Adalah penting bagi seseorang pengkarya untuk memastikan keberkesanan hak cipta mereka terjaga, sekali gus kualiti sesebuah lagu itu dapat dikekalkan.

Buktinya jika diselusuri semula karya produser popular Indonesia Riri Reza dan Miri Lesmana 14 tahun lalu menerusi filem mega Ada Apa Dengan Cinta menerima maklum balas sama gah melodi muzik yang diselitkan sebagai soundtrack.

Antaranya ialah Ada Apa Dengan Cinta nyanyian Melly Goeslaw dan Eric serta Tentang Seseorang nyanyian Anda Bunga.

Sesuai dengan tahun yang mendatang, sekuel kedua kembali menjengah bagi melenyapkan kerinduan peminat aktor dan aktres hebat negara sebarang, Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo pada 28 April lalu.

Tak dinafikan jika AADC2 turut menerima pelbagai kritikan dan perbandingan yang kurang memuaskan jika dibandingkan dengan sekuel pertama. Bagai ada kurang rencahnya hingga rata-rata memberikan komen tidak berpuas hati.

Berbalik kepada album runut bunyi AADC2 yang sekali lagi Melly dan suaminya, Anto Hoed menjadi pilihan dan diberikan tanggungjawab besar bagi memastikan himpunan lagu yang mengandungi lapan buah ke semuanya melekat di bibir pendengar.

Kesempatan yang diberikan untuk menemu bual Melly, Anto dan pendatang baru Marthino Lio ketika bertandang ke Malaysia baru-baru ini untuk mempromosikan album berkenaan tidak dilepaskan pihak media. Jom ikuti rangkuman temu bual bersama mereka.

HITS: Apakah kamu sudah diberitahu awal untuk sekali lagi bekerjasama untuk menghasilkan lagu runut bunyi AADC2?

MELLY: Sebetulnya tidak Kita semua tahu kalau Mira sama Riri itu orangnya bukanlah jenis yang akan membuat sambungan cerita daripada mana-mana filem yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Begitu pun dengan adanya AADC pertama pun dia tidak terfikir mahu keluarkan sekuel kedua tapi setelah dihitung pandangan rakan-rakan dan masyarakat akhirnya mereka akur. Awalnya saya tidak tahu mereka berminat mahu memilih kami, tapi setelah kedatangan Mira dan Riri ke rumah, saya langsung bersyukur kerana ikut terlibat.

Boleh kongsikan berapa lama waktu diambil untuk menyiapkan album ini dan berpuas hati dengan hasilnya?

Kita siapkan dalam masa dua hingga tiga bulan. Ya, harus berpuas hati (ketawa). Kerana mungkin kalian lihat soundtrack itu adalah sebuah lagu yang diguna pakai di dalam sebuah filem sahaja.

Walhal, bagi saya jauh memikirkan daripada itu kerana soundtrack itu ibarat satu teaser daripada sebuah filem. Jika karakter Rangga dan Cinta hanya perlu mendalami watak tersebut, tapi saya harus menjadi menyelami watak yang bukan hanya dua tetapi banyak.

Saya harus memikirkan karakter itu lalu diterjemahkan ke sebuah lagu dan mampu membuatkan pendengar membayangkan lebih daripada jalan ceritanya.

Dengan terbitnya album AADC2 ini, pasti akan ada perbandingan yang diutarakan dengan album sebelum ini? Bagaimana dengan situasi begitu?

Saya rasa dalam berkarya ada pro dan kontra. Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tapi bagi saya yang tidak suka itu ialah kelompok orang yang lebih memerhatikan daripada yang ikhlas suka. Mungkin orang itu (tidak suka) punya banyak waktu untuk mengkaji secara lebih mendalam.

Mengapa memilih Marthino untuk bergandingan dengan kamu menerusi tema lagu Ratusan Purnama? Apa kriteria dan kualiti yang ada di dalam dirinya hingga buatkan kamu yakin memilih pendatang baru?

Saya dan suami suka membuka pintu buat pendatang baru yang berbakat lebih mewarnai industri muzik. Memang kita lebih dahulu menguasai bidang ini dan seharusnya memberikan peluang pada yang baharu.

Daripada seribu orang yang menyertai sesi uji bakat, hanya lima orang sahaja disenarai pendekkan dan akhirnya menemukan saya dengan Marthino. Kami hanya ambil masa sejam untuk rakamkan lagu itu dan kebetulan saya orangnya tak suka berada di dalam studio rakaman terlalu lama dan kurang gemar melakukan pembikinan lagu berulang kali kerana ia akan tampak dramatis dan hasilnya sudah seperti dibuat-buat, itu tidak bagus.

Baiklah, boleh berikan pandangan kamu tentang koloborasi antara penggiat seni Malaysia dengan Indonesia?

Seni itu tiada negaranya bagi saya. Seni itu tak ada tempat yang khusus dan ia cukup luas dan boleh dihuni oleh sesiapa pun. Semua tempat di dunia ini ada ruang untuk berseni. Jadi adalah lebih baik jika semua peluang dibuka sehingga kita boleh bekerjasama atau berikan rujukan buat sesama kita.

Memegang gelaran Ratu Runut Bunyi, sampai bila mahu mengekalkan momentum itu?

Gelaran seperti itu kan daripada masyarakat. Jadi saya tidak terlalu memikirkan sangat akan hal itu. Asalkan terus fokus apa yang di hadapan kita dan boleh bekerja dengan baik, itu sudah cukup. Julukan itu diberikan oleh masyarakat, apa-apa pun ia bergantung rezeki daripada Tuhan.

Menyentuh pula cara berpakaian kamu yang agak unik dan pelik, apakah kamu sering mendapat kecaman dan kritikan negatif?

Di Indonesia juga ramai memberi kecaman dan melemparkan komen negatif saat saya mengayakan hijab tinggi tak lama dahulu. Soalnya, itu antara hubungan saya sama Tuhan bukan dengan manusia.

Tanggungjawab sama Tuhan itu lebih penting. Saya menutup apa yang perlu ditutup dan tidak mahu menayangkan diri saat lagi berhijab. Menjalankan ibadah juga tidak perlu digembar-gemburkan.

Jika ada yang terus mengecam mungkin mereka mahu jadi seperti saya (ketawa). Saya senang untuk bereksperimen dengan pelbagai gaya. Saya jenis yang tidak cepat terasa sakit hati malah tidak peduli langsung dengan kata-kata negatif. Malah, komen-komen pada media sosial juga saya tidak pernah hirau dan baca.

Selagi ia tidak mengganggu hidup orang lain, saya okay. Kenapa saya harus tukar imej dan mengapa perlu jadi orang lain? Saya bangga menjadi Melly.

Apa kelemahan diri Melly yang sukar untuk dibendung?

Saya sukar untuk tidur sehingga akibatnya pita suara akan bertukar serak. Justeru, tidur mencukupi selama lima hingga enam jam amat penting. Seniman itu kan manusia yang sentiasa resah.

Jadi, kalau sudah berada di tempat tidur, fikiran saya itu juga tidak boleh tidur. Masih berimaginasi ke mana-mana walau sedang baring. Rasanya, semua penggiat seni juga mengalami hal yang sama.

Saya seorang yang sukar untuk meluahkan perasaan dengan kata-kata selain sifat pemalu yang menebal, maka akan terhasillah lirik lagu, cerpen dan puisi yang dicoretkan di atas kertas putih. Mungkin sudah terlatih untuk menulis, sampai apa yang ada di isi hati akan diluahkan dalam bentuk penulisan.

Pengiktirafan buat Marthino

HITS: Penghormatan yang diberikan untuk berduet bersama Melly mungkin satu lakaran baru untuk kanvas seni kamu. Apakah itu satu penghargaan buat anda?

MARTHINO: Rasa bahagia, bangga dan semuanya indah. Satu penghargaan buat saya secara peribadi kerana Melly tertarik untuk beri kepercayan menerusi lagu Ratusan Purnama.

Ada rasa tekanan saat berdiri bersama Melly ketika membuat persembahan di atas pentas?

Jujurnya ada rasa sedikit tertekan tapi masalah itu dapat diatasi selepas mendapat bimbingan daripada Melly dan Anto. Segala kritikan saya ambil untuk lebih memajukan diri dan siapa pun akan berasa gerun tatkala berdiri di sebelah bintang terkenal seperti Melly (tersenyum).

Boleh kongsikan pengalaman berada di studio bersama Melly dan Anto?

Sangat gembira dan bangga mendapat ilmu daripada kedua-dua genius seni itu. Saya diberi tunjuk ajar cara yang betul untuk mendapatkan penghayatan menerusi bait-bait lirik Ratusan Purnama. Latihan vokal juga diberikan kepada saya.

Boleh kongsikan sebelum bergelar penyanyi, siapa kamu sebenarnya?

Saya seorang pelakon tapi masih baharu lagi dalam industri seni Indonesia.

Apakah kamu takut dilabel sebagai menumpang populariti Melly selepas ini?

Saya tidak terdetik untuk rasa sebegitu kerana apa yang saya lakukan ini adalah datang daripada usaha saya sendiri. Tentang populariti itu, mungkin bonus buat saya kerana berpeluang bekerja dengan Melly. Tak semua orang ada ruang seperti itu tapi apa-apa pun saya tidak boleh menyalah gunakan kepercayaan itu.

Bertelagah itu bagus – Anto

HITS: Bagaimana bekerja bersama dengan isteri dan apa kualiti yang ada pada Melly hingga kamu cemburu daripada segi karya seni?

ANTO: Sebetulnya saya bangga bekerja dengannya. Melly seorang penggubah lagu dan penyanyi yang begitu mendalami makna di sebalik bait-bait lirik yang dicipta.

Saya harus satu langkah bahkan tiga langkah ke depan dan perlu mengatasi daripada dirinya. Saya perlu bekerja sendiri tanpa idea daripada dia dan setelah selesai baru dirujuk kepadanya. Kalau tidak tepati kehendak, saya harus ulangi sekali lagi.

Sering tak bertelagah dan berbeza pendapat?

Itu pasti. Kalau tidak kita tidak jauh lebih maju. Perlu selalu bergaduh kecil kerana ia baik buat kami berdua dan pada akhirnya akan terhasillah karya yang terbaik.

Adakah untuk menghasilkan album AADC2 ini satu bebanan memandangkan AADC yang pertama dahulu sudah menerpa kejayaan yang luar biasa?

Pada awalnya agak berat ya. Tapi saya harus terus berfikir bahawa 14 tahun sudah lama berlalu sehingga harus berubah dan perlu jadi lebih dewasa. Tapi lebih dewasa itu bukan bererti menjadi terlalu tua. Apa yang dimaksudkan ialah, saya harus memikirkan muzik yang sesuai dengan Rangga dan Cinta.

Difahamkan saat kamu dan Melly menghasilkan lagu Jangan Ajak-Ajak Dia memerlukan masa untuk menjiwai mood tersebut. Mengapa?

Waktu lagu ini sedang giat dihasilkan, ayah saya meninggal dunia pada tanggal November 2015. Kematian yang terlalu cepat hingga pada satu saat kesedihan itu menyelubungi saya dan perlukan beberapa waktu untuk kembali bekerja.

Cara bekerja saya mungkin lain daripada orang lain. Saya akan menumpukan perhatian pada kerja hinggakan tiada kesempatan untuk fikirkan hal lain.

Kehilangan itu pastinya mempengaruhi muzik yang dicipta. Kerana kita bekerja menggunakan rasa dan hati. Jangan Ajak-Ajak Dia itu bukan lagu sedih tetapi romantik. Jadi memerlukan banyak waktu untuk kembali berada di lapangan kerja saat itu. Namun, positifnya juga saya mampu menyiapkan lagu tersebut sesuai dengan masa yang diberikan.

Apa projek selepas ini?

Saya dan Melly akan menyambung semula projek kumpulan Potret kami yang tertunda bersama ahli yang lain dan sedang merencana beberapa hal lain saat kembali ke Indonesia. Diharapkan juga, album ini menerima sambutan baik selari dengan apa yang diterima di Indonesia.