untuk promosi melalui media sosial seperti Instagram,” ujarnya membuka bicara.

Untuk itu, dia kini tidak mahu mensia-siakan medan teknologi yang makin pesat kini dengan mempergiatkan promosi single keduanya berjudul Layang-Layang. Penulis akui jika seleksi lagu alunan Aman cukup sesuai buat halwa telinga anak muda yang sentiasa mengikuti perkembangan seni jejaka tinggi lampai ini.

Memilih Omar K sebagai komposer lagu itu, Aman melahirkan rasa bangga dan bertuah kerana impiannya untuk bekerjasama dengan pemuzik yang disegani itu akhirnya tertunai.

“Saya pernah menyuarakan hasrat ini pada pihak pengurusan Astro dan tak menyangka keinginan saya itu ditunaikan. Kebanyakan rantaian lagu Omar K menerima banyak sambutan dan dia antara komposer pilihan ramai penyanyi terkenal.

“Selain hasil karya magisnya yang memukau, saya turut tertarik bagaimana dia menghasilkan penulisan lirik yang begitu secocok dengan penyanyi. Alhamdulillah, single kedua Layang-Layang merupakan hasil ciptaannya dan memang kena dengan apa yang saya inginkan.

“Saya sendiri berjumpa dengan Omar K dan memberikan gambaran lagu yang diingini, alhamdulillah hasilnya cukup memberangsangkan dan menepati cita rasa pendengar. Kerja dengan dia pun taklah susah mana dan seandainya ditawarkan untuk bekerja lagi, sudah tentulah saya tidak akan menolak,” tuturnya sambil tersenyum.

Berkongsi lanjut proses pembikinan Layang-Layang yang mempertaruhkan genre pop itu, menurut Aman, di awal pertemuan bersama Omar K tahun lalu kelihatan janggal kerana sebelum ini tidak pernah bersua atas urusan kerja. Setelah beberapa kali bertemu, perasaan malunya bertukar kepada ingin menimba pengalaman daripada komposer terhebat itu.

“Sebelum ini saya tak pernah kerja dengan Omar K, tapi bila dah berjumpa dan kami duduk berbincang mengenai single kedua ini, alhamdulillah semuanya berjalan baik. Saya sudah mula selesa dan dia ada menitipkan pesanan untuk saya mencari identiti serta karakter dalam lagu tersebut.

“Ada jugalah dia mengajar teknik vokal yang sesuai untuk lagu itu. Jika sebelum ini Without You lebih kepada rentak pop dan balada, jadi kali ini saya masih kekalkan elemen pop itu tetapi dengan susunan muzik sedikit rancak,” ujarnya yang lega single kedua Layang-Layang yang dirakamkan pada penghujung tahun lalu kini semakin banyak diputarkan di stesen radio.

Mahu kumpulan sendiri

Melihat kepada kejayaan Akim & The Majistret dan kumpulan dari Indonesia, The Junas Monkey, rupanya memberi inspirasi buat anak bongsu daripada enam bersaudara ini untuk turut memiliki kumpulan sendiri.

Bukanlah sengaja mahu mengikut trend semasa yang kini lebih banyak mengetengahkan kumpulan projek khas dan sebagainya, tapi ia lebih kepada sumber inspirasi selain semangat kerjasama dalam satu kumpulan akan menerbitkan buah fikiran yang luar biasa.

“Ya, ada jugalah teringin nak tubuhkan kumpulan sendiri pada masa akan datang. Ini masih lagi angan-angan dan insya-Allah kalau nama saya sudah kukuh dan stabil, mungkin ia akan direalisasikan satu hari nanti.

“Saya inginkan kumpulan yang terdiri daripada empat orang ahli yang kesemuanya memiliki rupa paras dan pakej lengkap sebagai sebuah kumpulan. Tapi apa-apa pun yang berbakat akan diberi keutamaan. Rupa dan pakej lengkap itu adalah bonus.

“Orang kita atau peminat memang suka melihat sesuatu yang cantik dan sedap mata memandang, itu yang saya maksudkan. Tapi kalau tiada bakat, tiada guna jugalah. Buat persembahan ramai-ramai dalam satu pentas secara tak langsung akan kurangkan perasaan gugup dan takut bila berhadapan dengan orang ramai.

Berceloteh panjang lebar, Aman yang memiliki Diploma Seni Reka Grafik turut berbakat dalam bidang rekaan grafik dan gemar menghabiskan masa luang di rumah dengan mereka bentuk animasi kartun kegemaran.

“Saya memang minat dalam rekaan grafik dan sebab itu saya lanjutkan pelajaran di Kolej Poly-Tech Mara, Batu Pahat selama tiga tahun. Bila dah aktif dalam dunia hiburan, tak dinafikan masa agak kurang tapi saya akan pastikan kalau ada masa yang terluang, akan dihabiskan untuk mencari idea rekaan grafik.

“Saya meminati dari segi suntingan grafik selain turut mempunyai hasil koleksi animasi kegemaran. Rugilah pula rasanya kalau saya biarkan bakat yang ada itu terlalu lama, takut nanti banyak kemahiran sudah terlupa.

“Sebab itulah saya lebih gemar habiskan masa di rumah sahaja selain dapat bermain permainan video dan dapat jugalah saya tambah koleksi grafik. Saya mahu kerjaya dan minat seiring dalam hidup,” akhirinya.

Lebih lakonan daripada nyanyian

Sudah menjadi kelaziman sama ada pelakon atau penyanyi menceburi bidang seni yang berlainan dek kerana ketaksuban mengejar pelbagai cabang pengalaman asalkan masih lagi tidak terkeluar daripada landasan utama.

Buat Aman, apa sahaja tawaran seni yang hadir, pasti akan dia kotakan jika tiada kekangan masa selain komitmen terhadap kerja lain. Justeru, dia kini dilihat semakin selesa beraksi di hadapan lensa kamera setelah menerima pelbagai tawaran lakonan.

“Jujurnya, saya akui kalau tawaran lakonan lebih banyak berbanding nyanyian. Tapi itu tidak bermakna tiada langsung undangan persembahan yang diterima. Cuma kebanyakannya di acara-acara bukan di hadapan kaca televisyen yang selalu ditawarkan.

“Selain itu, lakonan kini menjadi komitmen kedua saya dan bersyukur sangat kerana ada pengarah ingin saya berlakon dalam produksi mereka. Mungkin rezeki saya di dalam bidang lakonan lebih menyerlah, tak mengapa ada baiknya juga supaya lepas ini orang akan lebih mengenali saya.

“Saya akan ambil tawaran lakonan kalau kerja nyanyian tidak banyak. Tidak timbul isu saya gila glamor atau sebagainya. Tiada salahnya kalau saya cuba melihat bakat yang ada dalam diri ini sekali gus menyumbang kepada industri seni kreatif juga. Ia berbalik kepada rezeki juga,” ungkapnya.

Berjinak-jinak dalam dunia lakonan, kata Aman dia tak akan sesekali membelakangkan karier nyanyian sungguhpun semakin giat melebarkan sayap demi masa hadapannya.

“Keutamaan saya tetap pada nyanyian akan tetapi macam yang saya katakan, kalau ada ruang dan masa sesuai, lakonan pun saya akan ambil. Menyanyi dan berlakon adalah satu hal yang berbeza di mana saya perlu memperbanyakkan rujukan selain mengaplikasikan ia ketika di hadapan kamera atau ketika menyanyi di atas pentas.

“Dulu waktu awal-awal sertai AF2014, sifat malu saya terlalu tebal hingga ambil masa lama jugalah nak berhadapan dengan penonton yang ramai ketika berada di pentas. Tapi hari demi hari saya berusaha untuk buang sifat tersebut.

“Kalau berada di lokasi penggambaran, sebelum babak saya bermula, saya akan pastikan untuk selesakan diri bersama kru produksi dan pengarah. Berlakon ada cabaran, begitu jugalah nyanyian asalkan penghayatan sesuatu watak itu kita fahamkan dan cuba sampaikan dengan baik, kira okey,” ujarnya.-Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan