Lebih-lebih lagi apabila Altimet tidak dibenarkan keluar rumah oleh ibu bapanya, Abdul Rahman Ali, 64, dan Jamalah Syed Agil, 62.

Sebagai kanak-kanak yang aktif, sudah pastilah langkah Altimet panjang dan seringkali ada sahaja aktiviti yang ingin dilakukan bersama-sama rakan sebaya.

“Kami dibesarkan dalam kawasan perumahan di Subang Jaya sebelum berpindah ke Seksyen 4, Shah Alam, Selangor.

“Kalau diikutkan memang selamat saja nak bermain dalam kawasan itu. Tapi pertimbangan orang tua terhadap anak mereka pada ketika itu, manalah kita tahu.

“Mereka melarang kita untuk keluar ke rumah atas sebab-sebab tertentu. Saya pula jenis yang tidak melawan cakap mereka.

“Jadi kalau tak keluar rumah, baca buku sajalah kerja saya.Semua jenis buka yang berada depan mata saya baca,” kata Altimet berkongsi cerita.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, Altimet mengakui arahan daripada orang tua akan sentiasa dipatuhi.

Oleh sebab itu, Altimet tidak pernah melanggar peraturan yang sudah ditetapkan. Arahan itu juga meliputi larangan untuk menonton televisyen pada tempoh yang lama.

Bahkan ibunya sudah awal-awal lagi meluahkan rasa kurang senang jika Altimet terlalu lama di depan televisyen.

“Gabungan daya aktif dan hasil pembacaan buku yang dibaca sebelum ini menjadikan saya banyak berfikir. Saya boleh menjangkakan kesan baik atau buruk pada setiap perbuatan yang dilakukan saya.

“Sebab itu saya jadi budak baik. Dari Sekolah Kebangsaan Subang Jaya hingga berpindah ke Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam ketika darjah empat.

“Saya juga antara pelajar yang biasa-biasa saja. Tak terlalu cemerlang dalam akademik begitu juga dengan sukan.

“Saya menjalani kehidupan yang normal dan belajar nilai kehidupan,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Lelaki) Bukit Bintang, Petaling Jaya, Selangor ini.

Berkongsi cerita, Altimet memberitahu dia sengaja keluar daripada zon selesa apabila bersetuju untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar, Johor.

Buat pertama kalinya pada usia 15 tahun, Altimet berjauhan dengan keluarga tercinta. Dia mencabar dirinya untuk hidup berdikari apabila tinggal di asrama.

Sungguhpun sebelum ini Altimet menyuarakan rasa selesanya apabila dapat bersekolah lelaki selama dua tahun namun dia tetap mahu mencuba angin baharu di tempat orang.

“Kalau saya duduk di sekitar ibu kota, saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan kawan baharu. Jadi di MRSM Muar itu, saya menggunakan kesempatan itu.

“Saya bergaul dengan ramai pelajar yang datang dari seluruh negara. Pun begitu, tidak ramai kawan yang selari dengan aliran pemikiran saya.

“Pada waktu itu, mereka meminati aliran muzik rock sedangkan saya lebih kepada hip hop. Kami berkawan macam biasa cuma tak satu kepala dalam hal ini saja.

“Oleh sebab itu saya dilabel budak pelik memandangkan saya tidak berkongsi aliran muzik yang sama dengan mereka,” ujarnya.

Tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai isu yang besar sebaliknya Altimet memberitahu, dia menetapkan hati untuk membuat haluan sendiri.

Ini kerana fokus utama Altimet tetap kepada pelajaran.Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Altimet melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di United Kingdom (UK) pada 1997.

Mengambil jurusan perubatan, Altimet mengakui pada ketika itu kecenderungan lebih untuk membantu golongan yang memerlukan selepas tamat belajar.

Dua tahun di sana, Altimet yang menjadi pelajar tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JP) terpaksa pulang ke Malaysia kerana krisis kewangan global.

Altimet kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Bukit Jalil, Kuala Lumpur selama tiga tahun sebelum berhenti.

“Memang saya kesal kerana belajar dalam bidang perubatan separuh jalan. Tapi saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang dibuat.

“Ada sebab tersendiri saya tidak dapat meneruskan pengajian saya,” katanya lagi.

Rapper

HAKIKATNYA dalaman Altimet sudah diisi dengan dunia hip hop yang diminati sejak berusia 11 tahun. Perkenalan dengan seorang pemuda telah mencetuskan minatnya untuk mendalami irama rap.

Masih segar dalam ingatan Altimet buat pertama kalinya dia mendengar lagu berjudul Bring The Noise dendangan asal Antrax dan Public Enemy yang menggabungkan irama rock dan rap.

Sejak itu, Altimet menjadi pencinta muzik rap. Dia kemudiannya mengkaji semua perkara yang berkaitan rap yang boleh digabungkan dengan sebarang genre muzik.

Demi muzik rap juga Altimet sanggup mengikat perut menahan lapar semata-mata untuk melengkapkan koleksi kaset penyanyi rap antarabangsa.

Duit bulanan yang diperoleh daripada orang tuanya disimpan semata-mata untuk membeli kaset penyanyi rap pujaannya.

Antara yang popular pada waktu itu seperti penyanyi rap MC Hammer, Cypress Hill, kumpulan hip hop Wu Tang Clan yang menjadi ikon buat peminat muzik berkenaan.

“Demi muzik rap, saya bersedia untuk berkorban apa saja. Saya pergi gig, bergaul dengan orang untuk menambahkan lagi penguasaan saya dalam irama muzik berkenaan.

“Hinggalah saya menyertai kumpulan Teh Tarik Crew dengan Mizz Nina, Taufiq dan DJ Fuzz dari 2000 hingga 2004. Sejak itu juga saya menajamkan kemahiran rap saya.

“Pada 2008, saya muncul dengan Adeep The Fabulous Cats dengan lagi Chantek. Lagu itu yang berjaya memperkenalkan diri saya dalam industri muzik secara tidak langsung,” ujarnya.

Selain Chantek, Altimet juga popular lagu Kalau Aku Kaya dendangan dengan Awi Rafael sebelum ini.

Lagu Syukur yang dinyanyikan sendiri sepenuhnya turut mendapat perhatian ramai.

Duta iM4U ini juga bakal muncul dengan sebuah lagu rap baharu yang dijangka pada penghujung tahun ini.

Cekal hati

MEMBUKA topik tentang cabaran yang perlu dilalui sebagai pencinta muzik rap, Altimet mengakui dia berdepan dengan pelbagai kesukaran sepanjang tempoh itu.

Lebih-lebih lagi dalam soal memperkenalkan masyarakat untuk menerima muzik rap seperti irama muzik lain. Altimet berkata, usaha itu memerlukan tenaga dan pemahaman.

Ini kerana menurut Altimet, terdapat pelbagai kekangan yang menyebabkan banyak pihak meletakkan irama muzik rap jauh ke belakang.

Sedangkan hakikatnya irama berkenaan sudah lama diterima para peminat muzik di negara maju.

“Perjuangan ini memerlukan masa yang panjang untuk berjaya. Saya juga pernah berdepan dengan situasi bermasam muka dengan orang tua yang pada awalnya tidak suka saya menjadi rapper.

“Tapi saya buktikan kepada mereka yang sebenarnya irama itu juga ada masa depan yang tersendiri. Irama ini ada tempat tersendiri dalam industri muzik sama seperti irama rock dan balada.

“Cuma masalahnya di sini adalah mentaliti segelintir pihak yang sengaja merendah-rendahkan pejuang irama rap itu sendiri.

“Pun begitu, saya tidak akan mengalah. Saya akan berterusan untuk menjadi pejuang irama rap ini sampai bila-bila,” katanya.

Gabungan daya aktif dan hasil pembacaan sebelum ini menjadikan saya banyak berfikir. Saya boleh menjangkakan kesan baik atau buruk kepada setiap perbuatan yang dilakukan...