Sekurang-kurangnya itu yang dirasai oleh kedua-dua penyanyi ini. Keputusan untuk membawa haluan masing-masing bukan menjarakkan mereka.

Sebaliknya bagi Alif, meski selesa membawa haluan sendiri, persahabatan antara mereka tetap terjalin erat sekali gus mengetepikan pandangan salah yang menganggap mereka berseteru.

Berpeluang kembali bersatu sebagai Sleeq pada konsert Raya Block Party di Esplanade, Singapura hujung minggu lalu petanda jelas bahawa Alif dan Syarif tiada masalah untuk bergandingan sama seperti dulu.

Meski dalam momen yang durasinya cuma sejam, Alif dan Syarif memberikan yang terbaik buat peminat yang ternanti-nanti kehadiran mereka sebagai satu item.

Berkongsi cerita, kata Alif yang dipertanggungjawab mengendalikan konsert hip hop bertemakan nostalgia itu, dia berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Syarif meski Sleeq kini cuma tinggal nama.

“Konsert ini bukan petanda bahawa kami akan bersatu semula. Saya harap peminat tidak salah faham mengenai hal itu kerana buat masa ini, masing-masing selesa bergerak solo.

“Cuma kelonggaran diberikan pada malam tempoh hari untuk Sleeq bergabung semula demi menjayakan konsert dan menghargai peminat yang selama ini menyokong kami,” jelasnya.

Nostalgia

Menurut jejaka berusia 27 tahun ini, sempena tema nostalgia yang diangkat, lokasi yang dipilih juga mengembalikan kenangan indah buat Sleeq kerana Esplanade menjadi tempat mereka beraksi buat pertama kalinya setelah diterima baik dalam industri hiburan tersebut sekitar 2005.

Kata Alif, banyak suka duka yang dilalui dengan Syarif dan antaranya adalah lokasi tersebut.

“Kami mula beraksi dalam dunia hip hop secara Indie dan setelah diterima masuk dalam arus perdana, Esplanade adalah lokasi pentas pertama buat kami untuk beraksi mengadakan persembahan berbayar di depan khalayak berskala besar.

“Selepas itu, setiap tiga bulan pasti kami diberi peluang untuk beraksi di sini sebelum kami melebarkan sayap seni ke Malaysia pada tahun 2010,” katanya.

Menyifatkan kedua-duanya tidak pernah mempunyai masalah dan itu bukan alasan mereka berpecah, kata Alif, tempoh 10 tahun bersama-sama bukan jangka masa singkat untuk mereka dengan mudah melupakan kenangan dan persahabatan yang terjalin selama ini.

“Dari dulu lagi kami sudah anggap kami macam keluarga. Mungkin ada yang rasa pelik tetapi itulah hakikatnya. 10 tahun bersama-sama, tentunya banyak yang kami lalui dari mula merangkak nak menggerakkan Sleeq sehinggalah kami berada di tahap ini.

“Ketika kami kata nak berpecah, tujuan asalnya adalah kerana kami mahu ambil peluang. Kalau kami tak ambil peluang untuk bergerak solo ketika itu, kami tak akan tahu bila lagi kami boleh lakukan.

“Kami tak kata kami terus berhenti. Selagi ada tenaga dan boleh berkolaborasi dan ada peluang, mungkin kami tak akan tolak untuk beraksi sebagai Sleeq di atas satu pentas,” katanya.

Dunia bapa

Dalam pada itu kata Alif, dia juga tak menyangka kini dirinya dan Syarif sudah bergelar bapa.

Menurut Alif, banyak momen manis yang sukar dilupakan apabila sudah menimang cahaya mata.

“Bayangkan kami sama-sama keluar makan sebagai satu keluarga, nak tergelak juga melihat dua-duanya menolak kereta sorong anak. Kemudian sama-sama menukar lampin pakai buang anak di kawasan awam.

“Semasa itu terbayang dalam kepala, tak sangka kami sudah jadi bapa, betapa masa berlalu dengan pantas, dari kami sama-sama bujang sampai kami sudah berkahwin dan ada anak kini,” kata bapa kepada Alana yang berusia dua bulan.

Mengikuti perkembangan alam kebapaannya, kata Alif dia seronok bergelar bapa dan mengakui banyak berubah sejak Alana hadir dalam hidupnya sekarang.

“Saya tengok anak saya, seakan-akan saya sudah kenal dia lama, kenal seumur hidup. Saya tak dapat bayangkan hidup saya sebelum dia ada. Kalau boleh diputar semula masa, saya ingin ubah diri saya yang lalu supaya dia tak rasa malu dengan saya.

“Kini keutamaan adalah kepada dia dan isteri. Memang betul orang cakap, tiada perkataan yang sesuai boleh menggambarkan bagaimana jadi seorang bapa itu.

“Umpama hadiah terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Menurut Alif, dia fikir tiada salahnya mempunyai keluarga dan anak biarpun ada berpendapat perlu merancang waktu muda dengan sebaik-baiknya lebih-lebih lagi kehidupan orang muzik tak sama dengan kehidupan orang lain.

“Saya tak rasa memiliki keluarga dan anak menjejaskan apa yang saya ingin lakukan terutama dalam muzik. Malah, saya rasa lebih bersemangat dan punya motivasi yang tinggi untuk hasilkan lagu dan karya-karya yang lebih baik sebab anak.

“Saya rasa tak akan jadi satu masalah kalau seseorang itu tahu yang dia mahukan, pasang niat yang baik dalam hati sebab kalau tak, saya rasa semua sesuatu yang merugikan jika ada yang tak mahu anak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Alif, dia juga bakal tampil dengan album baharu yang akan memberikan naunsa luar biasa buat pendengar.

Untuk album baharu juga, kata Alif, dia merancang untuk berkolabrasi dengan pelakon Nabila Huda dalam sebuah lagu yang baginya akan memberikan kelainan berbanding gandingan duet yang biasa diperdengarkan sebelum ini.

Dari dulu lagi kami sudah anggap kami macam keluarga. Mungkin ada yang rasa pelik tetapi itulah hakikatnya.