Berhasrat untuk memartabatkan fesyen Islam ke pentas yang lebih tinggi, Shah Rezza mungkin boleh mendabik dada kerana cita-citanya itu kini menjadi perhatian dunia.

Saban tahun, pastinya IFF diberi liputan meluas pelbagai media sama ada dalam dan luar negara disebabkan prestij yang dicipta menerusi penganjuran pertunjukan fesyen Islam terbesar di Malaysia.

“Alhamdulillah, keputusan untuk berehat daripada bidang seni lakon lebih sedekad lalu untuk terjun ke dunia peragaan menunjukkan pulangan yang setimpal serta berbaloi.

“Dahulu, ketika mahu membulatkan tekad menceburi bidang fesyen, diakui ada perasaan ragu-ragu. Apatah lagi ketika itu, gaya fesyen yang mahu saya ketengahkan sangatlah sedikit pengikut dan pengaruhnya.

“Tetapi atas dorongan kawan-kawan yang berada dalam industri fesyen ketika itu, serta nasihat beberapa individu penting, saya gigihkan jua langkah mencorak dan mengatur bermacam-macam perancangan untuk merealisasikan impian saya,” katanya kepada Hits.

Tambah Shah Rezza, penganjuran kali pertama IFF adalah detik amat mendebarkan.

Berdebar menantikan maklum balas selepas ianjurkan. Menunggu komen serta kritikan pengkritik dunia fesyen tempatan mahupun antarabangsa.

Mujurnya, penantian tersebut walaupun sedikit terseksa kerana gelora perasaan yang bercampur aduk, akhirnya menghasilkan satu tenaga positif yang mengubah hidupnya kini.

Pandangan demi pandangan yang dikongsikan pemerhati dunia fesyen, menurut Shah Rezza sangat baik dan memberangsangkan.

“Maklumlah, konsep baharu yang jarang diketengahkan secara meluas. Pastinya saya berdebar menantikan reaksi umum. Alhamdulillah, penat lelah saya serta pengorbanan itu diterima baik.

“Sejak itulah, saya terus fokus menganjurkan IFF untuk tahun-tahun seterusnya. Bermula daripada sebilangan penaja sahaja, kini IFF menjadi rebutan banyak syarikat korporat untuk menjalin kerja sama.

“Selain keinginan peribadi mahu melihat gaya Islam dikomersialkan dan digayakan serata dunia, pada masa yang sama, kejayaan IFF mendorong percambahan permintaan pakaian tersebut. Impaknya, muncul lebih ramai usahawan pakaian sebegini termasuklah pereka fesyen,” jelasnya yang dilihat sebagai pembuka jalan kepada industri fesyen Islam berkembang pesat di negara ini.

Berlakon selepas sedekad

MenyedarI darah seni yang mengalir dalam tubuhnya masih pekat, Shah Rezza mengakui kerinduan dalam bidang lakonan membuak-buak sejak kebelakangan ini.

Setelah memastikan perniagaan peragaan yang diceburinya berada di platform terbaik, personaliti berusia 54 tahun itu menyatakan hasratnya untuk aktif semula dalam bidang lakonan.

Dahulunya, pemilik nama sebenar Raja Shah Zurin Raja Aman Shah itu pernah membintangi beberapa filem seperti Ali Setan, Kembara Seniman, Igau-Igau, Ali Setan 2, Balik Kampung, Antara Dua Hati, Jejaka Perasan, Marah-Marah Sayang dan Hati Bukan Kristal.

Kini setelah sekian lama bersara seketika, menurut kerabat diraja Kelantan itu, dia telah menjalani penggambaran drama Mr. London Ms. Langkawi yang diadaptasi daripada sebuah novel berjudul sama.

“Dalam drama arahan Nizam Zakaria itu, saya bergandingan dengan Liza Abdullah selaku suami isteri. Saya seronok dengan keputusan ini kerana momen-momen di lokasi penggambaran dapat dilalui semula.

“Berada di set penggambaran memang meletihkan terutama ketika menunggu giliran. Tetapi banyak perkara berlaku di set yang kadang-kadang menjadi kisah hidup kita,” katanya sambil memberitahu akan sibuk berlakon sehingga hujung tahun ini.

Di sebalik kerinduannya untuk berlakon, Shah Rezza sebenarnya mempunyai agenda tersendiri untuk membabitkan semula dirinya dalam bidang lakonan.

Selaku seorang produser yang pernah menerbitkan filem sulungnya, Permata Hati pada 2014, dia yang telah lama meninggalkan industri perfileman mahu mempelajari selok belok bidang penerbitan.

“Selain berlakon di set, saya mahu memanfaatkan masa yang ada untuk belajar bab-bab penerbitan daripada pekerja industri sendiri. Zaman sekarang banyak bezanya jika mahu dibandingkan ketika era saya.

“Sebab itulah saya perlukan kenalan dan bantuan daripada generasi sekarang untuk projek-projek di masa akan datang. Caranya, saya perlu ‘turun padang’ melihat sendiri dari pelbagai sudut.

“Pandangan orang lama boleh dijadikan rujukan, tetapi generasi baharu kini lebih maju untuk saya menimba pengetahuan semasa. Sekurang-kurangnya, saya faham serba sedikit perjalanan produksi dan tidak mudah ditipu oleh individu yang mahu mengambil kesempatan,” tegasnya.

Terbaharu di bawah syarikat produksinya, Nusantara Gems Sdn. Bhd., dia akan menerbitkan sebuah filem epik berjudul Puteri Limau Purut yang masih dalam proses prapenerbitan.