Entahlah... Tapi saya ini suka melihat dari sudut yang positif. Bagi saya, yang berlaku sebelum ini ada hikmahnya. Satu daripada hikmah itu adalah saya lebih dikenali oleh masyarakat.

Khabarnya selepas timbul cerita mengenai serbuan dadah tempoh hari anda sukar mendapat tawaran lakonan?

Perjalanan karier saya setakat ini baik. Semuanya okey sahaja. Saya tak anggap selepas kejadian itu, kerjaya saya pun terjejas atau terganggu. Tidak. Cuma saya akui, akibat episod itu, mak saya yang paling terjejas. Dia ini seorang yang suka membaca dan mengikuti perkembangan saya di media massa. Selama ini tak pernah saya keluar dengan cerita negatif atau tak sedap didengar. Jadi selepas kes itu, dia cepat risau mengenai saya. Sekarang ini dia selalu berpesan dengan saya, jangan buat hal atau perangai tak elok. Dia lebih banyak mengingatkan saya dan beri saya nasihat sebab dia tak mahu perkara seperti itu berulang lagi.

Apa antara pesan yang kerap diberikan ibu ?

Dia berpesan supaya jaga tingkah laku depan khalayak sebab banyak mata yang memandang apa yang saya buat, sama ada salah atau tidak. Saya sebenarnya berterima kasih kepada dia sebab kadangkala kita tidak tahu bila kita buat silap dan ketika dia masih ada, seorang ibu dapat menegur dan memberi nasihat kepada kita.

Anda kata karier tak terjejas, ada tawaran lakonan daripada mana-mana produksi?

Alhamdulillah, ada. Kebetulan selepas kejadian itu iaitu sejak awal tahun lalu, saya sudah tak lagi dengan MIG (Metrowealth International Group) selepas kontrak saya selama tiga tahun dengan mereka tamat. Sekarang saya bergerak sendiri dan rasanya lebih selesa begini. Ada juga yang menawarkan saya untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan mereka tetapi selepas berfikir, saya rasa tak apalah, biarlah saya begini.

Selepas kes itu, saya juga kembali aktif dengan teater. Lebih kurang tiga buah teater besar yang saya jayakan. Bukan itu sahaja, ada juga syarikat produksi yang hubungi dan menawarkan tawaran berlakon. Pendek kata, masih ada rezeki saya dalam bidang ini walaupun orang luar melihat kes dadah tempoh hari kononnya menjejaskan saya. Paling penting, dalam kes itu pun, ujian air kencing saya negatif, bukannya positif.

Apakah anda rasa terkesan dengan kejadian hitam itu yang sedikit sebanyak memberi imej buruk kepada profil anda sebagai seorang pelakon?

Saya sudah dewasa dan sudah berkeluarga. Bagi saya, pengalaman hitam sudah saya alami sejak saya belajar di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) lagi. Saya juga pernah jadi pemuzik selama tiga tahun di sebuah kelab malam dan pernah melalui pelbagai dugaan. Yang berlaku pada saya tempoh hari saya pandang sebagai satu perkara negatif yang beralih kepada positif. Pernah sebelum ini, ada yang ajar saya supaya cetuskan kontroversi. Sebab saya sudah lama dalam industri tapi orang masih belum benar-benar kenal siapa saya. Takkanlah saya nak memandai-mandai buat kontroversi semata-mata nak popular. Memang tak mungkin.

Jadi, bila kes dadah itu keluar, saya lihat sekurang-kurangnya ada juga orang kenal saya sebab kontroversi. Sebelum ini pun wartawan tak tahu nak menemubual saya sebab tak ada perkara menarik untuk dikongsikan. Tapi bukanlah saya minta dengan cara macam ini untuk saya dikenali. Sebagai artis, saya kena terimalah. Tohmahan orang, biasalah... yang penting, keluarga, isteri dan anak-anak kenal dan tahu siapa saya.

Banggakah dengan kontroversi seperti ini untuk dikenali ramai?

Tidak. Saya tak pernah menganggap ini sebagai satu cerita yang boleh dibanggakan. Tetapi sekurang-kurangnya ada sudut positif yang saya terima. Sekarang ini saya cuma nak fokus kepada kerjaya lakonan dan saya mungkin nak buka kelas lakonan. Selain berlakon, sekarang ini juga saya sibuk menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar di Jebat Talent di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Saya mengajar mereka yang mahu tambah ilmu, tidak sahaja kepada pelakon tambahan, ada juga pelakon yang dikenali turut serta dalam kelas yang saya kendalikan. Saya mengajar lebih kepada teori dan praktikal dari sudut lakonan teater. Saya seronok mengajar sebab pada masa yang sama, saya juga dapat siapkan diri saya sebagai seorang pelakon di samping berkongsi ilmu dengan orang lain.

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

[email protected]

TIDAK dinafikan, selepas ‘episod dadah’, agak sukar untuk Along Eyzendy memulihkan imej dan nama baiknya.

Biarpun pelakon itu didapati negatif daripada sebarang pengambilan bahan terlarang pada satu operasi di ibu kota tahun lalu namun dia tidak dapat lari daripada kritikan yang tidak tahu hujung pangkal cerita tetapi hanya pandai menuding jari membuat pelbagai telahan.

Bahkan ada yang ber­pendapat, selepas episod hitam itu, Along sukar men­dapat tawaran lakonan. Benar atau tidak, hanya tuan punya badan sahaja yang tahu.

Berpeluang bersemuka dengan pelakon berusia 36 tahun ini membolehkan Pancaindera bertanya khabar mengenai perkembangan diri dan kerjayanya sekarang.

Mahu membetulkan persepsi orang ramai terhadap dirinya, Along meluahkan isi hati.