Tidak dinafikan kini namanya segah artis dan selebriti tempatan lain. Siapa yang tidak kenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, personaliti muda, kacak dan kaya raya ini.

Namun populariti yang diraih belum mampu untuk memadamkan cita-cita yang diidamkan sejak kecil. Ya, dia amat meminati bidang nyanyian dan menyimpan impian untuk bergelar penyanyi.

Dan cita-cita itu direalisasikan apabila kini jutawan berusia 30 tahun itu bernaung bawah syarikat rakaman KRU Music.

Biar bergelar artis baharu, Aliff mahu membuktikan dia bukan sekadar melepaskan batok di tangga malah walau diherdik, dicaci dan dimaki dengan kata-kata sindiran oleh netizen, dia tidak mahu menjadikan komen negatif yang dilemparkan kepadanya itu sebagai kudis.

Yang dia tahu, dia kini lebih bersemangat untuk melebarkan sayapnya dalam bidang seni suara.

“Saya cuba bidang nyanyian sekadar hobi saja. Bukannya nak rebut gelaran penyanyi vokal terbaik. Saya sedar suara taklah sehebat mana tetapi diharap kehadiran saya dalam industri seni dapat menyumbang sesuatu kepada ekonomi industri kreatif,” ujarnya berkongsi rasa hati.

Mendapat tawaran daripada syarikat tersebut sejak tiga bulan lalu, namun kata Aliff, dia tidak mendedahkannya kepada umum kerana tidak yakin dengan kemampuan vokal yang dimiliki.

“Saya suka nyanyi lagu orang dan buat video yang ditonton dan menjadi tular. Sebab itu jugalah KRU berminat untuk menjadikan saya artis mereka.

“Tapi saya beritahu Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim yang saya tidak memiliki suara yang bagus dan sering dikecam tetapi dia yakinkan saya bahawa saya mempunyai suara yang unik,” ujarnya.

Aliff turut membidas dakwaan kononnya dia mempertaruh wang ringgit untuk menghasilkan single Abang Nak Tegur demi mengejar populariti.

“Orang ingat apabila kaya dan ada duit boleh senang-senang nak jadi artis. Tapi sebenarnya orang tak faham. Kita tak keluarkan duit langsung untuk single Abang Nak Tegur,” katanya.

Menjadi artis naungan KRU selama dua tahun, jadual kerjaya seni kini diatur oleh syarikat rakaman tersebut.

“Mereka adalah bos saya. Alhamdulillah, sudah ada beberapa penganjur yang berminat untuk mempelawa saya mengadakan persembahan,” tuturnya.

Menyedari kesibukannya dalam bidang perniagaan dan seni, Aliff memberikan jawapan mudah tatkala diajukan soal pengurusan masa.

“Dari segi jadual sudah tersusun sebab ada orang yang aturkan.

“Saya perlu ada sikap selektif. Sebagai contoh, baru-baru ini saya dapat tawaran lakonan tapi saya tak ambil sebagai watak tak sesuai untuk saya.

“Perniagaan tetap saya utamakan. Namun kita penuhi kekosongan masa yang ada dengan nyanyian dan lakonan sebab itu adalah hobi saya.

“KRU sangat fleksibel. Sebab itu saya selesa bekerja dengan trio itu,” jelasnya.

Bukan tiru strategi Dr. Vida

Sebelum ini pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Vida juga melancarkan single I Am Me yang turut mendapat sentuhan emas Edry Abdul Halim pada Julai lalu dan mencetuskan tular dalam kalangan pengikut muzik tempatan.

Terbit persoalan apakah Aliff juga sengaja meniru teknik pemasaran yang dilakukan oleh Vida hingga tercetusnya idea untuk mengeluarkan lagu sendiri?

Dengan nada tenang, jauh sekali untuk melatah dengan tuduhan cuba meniru jutawan tersebut, Aliff berkata, masing-masing ada karakter tersendiri dan terdapat perbezaan ketara antara mereka.

“Saya berkawan baik dengan dia bukannya pesaing. Malah kami tak pernah bergaduh sesama sendiri. Masing-masing memberi sokongan baik dalam perniagaan atau bidang lain.

“Tiada istilah meniru. Semua orang menyanyi, semua orang buat produk. Cuma dari segi karakter, muzik, idea dan konsep adalah berbeza.

“Saya pun bukannya terhegeh-hegeh jumpa KRU suruh mereka jadikan saya artis. Tapi apabila melihat inisiatif KRU jumpa kami, jadi kenapa harus tolak? Ini peluang untuk saya melebarkan lagi nama,” katanya lagi.

Dituduh bukan suara sendiri

ALIFF disifatkan sebagai seorang yang kalis kecaman dan cekal mengharungi komen negatif netizen.

Acap kali dilemparkan dengan kata-kata nista, lelaki itu turut mengakui menerima komen berbaur ugutan di laman sosialnya.

“Apabila lagu Abang Nak Tegur dimuat naik di YouTube banyak komen negatif berbanding positif. Malah siap ada pakatan buat tanda tidak suka di situ.

“Saya terkejut tapi hal itu tak mematahkan semangat saya. Ada orang kata itu bukan suara saya dan macam-macam lagi. Tapi saya bukan seorang yang mudah mengalah.

“Saya memang suka menyanyi tapi suara saya tak sesedap mana. Tetapi Edry ini pandai susun ayat satu persatu.

“Kemudian lagu tersebut diperindah lagi sehingga menyebabkan ada orang kata itu bukan suara saya.

“Tapi percayalah lagu itu seratus peratus itu merupakan suara saya sendiri,” katanya yang mendapat lagu tersebut dua minggu sebelum dirakamkan.

Muzik video Abang Nak Tegur yang menjalani sesi penggambaran di Sepanyol juga akan ditayangkan secara rasmi pada awal tahun hadapan.